|
|
KUMPULAN Purevibracion membuktikan konsep muzik reggae yang mereka ketengahkan sesuatu yang bersifat global serta boleh dihayati oleh segenap lapisan masyarakat walau di mana-mana juga sekalipun.
Irama reggae yang mereka bawakan misalnya, bukan setakat diminati oleh golongan muda, malah kanak-kanak dan dewasa juga tertarik dengan lagu-lagu yang dipersembahkan oleh kumpulan dianggotai tujuh anggota itu.
Senario itu dapat dilihat apabila setiap kali mengadakan persembahan pentas, lagu-lagu Purevibracion menjadi siulan ramai, apatah lagi selepas ia disiarkan menerusi stesen-stesen radio dan televisyen (TV) tempatan sejak kebelakangan ini.
Lagu-lagu kumpulan ini seperti Mi Gal, Pesan Nenek dan Gimme Love yang dipetik daripada album sulung mereka berjudul Love And Peace sering disiarkan menerusi stesen-stesen radio termasuklah Hits FM, Suria FM dan Fly FM.
Ketua kumpulan, penyanyi dan gitaris Purevibracion, Reggaejoe berkata, perkara itu tidak menghairankannya kerana reggae merupakan sebuah genre muzik yang santai dan ia mudah dihayati oleh para pendengar.
"Walaupun reggae berasal dari Jamaica tetapi ia juga boleh disesuaikan dengan muzik-muzik lain termasuklah dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Bagi saya, reggae merupakan sebuah konsep muzik yang universal (global) sifatnya.
"Kami juga telah mencipta sebuah lagu reggae yang turut menyelitkan elemen irama keroncong berjudul Keroncong dalam album kami itu. Kalau tidak salah, ini kali pertama lagu keroncong dipersembahkan dalam versi reggae.
"Lagu itu antara lagu kami yang mendapat sambutan para peminat reggae sejak kebelakangan ini," katanya pada satu pertemuan dengan Hits di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Reggaejoe atau nama sebenarnya Izal Herman Jamaluddin berkata, keunikan lagu Keroncong yang diadun bersama muzik reggae menyebabkan Purevibracion sering menjadi tumpuan ramai terutamanya ketika mereka mengadakan persembahan di luar negara.
Menurutnya, ramai yang tertarik dengan keunikan lagu Keroncong sewaktu mereka mengadakan persembahan di kelab-kelab malam seperti di Bangkok, Thailand, Singapura dan Jakarta, Indonesia dalam siri konsert bergerak yang mereka adakan baru-baru ini.
"Ramai yang bertanya kepada kami tentang lagu Keroncong yang kami bawakan itu kerana mereka tidak tahu bahawa keroncong merupakan salah satu lagu tradisional Melayu.
"Lagu itu kedengaran agak unik walaupun rentaknya memang sarat dengan elemen muzik reggae. Kami bukan setakat mempromosikan lagu-lagu keroncong, tetapi kami juga secara tidak langsung mempromosikan nama Malaysia di luar negara.
"Ini kerana, selepas itu ramai di antara mereka yang tertarik pula untuk berkunjung ke Malaysia bagi mengetahui lebih lanjut tentang muzik keroncong dan juga negara ini. Selepas ini, kami akan terus mempromosikan lagu Keroncong di luar negara supaya ia akan menjadi lebih popular," ujarnya.
Selain Reggaejoe, Purevibracion yang dianggotai oleh Mie selaku pemain bass, Bai (dram), Miyan (gitar), Ezza (vokalis), Ariff (vokalis) dan Jeffrey (percussion) menyifatkan tindakan mereka itu bukan bertujuan mencemarkan irama keroncong.
Sebaliknya, beliau yang berasal dari Merbok, Kedah menjelaskan, lagu-lagu reggae dan keroncong tidak jauh berbeza daripada segi rentak dan penghayatan kerana keduanya mengetengahkan gaya muzik yang santai.
"Sebenarnya, lagu-lagu reggae bukan setakat bertapak di Jamaica tetapi ia juga berada di mana-mana terutamanya di kawasan tepi pantai atau pulau. Biasanya lagu-lagu yang santai seperti reggae amat sesuai dimainkan di kawasan-kawasan seperti itu.
"Sebab itu, kalau kita lihat biasanya di kawasan-kawasan tepi pantai di setiap negara di seluruh dunia mereka mesti ada reggae bar mereka sendiri.
"Selain itu, bagi saya, idea kreatif yang menggabungkan irama moden dengan tradisional juga bukanlah kali yang pertama dilakukan kerana sebelum ini kumpulan Jinbara pernah menggabungkan muzik rock dan irama joget dalam lagu nyanyian mereka," katanya.
Selain kreatif mengetengahkan irama keroncong dalam versi reggae, Purevibracion juga tidak mensia-siakan lirik lagu-lagu mereka yang membawakan tema-tema sejagat termasuklah isu keamanan dan alam sekitar.
Lagu Keroncong kata penyanyi dengan imej rambut dreadlock (bersimpul mati) ini, antara lain menggambarkan tentang kerakusan kuasa dunia seperti Amerika Syarikat yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat politik mereka.
"Saya yang menulis lirik lagu itu menganggap Amerika Syarikat pada hari ini seolah-olah mahu menjadi 'Tuhan' dengan cuba menguasai segala-galanya termasuklah dengan mencampuri urusan dalaman negara-negara lain," ujarnya.
Ditubuhkan pada tahun 2002, kesemua anggota Purevibracion yang menceburi sepenuh masa bidang muzik terpaksa bekerja keras bagi memastikan karier mereka sebagai pemuzik reggae akan terus berkembang pada masa depan.
Justeru, jelas pemegang ijazah dalam bidang Senireka Grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini, sokongan daripada semua pihak terutamanya media massa amat diperlukan oleh genre muzik tersebut.
"Kami mahu membuktikan bahawa reggae bukanlah suatu konsep muzik yang asing, tetapi ia juga amat popular di peringkat dunia. Cuma di Malaysia, muzik pop dan rock lebih banyak mendominasi dalam industri muzik di sini.
"Sebab itu, usaha kami sekarang ini adalah bekerja keras termasuklah bagi mempromosikan reggae dengan mencipta lagu-lagu yang berkualiti. Ini kerana, kalau berkualiti, lagu-lagu apa sekalipun akan mudah menarik perhatian para pendengar," tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: