Sunday, June 28, 2009

Semarak muzik tempatan

SEPANJANG Jun, Julai dan Ogos ini memang banyak konsert berlangsung di Kuala Lumpur. Wanda bercakap tentang konsert-konsert besar yang berbayar ya! Bukan konsert promosi yang percuma.

Bermula dengan Konsert Satu oleh Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya selama tiga malam bermula 26 Jun hingga malam ini, diikuti konsert Lelaki Ini oleh Anuar Zain pada 1 Julai dan 2 Julai, juga di Istana Budaya.

Selepas itu pada 25 Julai, M. Nasir muncul buat kali kedua tahun ini menjayakan konsertnya yang dipanggil Konsert Satu Wajah M. Nasir. Konsert ini akan berlangsung di Stadium Negara. Wanda pasti sudah banyak yang menempah untuk menonton konsertnya itu.

Antara konsert yang ditunggu-tunggu khususnya peminat rock tentunya Konsert Search - Di Awan Biru yang dijangka berlangsung pada 1 Ogos depan selepas menjelajah ke beberapa negeri sebelum ini.

Raja Pop kita 'menutup' tirai persembahan musim ini sebelum kita meraikan kehadiran Ramadan dengan konsert Jamal... Kembara Seniman di Istana Budaya selama lima malam berturut-turut bermula 5 Ogos hingga 9 Ogos.

Melihat senarai artis, memang mereka semuanya mempunyai bukan sekadar vokal yang hebat tetapi juga sangat karismatik. Mereka muncul penuh dengan perancangan.

Sememangnya konsert-konsert di atas adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu sementelah konsert solo begini sudah lama hilang taringnya.

Banyak benar konsert percuma dianjurkan. Dan antara alasan mengapa tidak ramai yang sanggup menganjurkan konsert solo untuk artis tempatan adalah kerana tiada penajaan.

Ya, Wanda faham tentang keperluan penajaan dalam usaha untuk mengurangkan beban kos tapi bak kata M. Nasir, peminat yang sanggup membayar harga tiket yang ditawarkan untuk menonton konsertnya merupakan "penaja utama" yang menjayakan kemunculannya di pentas besar.

Itu semangat daripada orang yang tidak mengenal erti kalah. Dia, biarpun ada nama yang besar tapi bersusah payah untuk menjayakan Konsert Alam Muzik M. Nasir di Istana Budaya beberapa bulan lalu gara-gara tidak ada penaja yang sanggup melabur untuk yang digelar sifu itu.

Tetapi, konsert itu sekurang-kurangnya bukan sahaja satu kejayaan besar peribadi buat sifu itu malah memberi satu anjakan baru kepada ilham menghasilkan konsert untuk dijayakan oleh artis tempatan.

pengaruhBukan konsert daripada artis baru yang lahir daripada program realiti tetapi daripada artis bernama besar yang mungkin kurang 'laku' di majalah tetapi mempunyai pengaruh di kalangan mereka yang profesional dan bergelar.

Demikianlah karya seni yang akhirnya dinilai pada takah kualiti. Pengagum sebenar seni muzik memilih karya-karya yang meninggalkan satu kesan yang panjang kepada mereka.

Nostalgia? Ya, barangkali benar tetapi akhirnya mereka bernostalgia karya-karya lagu yang tinggi nilainya. Kepada kalangan kelas menengah khususnya Melayu, mereka mempunyai "kuasa membeli" yang lebih besar untuk sesuatu yang menepati jiwa mereka. Jadi, jangan takut untuk membuat yang terbaik biar pun banyak yang mahu mencari arus popular sebelum memilih kualiti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: