Sunday, June 14, 2009

Jari Wak pulih jantung

Kebolehan Wak menyembuh pesakit jantung kronik dengan hanya menggunakan jari dikagumi ramai.


WAK sekadar menyentuh lembut tubuh pesakit bagi ‘membetulkan’ organ yang bermasalah.


TIDAK jauh dari ibu kota, sebuah rumah yang terletak di tepi sungai di hujung sebuah kampung sekali lagi menjadi tumpuan. Kali ini penghuni rumah itu dikunjungi sepasang suami isteri yang membawa bersama seorang anak lelaki mereka.

Dengan tenang, lelaki berusia 80 tahun itu menekan perlahan-lahan dada kanak-kanak tersebut sambil tersenyum. Mulutnya terkumat-kamit seperti membaca doa dan selang beberapa minit, budak itu kelihatan menarik nafas lega.

Ibu bapanya hanya mampu mengucap syukur ke hadrat Ilahi sebelum meminta diri untuk pulang. Warga emas itu pula bersiap untuk pesakit seterusnya. Jika tiada pesakit dia akan pergi ke surau di depan rumahnya.

Begitulah rutin harian Wak yang sangat dikenali di kalangan penduduk kampung. Tanpa publisiti kecuali promosi dari mulut ke mulut, Wak seorang yang merendah diri malah tidak menganggap dirinya seorang bomoh.

“Wak sekadar menolong orang susah dan Alhamdulillah, semuanya sembuh,” katanya sambil memohon nama sebenarnya tidak didedahkan. Itu pantang larang keras bahkan gambar mukanya juga tidak dibenarkan dirakamkan.

Berasal dari Muar, Johor, tubuh Wak sihat dan kuat. Dia mendakwa kebanyakan moyangnya berumur lebih 100 tahun. Petuanya ialah menjaga pemakanan dengan cuma mengambil bubur pada setiap hari.

Hakikatnya, Wak banyak beribadat malah mempelajari pelbagai amalan doa dan ayat al-Quran selama 12 tahun semasa muda. Ilmu yang digunakan bagi merawat pesakit ujarnya, diperoleh daripada mimpi bertemu dengan ulama terkenal.

“Moyang saya itu menurunkan ilmu tersebut melalui mimpi,” katanya. Dia yang dikurniakan lapan orang anak dan kesemuanya berjaya dalam kerjaya masing-masing bagaimanapun tidak mengiklankan kehebatan ilmu yang diwarisi keluarganya.

Dilarang minta bayaran

Namun, seumpama harimau menyorokkan kuku, apabila ada insan ditimpa kesakitan, Wak cuba membantu. Rawatannya unik iaitu dengan menekan lembut bahagian yang dipercayai sakit dalam masa beberapa minit dengan iringan doa tertentu.

Setakat ini rekodnya amat cemerlang sehingga pernah beberapa pesakit dari Institut Jantung Negara (IJN) datang untuk menerima rawatan. Bagi Wak, dia cuma membetulkan semula kedudukan organ dalaman ke tempat sepatutnya.




“Ada yang mengadu rabun mata, sakit dada, sesak nafas, asma atau kanser, Wak cuma tekan sikit dan selepas itu, mereka sudah boleh joging,” katanya tersenyum.

Lebih menarik, dia tidak meminta apa-apa bayaran waima sedekah kerana pemberian itu amat dilarang.

Mungkin sukar dipercayai tetapi itulah realiti yang boleh digambar daripada cara rawatan Wak. Setiap sesi berlangsung kurang 10 minit. Bagi pesakit wanita, mereka perlu ditemani muhrim malah rawatan itu turut disaksikan isteri Wak.

Bagaimanapun, mereka yang mahu bertemu Wak perlu menghubunginya terlebih dahulu kerana dibimbangi dia mungkin tiada di rumah pada waktu itu untuk urusan tertentu. Kelazimannya pada hari bekerja, Wak ada di rumah selepas pukul 4 petang.

“Untuk sakit serius, pesakit kena datang lebih daripada sekali malah pernah ada sampai sembilan sesi bagi yang hidupnya 50:50. Wak juga ada memberi petua tertentu untuk diamalkan misalnya yang datang berhajat mencari jodoh,” katanya.

Biarpun boleh dianggap hebat, penampilan Wak kekal seperti orang kebanyakan. Tidak seperti bomoh tipikal yang dikelilingi asap kemenyan, berjubah dan bermuka garang, Wak sebaliknya cukup mesra dan sedia berkongsi pengalaman rawatannya.

Peluang berbual dengan Wak jelas menggambarkan dirinya mudah didekati sehingga tidak sedar waktu sudah lama berlalu menghampiri senja. Bagi Wak tiada sakit yang tidak boleh diubati melainkan dengan usaha dan keizinan Yang Maha Esa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: