Tuesday, June 9, 2009

Debaran Mila menjelang MPU


MILA tidak sabar lagi untuk mendeklamasikan puisi pada Malam Puisi Utusan, Jumaat ini.


BIARPUN usianya dalam dunia seni masih lagi mentah dan hijau, namun populariti yang dikecapi oleh juara Akademi Fantasia musim kelima iaitu Mila sememangnya tidak dapat dinafikan.

Baru tiga tahun melayari bahtera di lautan seni yang penuh bergelora tetapi Mila masih boleh berbangga kerana namanya mampu berdiri sebaris dengan penyanyi wanita popular sedia ada.

Bukan itu sahaja, pelantun lagu Persis Mutiara dan Aku Lebih Tahu ini juga memiliki vokal yang tersendiri untuk meletakkan dirinya antara bintang baru yang perlu diberi perhatian.

Menyedari bakat dan populariti yang dimiliki anak kelahiran Pulau Pinang ini, maka tidak hairanlah apabila namanya dipilih sebagai salah seorang artis yang akan terlibat dalam Malam Puisi Utusan (MPU) yang berlangsung pada 12 Mei ini (Jumaat).

Bertempat di Laman Santai, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula pukul 8.45 malam, Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmilla Jirin tidak mampu untuk menyembunyikan debaran menjelang malam keramat itu.

Walaupun pernah mendeklamasi puisi sewaktu di bangku sekolah, namun bagi Mila perasaan itu tidak sama dengan apa yang perlu dihadapinya pada MPU nanti.

"Kalau diamati sehalusnya, membaca puisi dan menyanyi tidak banyak jauh bezanya. Perkara yang penting adalah penghayatan dan emosi yang dicurahkan menerusi karya itu.

"Saya takut dan berdebar kerana bimbang mesej tidak akan sampai kepada audiens menerusi bacaan saya. Untuk itu, saya akan giatkan latihan dan tidak akan mempersia-siakan peluang emas yang diberikan ini," kata Mila yang kini sedang bercuti bersama keluarganya di Bangkok, Thailand dalam nada bersungguh sewaktu dihubungi Hits petang Ahad lalu.

Selain Mila, antara artis hebat lain yang akan terlibat pada malam itu nanti adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, M. Nasir, kumpulan Kopratasa, Amy Search, Diana Danielle dan juga kumpulan Hujan.

Menyambung perbualan, Mila sememangnya berasa bangga dan terharu apabila dapat melibatkan diri buat pertama kali dalam MPU.

Tambahnya, menerusi MPU juga setidak-tidaknya ia mampu memberinya peluang untuk mendekati serta memperoleh ilmu daripada penyair hebat negara yang juga akan melibatkan diri pada malam itu.

"Saya juga masih belum dapat puisi yang akan saya deklamasikan pada malam itu nanti. Sebaik sahaja pulang dari bercuti, saya akan diberi puisi berkenaan dan akan terus menjalani latihan," jelasnya yang baru sahaja terlibat dalam Konsert Untukmu Sudirman di Istana Budaya, minggu lalu.

Bagi mengimbangi kemunculan penyanyi yang terlibat, MPU turut menampilkan barisan penyair baru dan lama yang akan menghangatkan malam itu nanti dengan puisi masing-masing

Mereka yang dimaksudkan adalah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Profesor Datuk Hashim Yaacob, Khalid Salleh, Zaen Kasturi, Shukri Abdullah, Marjan S dan Marsli N.O.

Apa yang membanggakan, MPU yang dianjurkan oleh Kumpulan Utusan buat kali ke-12 itu juga mendapat sokongan serta kerjasama padu daripada ExxonMobil selaku penaja utama di samping Astro dan Istana Budaya sebagai penyiar rasmi dan penaja lokasi.

Penganjuran MPU adalah bagi meneruskan kegemilangan Kumpulan Utusan dalam usaha mengangkat karya kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dijangka akan menghadiri malam yang menjadi kebanggaan Kumpulan Utusan itu.

Untuk memeriahkan suasana, orang ramai dijemput hadir dalam acara yang diadakan secara percuma itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: