Monday, June 8, 2009

Rezeki Bienda semakin murah

Masih ingatkah lagi dengan kumpulan nasyid Solehah yang dianggotai oleh beberapa orang gadis remaja suatu ketika dahulu? Jika diingat kembali, salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut masih lagi bergerak aktif dalam dunia seni hiburan tanah air. Bukan sahaja di bidang seni suara, malahan telah pun mengorak langkah ke bidang lakonan.

Siapa lagi kalau bukan Bienda, gadis ayu bertudung yang juga anak kepada penyanyi dangdut, Sheeda. Suatu ketika dahulu ketika Bienda mula bergerak secara solo, beliau pernah dikenali menerusi lagu hitnya iaitu Penantian.

Setelah namanya mula dikenali sebagai penyanyi solo, beliau cuba untuk melebarkan lagi sayapnya dengan menceburi bidang lakonan.

Kini gadis yang berasal dari Kelantan ini dikenali menerusi drama bersiri yang disiarkan di TV9 berjudul Uda & Dara. Bukan setakat itu sahaja, bakatnya yang amat menyerlah di bidang lakonan membolehkannya menerima tawaran untuk melangkah ke layar perak. Filem pertama yang merupakan titik mulanya sebagai pelakon filem ialah Kayangan berlakon di samping pelakon jelita Fazura.

Kemudian Bienda ditawarkan sebagai peneraju utama untuk filem keduanya menerusi filem Budak Kelantan di samping dua jejaka kacak Danny dan Azrol.

Disebabkan kesungguhan yang ditunjukkan Bienda dalam bidang lakonan, beliau mula diburu beberapa orang produser untuk ditawarkan berlakon dalam filem terbitan mereka.

Beliau kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk telemovie terbitan produksi milik pelakon hebat Rosyam Nor yang bertajuk Di Bawah Teduh Lazuardi untuk siaran sempena menyambut Ramadhan.

Terbaru, beliau ditawarkan watak sebagai salah seorang isteri Saiful Apek dalam filem komedi 4 Madu arahan pengarah prolifik Profesor Madya A. Razak Mohaideen terbitan Lineclear Motion Pictures.

Watak sebagai isteri kedua Apek selain Ayu Raudhah (isteri pertama), Almy Nadia (ketiga) dan Rozita Che Wan (keempat) amat berlainan dengan watak-watak yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

“Saya terima tawaran ini sebab saya amat kagumi bakat Apek dan watak yang akan dipikul. Saya amat teruja untuk berlakon dengan beliau dalam pada masa yang sama berasa gementar kerana ini kali pertama berlakon dengannya,” jelas Bienda menceritakan perasaannya.

Bienda turut menjelaskan beliau masih lagi meminati bidang nyanyian. Buktinya, beliau telah pun melancarkan album barunya berkonsep world music yang mengandungi 4 buah lagu baru dan 4 buah lagu lama yang diberi nafas baru berjudul Bienda – Kenali Ku.

Album tersebut merupakan terbitan beliau sendiri selain bekerjasama dengan Yassin dan Edrie Hashim sebagai komposer telah dilancarkan pada 21 Jun lalu dan kini masih dalam proses promosi. Bagaimana pun, album beliau belum lagi dipasarkan kerana beliau masih lagi mengumpul sumber kewangan untuk memasarkannya.

“Buat masa ini, saya sendiri akan jual album tersebut ketika membuat showcase atau ketika menghadiri majlis-majlis yang berkaitan,” katanya.

Lagu yang dijangka hit adalah lagu duet bersama ibunya, Sheeda yang berjudul Usah Kau Tanya yang menampilkan konsep adunan dangdut dan world music selain lagu yang menjadi judul albumnya, Kenali Ku.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: