Sudah lama tidak mendengar khabar dramatis yang pernah popular dengan siri-siri drama Spektra satu waktu dahulu, Shahriza Mahmud. Justeru kehadirannya di majlis pelancaran Akademi Polis 4 baru-baru ini mencetuskan tanda tanya.
“Saya ada terlibat dalam drama ini sebagai artis undangan di samping menulis skrip untuk musim pertama siri ini,” ujar Shahriza yang tidak jauh berbeza daripada dahulu.
Menurutnya, dia berminat juga untuk menerbitkan drama sendiri tapi buat masa ini masih belum berkemampuan dari segi kewangan. Bagaimanapun dia masih aktif berlakon, mengarah dan menulis skrip drama.
“Tawaran berlakon memang tidak sebanyak dulu. Ini kerana banyak orang baru dalam industri sekarang. Mungkin mereka tidak mempunyai nombor telefon saya jadi tidak tahu bagaimana untuk menghubungi kalaupun mereka berminat untuk mengambil saya berlakon,” ujarnya pernah menghasilkan skrip dan berlakon dalam drama bersiri Seharum Kasturi di samping telemovie Sinar Pelangi dan Janji Kita.
“Demi meneruskan hidup kenalah pandai-pandai mengatur. Jika tidak berlakon, saya mengadakan kelas lakonan,” kata Shahriza yang kini terlibat dengan pementasan teater yang menggunakan ‘working title’ D di Istana Budaya.
Menyentuh tentang kehidupan peribadinya, Shahriza mengakui sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang.
Namun begitu dia tidak berani untuk menyatakan bilakah tarikh sebenar dia akan mengakhiri zaman solonya.
“Sedar-sedar sudah lebih sepuluh tahun hidup saya hidup seorang setelah mengalami kegagalan rumah tangga tahun 2000 dahulu. Nak diikutkan kadang-kadang memang rasa kecewa dan sunyi tapi syukurlah ada keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa menyokong.
"Masa mula-mula bercerai dulu, tiga bulan saya tak jejak tanah sebelum mendapat kekuatan semula. Mungkin kerana itulah saya menjadi agak cerewet memilih teman untuk berkahwin semula,” luahnya terus terang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: