Sunday, June 14, 2009

Menangis dipuji anak

Sharifah Shawati mahu kerjayanya menjadi contoh dan inspirasi kepada putera dan puterinya.




NAMA Sharifah Shawati Syed Mohd, 40, sememangnya sinonim dengan kesedaran fesyen dan transformasi imej peribadi.

Bekas pengacara televisyen ini kini memiliki studio dandanan rambut, Ada’maya Hairstudio dan sedang berusaha mewujudkan label produk rambutnya sendiri.

Beliau turut mengasaskan syarikat perundingan imej, Ada’maya Image Consultant.

“Untuk mencapai visi perniagaan, saya akan merujuk kepada individu-individu yang berpengetahuan dan berpengalaman luas. Malah semasa saya bertugas di stesen televisyen dahulu lagi orang akan selalu bertanya kepada saya mengenai fesyen. Minat saya dalam bidang ini sangat besar,” imbas Sharifah Shawati mengenai permulaan kerjaya keusahawanannya.

Meskipun wujud rasa takut pada awalnya, beliau bangkit menepis segala keraguan terhadap kemampuan dirinya.

“Saya sedar saya perlu berani. Setiap tindakan saya berdasarkan perancangan. Ia hanya mengambil masa selama beberapa tahun untuk dicapai. Dan kejayaan pasti datang,” luahnya yakin.

Menyedari tugas sebagai seorang ibu dan isteri bukan sesuatu yang mudah, Sharifah Shawati sentiasa berusaha mewujudkan suasana yang terbaik bagi rumah tangganya.


WAN ADAM SYAFIQ dan Wan Maya Latisya menjadi inspirasi kerjaya Sharifah Shawati.


“Saya akui bukanlah mudah untuk menguruskan semuanya dalam satu masa. Sebagai isteri dan ibu kepada dua anak, saya juga pernah melalui saat sukar bersama suami.

“Namun berkat kesabaran dan sokongan keluarga, akhirnya kami berjaya mewujudkan keserasian dan persefahaman.

“Perlu diingatkan setinggi mana jawatan seorang wanita itu di tempat kerja, dia masih seorang isteri dan ibu di rumah. Jangan sesekali ketepikan keluarga untuk mengejar kejayaan.

“Doa ibu juga amat penting. Kalau boleh kirimkan juga sedikit wang untuk kegunaan ibu bapa kita. Tidak rugi, malah rezeki kita nanti pasti lebih besar.

“Tanpa keluarga, kita bukanlah sesiapa,” nasihat ibu ini yang menamakan perniagaannya Ada’maya sempena nama kedua-dua anaknya.

Sharifah Shawati telah mendirikan keluarga bersama dengan suami, Wan Zulkifli Wan Ibrahim selama 16 tahun dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Wan Adam Syafiq, 11, dan Wan Maya Latisya, 8.

“Meskipun sibuk menguruskan perniagaan, saya akan memastikan masa hujung minggu diluangkan khas untuk keluarga. Ini bukan ketetapan bagi diri saya sahaja, malah suami dan anak-anak.

“Kami sekeluarga sukakan pantai. Anak-anak saya gemar bermain sukan air seperti berenang dan jet-ski. Ia sekali gus akan mengeratkan hubungan kami sekeluarga,” ujarnya.

Menurut Sharifah Shawati, beliau mahu kerjayanya menjadi contoh dan inspirasi kepada putera dan puterinya.

“Saya ingin menjadi contoh yang baik kepada anak-anak. Menitis air mata saya ketika kedua-dua anak saya memberi pujian semasa pelancaran buku saya baru-baru ini.


KULIT buku tulisan Sharifah Shawati.


“Ungkapan yang saya tak akan lupa sampai bila-bila pun daripada anak-anak saya ialah ‘Mami, kami tidak pernah terfikir Mami sebegini hebat. Kami sangat bangga dengan Mami dan akan sentiasa menjadi peminat No. 1 Mami!’

“Terharu dan sebak. Itu perasaan yang dapat saya gambarkan,” kata penulis buku Imej-Diri Anda Aset Anda ini.

Momen cemas pramugari

Sharifah Shawati mengakui pengalaman sebagai pramugari banyak melatih beliau untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. Ini membolehkan beliau melakukan kerja dengan lebih teliti.

“Saya masih ingat lagi momen cemas semasa saya bergelar pramugari dulu.

“Masa itu kapten juruterbang memberitahu anak kapal bahawa ada panggilan yang mengatakan kapal terbang kami diletakkan bom.

“Masa itu saya langsung tak rasa takut atau gementar. Sebab saya tahu saya telah dilatih untuk bertenang dan bersedia dalam apa jua keadaan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan keadaan terkawal dan semua penumpang selamat,” kenang beliau.

Membuka perniagaan berorientasikan kecantikan memang sudah lama diimpikan Sharifah Shawati sejak dari dulu.

“Ia merupakan cita-cita saya sejak sekian lama. Lagipun minat saya dalam fesyen memang mendalam.

“Saya punya ilmu dalam bidang itu, jadi mengapa tidak saya berkongsi dengan orang lain dengan membuka perniagaan seperti ini.

“Selain mendapatkan khidmat nasihat, saya juga banyak menghadiri bengkel dan seminar untuk menambah ilmu di dada.

“Bagi saya ilmu merupakan penggerak utama seseorang. Tanpa ilmu seseorang itu akan sentiasa ketinggalan.

Ditanya mengenai pekerjaan yang paling memuaskan dirinya, Sharifah Shawati mengatakan setiap pekerjaan memberikan kepuasan dan pengalaman yang berlainan.


GAYA seorang usahawan berjaya.


“Daripada bergelar pramugari, personaliti TV, model sehinggalah seorang usahawan, saya merasakan setiap pekerjaan itu punya nilai yang tinggi.

“Kerana setiap apa yang saya lakukan itu pasti memberi kenangan berharga,” tuturnya dalam nada penuh syukur.

Nasihat Sharifah Shawati kepada wanita-wanita lain yang ingin berjaya dalam kerjaya ialah mereka perlu lebih yakin dengan kemampuan diri sendiri dan sentiasa kuat dalam menghadapi apa jua cabaran dalam hidup.

“Secara keseluruhan, buku yang saya tulis menjelaskan bahawa diri sendiri merupakan inti pati sebenar dalam meniti kejayaan.

“Sifat yakin dan jujur pada diri sendiri juga pasti akan membuahkan hasil yang membanggakan.”

Memahami dilema yang sering dihadapi oleh golongan wanita, Sharifah Shawati sentiasa mahu semua wanita bergerak maju ke hadapan tanpa memikirkan jalan di belakang.

Buku Imej-Diri Aset Anda juga banyak menggariskan panduan dalam pembinaan imej dan motivasi diri.

Untuk berkongsi tip dan pengalamannya, Sharifah Shawati bakal mengadakan bengkel pada 25 Julai ini di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: