Friday, June 12, 2009

Pendapatan KWSP turun

KUALA LUMPUR - Pendapatan daripada pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susut 10.47 peratus kepada RM3.26 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac, berbanding RM3.64 bilion pada suku keempat tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, penurunan itu disebabkan oleh pulangan pelaburan yang lebih rendah daripada instrumen berpendapatan tetap dan ekuiti.

Menurutnya, penyumbang tertinggi kepada pendapatan KWSP dalam suku berkenaan ialah daripada pinjaman dan bon yang mencatatkan pulangan sebanyak RM1.78 bilion, turun sebanyak 2.15 peratus berbanding RM1.82 bilion dalam suku keempat tahun lepas.

Sehingga 31 Mac tahun ini, 36.81 peratus daripada pinjaman dan bon dilaburkan dalam syarikat dengan penarafan kredit AAA dan 49.97 peratus dalam syarikat dengan penarafan AA.

Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) merupakan penyumbang pendapatan kedua tertinggi bagi suku itu dengan pulangan sebanyak RM1.11 bilion, susut 13.23 peratus daripada RM1.28 bilion pada suku akhir 2008.

"Walaupun pulangan daripada pinjaman, bon dan MGS turun dalam suku pertama ini, namun kami akan terus melabur dalam instrumen tersebut kerana ia menyumbang kepada pengekalan modal dan perolehan pendapatan yang stabil, bersesuaian dengan mandat pelaburan KWSP yang mengutamakan instrumen berisiko rendah," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam suku berkenaan, ekuiti menyumbang RM223.83 juta selepas peruntukan rosot nilai pelaburan berikutan kejatuhan harga ekuiti, berbanding RM342.54 juta dalam suku sebelumnya.

Menurut beliau, KWSP terus melabur dalam saham-saham mewah dengan tumpuan utama kepada dua sektor. Daripada jumlah dana yang dilaburkan dalam pasaran ekuiti, 37.43 peratus adalah dalam sektor perdagangan dan perkhidmatan manakala 33.93 peratus dalam sektor kewangan.

Pelaburan kurang daripada 10 peratus dibuat dalam sektor seperti perladangan (8.66 peratus), barangan perusahaan (6.98 peratus) dan pembinaan (4.59 peratus).

"Keadaan pasaran dijangka kekal mencabar dalam masa terdekat ini ekoran kesan kemelesetan global terhadap ekonomi domestik.

Bagaimanapun, tambah beliau, prospek di luar negara yang semakin baik, dorongan fiskal dalam negeri yang kukuh dan kewujudan mudah tunai yang banyak dijangka merangsang prestasi pasaran dalam tempoh enam bulan kedua 2009.

Saiz dana keseluruhan KWSP kini ialah RM348.16 bilion, meningkat 1.93 peratus daripada RM341.56 bilion dalam suku akhir 2008.

"Ketidakpastian yang menyelubungi ekonomi global terus mempengaruhi pelaburan KWSP. Kami menjangkakan tahun ini merupakan tahun yang sukar bagi KWSP, tetapi sebagai pelabur jangka panjang, KWSP akan mengambil kesempatan daripada peluang-peluang yang wujud pada masa yang mencabar ini," tegas Azlan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: