|
|
KALAULAH Allahyarham Sudirman Haji Arshad masih hidup, beliau mungkin akan berasa canggung atau terkilan menyaksikan Konsert Untukmu Sudirman di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Malah, para penonton juga tentunya dapat merasakan kecanggungan itu pada persembahan segelintir artis yang cukup memualkan ketika konsert anjuran Bintang Emas Pictures (M) Sdn. Bhd. tersebut berlangsung.
Konsert yang diadakan sebagai suatu apresiasi terhadap bakat dan populariti lagu-lagu Sudirman yang pernah popular pada tahun 1980-an itu bagaikan belum berdaya untuk menggamit memori para penonton.
Seakan-akan tidak layak dipanggil sebuah konsert, sebaliknya persembahan penyanyi seperti Kaza dan Acong (Sweet Child) pada konsert itu bolehlah dianggap sebagai 'suatu acara berkaraoke' yang diadakan secara suka-suka serta sambil lewa.
Dua penyanyi yang popular pada tahun 1980-an dan 1990-an itu misalnya, tampil berduet menerusi lagu berjudul Anak Gembala yang bukan sahaja dalam nada yang sumbang tetapi mereka juga sering terlupa lirik.
Tiada langsung interaksi antara Kaza dan Acong dengan para penonton termasuklah dari mata ke mata kerana keduanya sibuk memberi tumpuan pada lirik lagu yang disediakan di hadapan mereka.
Tidak keterlaluan jika dikatakan dua penyanyi ini hanya berjaya menyampaikan lagu itu dengan adanya lirik yang diletakkan di hadapan mereka sejak dari awal hinggalah habis lagu tersebut dipersembahkan.
Paling memalukan apabila Kaza mungkin berasakan para penonton terjerit-jerit sewaktu dia menyanyikan lagu itu kerana teruja dengan gaya nyanyiannya pada rangkap yang bernada tinggi.
Sedangkan hakikatnya, para penonton secara simboliknya seakan-akan bersimpati dengan ketidakupayaannya menyanyikan lagu itu dalam nada suara dan melodi lagu yang tidak kesampaian.
Alasan lupa lirik, kurang latihan dan sebagainya tidak harus dijadikan alasan kerana sebagai penyanyi yang bertaraf senior, Acong dan Kaza seharusnya malu dengan komitmen serta kemampuan yang telah ditunjukkan oleh para penyanyi muda lain.
Ramai penyanyi muda pada malam itu seperti Mila dan Haziq (Akademi Fantasia), Ikhwal dan Atilia membuktikan bahawa usia dan pengalaman bukan menjadi halangan untuk mereka beraksi mantap asalkan adanya kesungguhan serta komitmen tinggi dalam bidang tersebut.
Pujian harus diberikan kepada penyanyi generasi baru seperti Mila yang mampu menyanyikan setiap lagu Sudirman pada malam itu dengan penuh penghayatan serta persembahan mantap biarpun tanpa bantuan lirik di hadapannya.
Begitu juga dengan penyanyi baru, Ikhwal yang menyanyikan lagu seperti Balik Kampung, Toyol dan Gerimis Di Lautan bukan sahaja dengan gaya nyanyian yang berkesan, tetapi turut menyanyi tanpa bantuan helaian kertas lirik bersamanya.
Sebaliknya, Ikhwal, anak kepada bekas penyanyi kumpulan rock, Wings iaitu Mel, turut menarikan pelbagai tarian sewaktu mempersembahkan lagu-lagu dendangannya pada konsert dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang dan Sinar FM itu.
Baik artis-artis yang mengadakan persembahan dan juga pihak penganjur, konsert berbayar seperti itu seharusnya dipersiapkan dengan latihan yang secukupnya supaya setiap lagu serta persembahan dapat disampaikan dengan baik.
Ini kerana, para penonton membayar harga tiket untuk mengimbau nostalgia terhadap Sudirman yang pernah menjadi ikon mereka suatu masa dulu tentunya akan berasa hampa dengan persembahan artis sebegitu.
Andy (Flop Poppy) yang tampil sebagai artis pertama mulanya mampu memberikan persembahan dengan baik menerusi lagu Biarkan Saja dalam nada suaranya yang serak-serak basah menjadikan lagu itu dalam kelas yang tersendiri.
Lupa lirik
Sayangnya, beliau yang juga seorang komposer terkenal tanah air turut mengikuti jejak langkah Kaza dan Acong yang lupa lirik pada lagu-lagu yang dibawakan selepas menyampaikan lagu tersebut.
Bagi mengelakkan lupa lirik Andy membawa nota kecil yang dipegang pada tangan kirinya sewaktu dia menyanyikan lagu-lagu lain sehingga sedikit sebanyak mengganggu tumpuan dan interaksinya dengan para penonton.
Mujurlah penyanyi seperti Rahim Maarof yang menyanyikan lagu berjudul Dir, Adibah Noor (Hujan dan Airmata) serta Haziq (Anak Dagang) sedikit sebanyak mengurangkan rasa kecewa para penonton pada malam itu.
Penerbit Eksekutif konsert itu, Eja Ibrahim tidak menafikan kurangnya latihan merupakan antara punca terdapat segelintir penyanyi terbabit tidak hafal lirik dan tampil dengan gaya persembahan yang kurang mantap.
"Kami tidak ada masa yang mencukupi untuk berlatih sebelum menjayakan konsert ini. Ruang masa di IB terlalu terhad kerana ada pementasan lain yang telah dan akan diadakan di sini," jelasnya ketika ditemui selepas konsert itu.
Sementara itu, kakak Allahyarham Sudirman iaitu Datin Rodziah Arshad yang hadir menyaksikan konsert itu bersama suaminya, Datuk Zainudin Awang Ngah tetap berasa puas hati menyaksikan konsert bagi menghargai bakat serta sumbangan arwah adiknya.
Malah, beliau hampir menitiskan airmata sewaktu menghayati lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam itu yang disifatkannya tidak akan luput dalam ingatan para peminat Allahyarham.
"Bagi saya setiap lagu dan persembahan pada malam ini mempunyai nilai nostalgia tersendiri buat saya dan juga para peminat Allahyarham. Saya harap mereka terhibur, sentiasa ingatkan arwah dan sedekahkan al-Fatihah kepadanya.
"Banyak yang boleh dipelajari daripada sikap Allahyarham iaitu dia suka bekerja keras dan semangat juangnya yang tinggi dalam apa juga perkara yang dilakukannya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: