Tuesday, June 9, 2009

Jason terokai bidang baru

Cukup dikenali sebagai Jimmy, seorang jejaka Cina yang berperwatakan lembut persis wanita tetapi disayangi oleh rakan sekerja. Itulah peranan yang dipegang oleh Jason Chong dalam drama sitkom Fara yang diterajui oleh penyampai radio popular Farah Fauzana yang disiarkan TV3.

Watak sebagai Jimmy memang memberi impak yang mendalam kepada peminat sitkom tersebut sehinggakan ada di kalangan penonton menyangka Jason memang berperwatakan sebegitu.

Hakikatnya, Jason bukanlah berkarakter sebegitu tetapi merupakan seorang lelaki tulen yang meminati golongan hawa.

Setelah berjinak-jinak dengan dunia peragaan dan lakonan, Jason kini mula mengorak langkah sebagai pengarah filem. Buah tangannya yang pertama terbitan Preston Zaidan Production (PZP) yang berjudul Belukar akan menjengah pawagam pada awal 2010.

Jason yang juga merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah PZP amat berbesar hati apabila diberi tanggungjawab untuk mengarah filem sulung PZP itu. Bukan itu sahaja, skrip Belukar juga merupakan hasil penanya.

Namun, Belukar bukanlah hasil arahannya yang pertama tetapi Jason sebelum ini pernah mengarahkan beberapa filem pendek dan komersial TV.

Belukar yang mempertaruhkan cinta dan thriller sebagai genre mengetengahkan konsep filem independent. Ia bertujuan untuk mewujudkan pilihan lain kepada penonton berbanding filem komersial yang sedia ada.

“Saya sebenarnya ingin mencuba pasaran filem di Malaysia. Saya sukakan sesuatu boleh dijadikan eksperimental,” katanya ketika ditemu bual pada majlis ramah mesra pelakon Belukar bersama media di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Menurut Jason, beliau cuba untuk memberi kelainan dari aspek ideologi dalam penerbitan filem itu.

”Bagi menambah kelainan dalam filem ini, lima indie band tempatan akan menyumbangkan lagu ciptaan mereka sebagai soundtrack,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan pihaknya masih lagi mencari penaja untuk tujuan promosi dan kemungkinan siri jelajah akan diadakan bersama pelakon yang terbabit seperti Daphne Iking, Bront Palarae, Azhar Sulaiman, Danny dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: