Sunday, June 14, 2009

Mana pergi Syamsul?

Kemelut "persahabatan" antara pengarah muda Syamsul Yusof, 25, dengan pelakon Zed Zaidi, 29, masih belum berkesudahan. Pada Khamis lalu Pancaindera mengaturkan satu sesi fotografi mereka berdua sebagai tanda berdamai. Tetapi malang yang berlaku adalah sebaliknya.

Pada pagi sesi fotografi itu, Zed yang baru pulang dari Kota Bharu, Kelantan muncul kira-kira jam 11 pagi dengan harapan dapat berjumpa Syamsul.

Seperti yang dikatakan pelakon Air Mata Maria itu di dalam sebuah akhbar mingguan Ahad lalu, dia memohon maaf sekiranya Syasmul terkilan dengan apa yang berlaku. Punca krisis persahabatan pengarah dan pelakon tersebut kecil sahaja.

Semua bermula apabila Zed Zaidi menulis dalam blognya mengenai persepsi orang ramai yang seolah-olah menyampah terhadap Syamsul. Perasaan tidak puas hati orang itu digambarkan Zed Zaidi seolah-olah muka Syamsul seperti "hendak meminta penumbuk".

Berikutan itu Syamsul menganggap tindakan Zed sudah melampaui batas kerana menulis perkara yang boleh mendatangkan kemarahannya.

Zed bagaimanapun menjelaskan dia gagal menulis gambaran itu dengan baik. Kata-kata "muka minta penumbuk" itu adalah gambaran orang sekeliling terhadap Syamsul yang didengarnya. Ia bukan bermakna Zed yang tidak sukakan Syamsul.

Tidak mahu kemelut di antara mereka menjadi semakin serius, Zed telah memohon maaf secara terbuka kepada Syamsul bagi memastikan pekara itu tidak berpanjangan.

Ia juga sebagai memenuhi permintaan Syamsul yang inginkan Zed berbuat demikian sekiranya mahu hubungan mereka sebagai kawan dapat diteruskan.

"Dia nak saya minta maaf, saya dah buat dah minggu lepas. Tapi hari ini (Khamis) saya terkejut kenapa dia tak nak ambil gambar dengan saya?" soal Zed ketika dimaklumkan Syamsul memohon membatalkan pertemuan tersebut.

Kata Zed, dia sudah penat untuk melayan masalah mereka berdua kerana ia merupakan pekara yang kecil dan tidak perlu diperbesarkan.

Ujar Zed lagi dia sudah menduga Syamsul tidak mahu bertemunya walaupun pengarah filem itu seringkali bercakap mengenai profesionalism ketika bekerja.

"Kalau Syamsul kata dia seorang yang professional, kenapa dia tak mahu jumpa saya untuk sesi fotografi ini? Bila saya tahu dia tak datang, saya senyum sajalah. Saya dah agak dah memang akan jadi macam ni.

"Nak ikutkan, saya ni penat juga sebab baru balik dari Kota Bharu. Tapi disebabkan dah janji, saya terus datang tepat pada masanya kerana saya fikir ini semua adalah kerja," katanya.

Apabila dijelaskan Syamsul sebenarnya terpaksa membatalkan hasrat murni berkenaan kerana kecewa dengan kenyataan Zed dalam akhbar mingguan Ahad seperti tidak ikhlas memohon maaf.

Malah Syamsul juga dikatakan sedih membaca kenyataan Zed yang mengungkit beberapa perkara yang kurang disenangi.

Sebaliknya jelas Zed, dia tidak mengungkit apa-apa tetapi menjawab balik persoalan yang pernah dibangkitkan Syamsul sebelum ini apabila menuduhnya sebagai "kawan makan kawan".

"Saya jawab balik apa dia kata. Itu saja. Dari situ pembaca akan menilai siapa yang profesional atau tidak. Jangan ambil kenyataan saya dari sudut negatif.

"Selepas membuat penjelasan itu, saya dah memohon maaf kepada Syamsul dan berharap masalah berkenaan tidak terus berpanjangan. Tetapi sayang sekali permohonan maaf itu pun dia tak boleh terima juga. Sekarang apa yang boleh saya buat," soalnya.

Apabila ditanya apa akan berlaku seandainya ditakdirkan dia terserempak dengan Syamsul di mana-mana majlis hiburan, kata Zed dia akan tegur Syamsul.

Zed menganggap industri hiburan ini kecil dan tidak perlu untuk bermasam muka kerana tidak mendapat apa-apa faedah daripadanya.

"Nak masam muka bukan dapat duit pun. Kalau dapat duit saya sangguplah buat macam tu," tambahnya lagi.

Kata Zed, apa yang berlaku ini adalah satu pengalaman yang berharga dan menjadikan dia untuk lebih berhati-hati apabila menulis sesuatu perkara di dalam blog.

Malah Zed juga tidak akan menulis atau menyentuh mengenai seseorang artis yang dianggap sensitif kerana bimbang perkara yang sama berulang.

Cuma Zed sekali lagi memohon maaf daripada Syamsul terhadap kejadian berkenaan dan mengharapkan pengarah itu tidak terus berdendam terhadapnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: