DISEMBER lalu, aktres Diana Danielle mengambil keputusan untuk menangguhkan tarikh penyertaan ke Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi sesi Januari 2009. Keputusan yang dibuat itu mengundang pelbagai kontroversi kerana ramai yang salah faham bahawa dia ingin mengelak.
Diana bukannya mahu mengingkari arahan tetapi hanya menangguhkan tarikh kemasukannya ke situ kerana terikat dengan kontrak lakonan.
Malah, dia mendapat kebenaran untuk menundakan kemasukan sehingga tahun depan. Namun, disebabkan tidak lagi mahu menangguhkannya lagi, Diana telah menyertai Kem PLKN Princess Heliza, Sepang pada 8 Mac lalu.
Dalam sekelip mata sahaja, tempoh tiga bulan telah berlalu. Diana yang keluar daripada kem PLKN Ahad lalu menangis pada hari terakhirnya di situ apabila memikirkan dia bakal berpisah dengan kawan-kawan yang baru dikenalinya.
'Dibebaskan' sekitar pukul 2 petang, Diana yang disambut ibunya, Norsiah Ramli menjerit memanggil ibunya sambil berpeluk dengan erat saat kembali bersua.
Bertemu dengan Kosmo! sehari selepas keluar daripada kem, Diana yang kelihatan sedikit penat bagaimanapun bercerita mengenai pengalamannya dengan gembira.
Diana mengakui sebelum dia memasuki kem, dia ada memikirkan benda-benda yang negatif dan berasa risau. Tetapi ternyata apa yang dirisaukan sebelum itu adalah sia-sia.
"Memang sebelum saya masuk kem saya ada banyak berfikir. Tapi selama tiga bulan di sana, saya tidak mempunyai sebarang pengalaman buruk.
"Saya tidak dibuli atau didera dan pada bulan kedua sahaja, kami semua sudah menjadi kawan rapat. Saya amat berpuas hati dengan program PLKN," kata gadis berusia 18 tahun itu.
Belajar menghadapi kehidupan dengan lebih berdisplin dan teratur, Diana yang menerima sijil ahli Kehormat kem Princess Heliza tidak kisah jika pada masa akan datang dia diminta untuk menyertai program-progam PLKN.
"Kalau pihak PLKN ingin meminta saya memberikan nasihat, saya tidak kisah. Apa yang saya ingin beritahu di sini adalah saya sendiri juga takut pada mulanya kerana memikirkan PLKN adalah satu latihan ketenteraan.
"Tapi tanggapan itu salah kerana PLKN adalah seperti sebuah sekolah. Kami melakukan aktiviti tetapi tidak lasak dan berdasarkan kemampuan diri. PLKN mengajar remaja mengenai jati diri dan bagi mereka yang bakal menyertai PLKN, jangan risau," ujar Diana yang lebih berisi sekarang.
Turut dipilih sebagai Timbalan Penghuluwati Kem PLKN Princess Heliza, Diana juga mempunyai pengalaman menjadi 'jururawat' di kem apabila tujuh orang kawannya jatuh sakit.
"Pada pemulaannya, badan saya juga berasa sakit kerana melakukan aktiviti-aktiviti fizikal. Ditambah dengan kawasan itu yang panas kerana mendekati pantai, ramai yang jatuh sakit.
"Saya ada seorang kawan yang sakit tekak selama tiga bulan. Suatu hari selepas hujan lebat, tujuh daripada kawan saya sakit. Saya pula terpaksa menjaga mereka kerana ketika itu tidak cukup pekerja," katanya yang berasa gembira ketika dipilih sebagai penghuluwati.
Dibahagikan kepada tiga bulan, Diana yang kelihatan lebih serius dan matang bercerita sedikit mengenai apa yang dipelajarinya sepanjang tempoh itu.
Dimulakan dengan latihan pembinaan watak, Diana bersama rakan-rakan lain disuruh untuk membuang ego diri.
Bulan kedua pula memberikan peluang kepada mereka untuk menjalani khidmat komuniti. Manakala bulan terakhir memerlukan mereka memasuki kelas kenegaraan.
"Apa yang menyeronokan apabila kami keluar dua kali seminggu pada bulan kedua. Kami melawat rumah orang tua, rumah anak yatim, litar F1 dan Parlimen.
"Pelajaran pada bulan ketiga juga menarik kerana mempelajari sedikit sebanyak mengenai kedaulatan, tanah, menteri dan rakyat. Kini kami lebih peka dengan kepentingan diri kami kepada negara," tambahnya mengenai kem yang disertai 490 peserta.
Teruja dengan konsep pembahagian katil yang dikongsi dengan semua kaum dalam sebuah asrama, Diana turut menyukai saat semasa dia bersama rakan-rakannya membuat persembahan di Angkasapuri, RTM pada 3 Jun lalu.
Menjadi hos bersama Aliff dalam program secara langsung itu, pengalaman memenangi pertandingan dan aktiviti sepanjang tiga bulan juga menjadi sebahagian daripada kenangan manis Diana.
Selain mengemas barang-barangnya, antara perkara pertama yang dilakukan Diana ialah mendaftar masuk ke Kolej Universiti Nottingham yang terletak di Semenyih, Selangor pada Isnin lalu.
Ditawarkan untuk menyertai institusi pendidikan tinggi itu oleh pihak Nottingham sendiri, Diana akan mengambil kursus asas Bio-Sains selama setahun setengah sebelum meneruskan ke peringkat Sarjana Bio-Sains untuk tiga tahun.
"Bulan Julai nanti saya akan terus belajar. Sebenarnya saya sendiri memang menyimpan hasrat untuk belajar dan selalu mendapat nasihat untuk sambung belajar. Saya amat meminati biologi dan mahu mempelajari mengenai kehidupan," jelasnya yang bakal disaksikan menerusi filem Kecoh Betul dan Magika.
Ada menerima tawaran lakonan, Diana bagaimanapun ingin berehat dahulu kerana mahu menumpukan perhatian terhadap lembaran baru dalam hidupnya iaitu universiti.
Maka, adakah ini bermaksud Diana akan meninggalkan dunia lakonan? Tidakkah Diana berasa rugi apabila kariernya dilihat sedang berkembang sekarang?
"Tak rugi sebab saya meletakkan pelajaran sebagai benda paling penting sekarang. Kalau dari segi lakonan, saya tidak boleh janji sebab saya sendiri tidak tahu perancangan masa depan. Tapi saya tidak akan berhenti begitu sahaja.
"Sekarang saya tidak boleh buat perancangan kerana belum menerima jadual dari Universiti. Kalau sudah ada jadual baru saya boleh membuat perancangan. Kita tunggu dulu sekarang," pinta Diana sambil tersenyum.
nice ! follow sini
ReplyDelete