LONDON - Peguam keluarga Michael Jackson menyalahkan mereka yang rapat dengannya kerana menyebabkan kematian mengejut Raja Pop berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.
Peguamnya Brian Oxman berkata, Michael menerima tekanan supaya bekerja keras untuk persiapan siri konsert kemunculan semulanya di stadium arena O2 di sini.
Menurut Oxman, penyanyi berusia 50 tahun itu mengambil pelbagai ubat penahan sakit termasuk demorol dan vicodin selama beberapa bulan untuk kekal cergas apabila beraksi pada konsert This Is It pada bulan depan.
"Ini yang saya bimbangkan selama ini. Ia (kematian Michael) adalah kes penyalahgunaan ubat melainkan terdapat punca lain yang saya tidak tahu. Namun, seperti yang kita semua maklum pokok tidak bergoyang jika tidak ditiup angin," katanya.
Menurutnya, keluarga Michael sudah berusaha untuk cuba menjaga anak mereka tetapi beberapa orang dalam mempengaruhi penyanyi itu supaya bekerja keras menyebabkan dia terpaksa terus mengambil demorol.
"Jika anda katakan kematian Anna Nicole Smith adalah kes penyalahgunaan ubat, Michael mengambil lebih banyak ubat penahan sakit berbanding model itu," katanya.
"Michael pernah patah kaki dan mengalami kecederaan tulang belakang dan kami diberitahu dia diberi banyak ubat penahan sakit," tambah peguam itu.
Demorol memiliki kesan ketagihan seperti heroin dan setakat ini, desas-desus Michael menerima suntikan ubat itu pada hari kematiannya hangat diperkatakan.
Raja Pop itu menghembuskan nafas terakhir kelmarin akibat serangan jantung di rumahnya di Los Angeles, Amerika Syarikat manakala bedah siasat dijangka diadakan dalam masa terdekat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: