|
|
MISI utama penganjuran Anugerah Planet Muzik (APM) yang mula diperkenalkan sejak tahun 2003 hanya satu iaitu untuk mengangkat darjat industri muzik serantau ke tahap yang lebih tinggi.
Menggabungkan tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura, APM juga dilihat sebagai platform terbaik untuk mengembangkan lagi pasaran muzik serantau.
Bukan itu sahaja, APM juga merupakan medan bagi karyawan seni tiga negara tersebut untuk berkongsi idea selain daripada mempelajari sesuatu yang positif demi masa depan industri muzik negara masing-masing.
Selepas lapan tahun penganjurannya, APM juga tidak pernah terlepas daripada kritikan yang cukup hebat sebaik sahaja melabuhkan tirainya.
Sebagai penganjur, Media Corp Radio (Singapura) dan Beyond Events Sdn. Bhd. (Malaysia) mengambil semua kritikan tersebut untuk memperbaiki segala kelemahan dalam memantapkan lagi APM sekali gus meletakkan status anugerah tersebut sebagai yang paling berprestij di rantau ini.
Lebih-lebih dengan senario pasaran muzik semasa yang masih lagi bergelora, APM ternyata prihatin dan akur dengan situasi yang berlaku.
Lantaran itu, mereka mengambil pendekatan untuk melakukan rombakan besar-besaran dari segi pencalonan serta kategori yang dipertandingkan.
Ia membuktikan kesungguhan APM untuk membuka serta memberi peluang kepada lebih ramai lagi anak seni untuk menonjolkan bakat serta karya mereka.
Bukan itu sahaja, apa yang lebih mengujakan pihak penganjur adalah buat pertama kalinya, APM akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Jakarta di Senayan, Jakarta, Indonesia pada 18 Julai depan.
Berbicara dengan Pengarah Urusan Beyond Events Sdn. Bhd., Amin Hussen dalam sidang media pertama APM 2009 di ibu negara minggu lalu, perubahan itu juga telah membuatkan pihaknya menerima lebih banyak pencalonan khususnya dari Malaysia.
Biarpun tidak ramai penyanyi yang melahirkan album sepanjang tahun lalu, namun impak yang terhasil menerusi penghasilan single ternyata telah merobah landskap APM untuk tahun ini.
"Apabila kami mengambil keputusan untuk merombak kategori bagi menyesuaikannya dengan pasaran muzik semasa, ramai menyambutnya secara positif.
"Dengan ini, peluang mereka untuk mencalonkan karya masing-masing terbuka dengan lebih luas sekali gus menonjolkan keistimewaan bakat masing-masing.
"Sebagai salah satu penganjur, kami melihat ini sebagai satu langkah penuh optimis untuk mengukuhkan lagi industri muzik serantau biarpun dilanda dengan masalah kemeruduman penjualan album dan sebagainya," jelasnya.
Turut hadir adalah Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul dan Pengarah Program Radio Warna Media Corp, Isadhora Mohamed.
Tambahnya, APM tetap akan mengalami perubahan tahun demi tahun dan semuanya bergantung kepada senario serta kuasa pasaran muzik semasa.
Antara kategori baru yang diperkenalkan adalah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu bagi Artis Baru Lelaki, Wanita dan Duo/Kumpulan Baru Terbaik selain kategori Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu.
Artis Serantau Paling Popular
Bagi kategori popular pula, APM 2009 buat pertama kalinya mengadakan kategori Artis Serantau Paling Popular dengan mencalonkan empat orang empat artis dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Jika lapan tahun lalu, kategori Lagu Paling Popular dipilih berdasarkan undian peminat menerusi borang undian dan khidmat pesanan ringkas (SMS), kali ini pemenangnya akan ditentukan berdasarkan bilangan muat turun yang paling banyak.
Namun, ia adalah hanya untuk Lagu Malaysia dan Indonesia Paling Popular sahaja manakala Lagu Singapura Paling Popular masih lagi mengekalkan undian secara SMS.
Dalam pada itu, apa yang membuatkan Amin berasa sungguh gembira dan teruja adalah apabila senarai pencalonan yang diterima daripada Malaysia adalah paling banyak untuk tahun ini dengan peningkatan melebihi 50 peratus iaitu dengan 177 pencalonan berbanding 108 sahaja tahun lalu.
Namun pun begitu, Indonesia menunjukkan penurunan yang mendadak apabila hanya mengemukakan pencalonan sebanyak 185 sahaja berbanding 315 pada tahun lalu.
Menjelaskan senario ini, kata Amin, ia adalah keputusan yang diambil oleh pihak juri yang melihat pencalonan yang dihantar saban tahun terlalu banyak sehingga ia mengambil masa lama untuk membuat penilaian.
"Untuk itu, mereka sepakat hanya untuk menghantar calon-calon yang benar-benar layak dan berkualiti sahaja untuk dipertandingkan," ujarnya yang menjelaskan keputusan itu juga direstui oleh Persatuan Industri Rakaman Bunyi Indonesia (ASIRI).
Bukan itu sahaja, kategori untuk karyawan Singapura juga telah dihapuskan tahun ini dan digabungkan sekali dalam kesemua kategori yang dipertandingkan.
Pemansuhan itu juga meninggalkan impak yang bukan sedikit buat karyawan seni Singapura apabila menghantar 48 nominasi sahaja berbanding lebih 101 penyertaan tahun lalu.
APM 2009 mempertandingkan 16 kategori terbaik dan popular di samping dua anugerah khas iaitu Anugerah Cinta Planet Muzik dan Anugerah Khas Planet Muzik.
Sementara itu, disoal mengenai pemilihan Indonesia sebagai tuan rumah selepas Singapura dan Malaysia mendominasinya sejak lapan tahun lalu, Amin memberitahu, perkara itu sudah lama dicadangkan.
Akan tetapi, beberapa tahun selepas APM dianjurkan keadaan politiknya yang bergelora selain daripada isu keselamatan di sana menjadi punca mengapa negara jajahan Belanda itu tidak dipilih sebagai tuan rumah.
"Selepas melihat senario di sana kembali tenang, maka dengan itulah Jakarta dipilih sebagai hos tahun ini dan selaku penyiar rasmi di sana, GlobalTV akan mengendalikan semuanya dari aspek persembahan dan sebagainya.
"Kami juga memberi jaminan senarai artis yang akan membuat persembahan nanti akan seimbang dan tidak akan timbul persoalan dominasi serta perkara berbangkit yang lain," katanya yang masih lagi belum memutuskan senarai artis dari Malaysia yang akan membuat persembahan kelak.
APM 2009 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Ria (saluran 104, Astro) itu akan dihoskan oleh pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi di samping dua pengacara dari Indonesia dan Singapura yang masih belum diputuskan lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: