Sunday, June 14, 2009

Bagilah saya peluang – Rusdi Ramli


Rusdi Ramli


Saya ada melihat siri pertama Anak Wayang, Maaf ya saya kurang berpuas hati dengan “kerja” Rusdi.

Bukan awak seorang yang cakap macam tu. Ramai yang kata benda yang sama. Isteri saya (Sharon Paul) pun memberi komen serupa. Bila dah ramai cakap macam tu, saya tahu la memang ia benar-benar teruk.

Rusdi terima teguran orang?

Memang saya kena terima sebab ia untuk kebaikan saya. Secara jujurnya saya memang sukakan teguran kerana ia dapat membantu saya menjadi seorang pengacara yang baik.

Komen apa yang awak dengar?

Orang kata saya agak kelam kabut, penyampaian yang kurang berkesan. Lagipun benda ni semua baru bagi saya.

Baru? Bukankah Rusdi dah biasa dengan kamera malah seorang pelakon yang baik.

Berhadapan dengan kamera untuk berlakon dan mengacara adalah dua benda berbeza. Kalau berlakon, saya hanya berkomunikasi dengan pelakon saja. Saya tak pedulikan langsung kamera. Tapi dalam rancangan ni saya kena kejar kamera. Dalam masa yang sama tumpuan orang terus kepada saya. Itu bezanya berbanding berlakon. Perkara itu yang melemahkan saya sebenarnya.

Gugup atau tidak?

Saya tak nak sembunyikan kebenaran. Memang saya gugup walaupun saya dah lama berlakon. Kalau nak tahu, untuk naik ke pentas menyampaikan anugerah pun saya boleh menggeletar.

Kalau Rusdi tak yakin dengan kemampuan, kenapa boleh terima tawaran Astro? Ia akan memberi reputasi buruk kepada you kemudian hari.

Memang saya dah jangka benda ni akan berlaku. Masa saya berlakon mula-mula dulu pun sama juga. Pengarah pernah baling skrip di muka saya. Dalam bidang pengacaraan ni pun saya dah jangka saya tak mampu hasilkan terbaik tetapi sifat saya satu - ingin cuba. Masa dapat tawaran saya dah fikir banyak kali. Saya tanya isteri untuk mendengar pandangan dia. Akhrinya saya buat keputusan nak cuba kerana saya nak ukur sejauh mana kemampuan saya.

Apa kelemahan yang Rusdi nampak mengendalikan program berkenaan?

Boleh dikatakan semua aspek. Banyak benda sebenarnya yang saya kena betulkan. Bila saya tengok balik rancangan tu, malu pun ada. Kalau nak tahu, sepanjang saya berlakon, saya tak pernah tengok lakonan saya sebab saya tahu ada kelemahan. Saya ni seorang yang selalu tak puas hati dengan hasil kerja saya.

Sebagai pengacara perkara-perkara asas seperti nama program, waktu siaran sepatutnya sudah ada dalam kepala. Malangnya perkara itu pun Rusdi terpaksa tengok skrip. Kenapa?

Ada masa tiba-tiba fikiran saya kosong. Jadi “blank” walaupun nampak senang. Macam berlakon kita menghafal skrip tapi yang ini lain pula caranya. Bila tiba-tiba hilang tumpuan, masalah pada diri saya itu akan terpancar di muka. Itulah kelemahan saya.

Bagaimanapun saya puji awak kerana mengaku kelemahan diri. Tak semua artis macam tu.

Saya faham penerimaan penonton. Banyak komen negatif diberikan kepada saya tapi saya akan jadikan ia positif. Saya rasa kalau dah ada kesilapan lebih baik kita mengaku daripada buat silap, kita kata okey. Lagi la orang bengang.

Agaknya boleh tak Rusdi bagi jaminan bila boleh jadi Rusdi yang bagus sebagai pengacara?

Jaminan? Saya tak berani nak jamin apa-apa. Yang saya boleh kata, setiap minggu saya akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada. Saya minta maaf dan harap peminat semua dapat beri peluang. Saya akan tengok kekurangan saya dan saya akan tampung semula kekurangan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: