Anda mungkin tidak percaya Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek beristeri lapan! Apakah daya tarikan pada kasanova ini?
Diandaikan Apek mengamalkan poligami, bukankah sekadar empat isteri sahaja dibenarkan pada satu-satu masa?
Namun semua itu hanyalah watak yang akan digalas oleh Apek sebagai adik-beradik kembar bernama Azrul dan Azlan yang terpisah sejak kecil. Mereka hanya ditemukan di pejabat peguam apabila ayah mereka meninggalkan wasiat berjumlah RM50 juta untuk mereka. Bagaimanapun, syaratnya, kedua-dua mereka haruslah menikahi empat orang isteri.
Ketika diajukan soalan tentang gosip hubungan rumah tangganya yang dikatakan telah berantakan, Apek menafikan sekeras-kerasnya dan berkata semua itu hanyalah gosip liar yang tidak berasas.
”Seeing is believing. Wartawan-wartawan yang mengikuti rombongan percutian saya ke Bali telahpun sedia maklum status hubungan kami sebagai suami isteri. Spekulasi ini seharusnya tidak harus diambil peduli. Peminat sepatutnya mendoakan agar hubungan kami berpanjangan.
”Kalau benar ada masalah sebegini, pejabat kadi dah umum dulu. Mana boleh lari daripada perkara sebegini jika benar. Saya masih lagi dengan isteri dan dua anak saya,” katanya ketika ditemui di majlis doa selamat filem 4 Madu dan bacaan skrip oleh artis-artis filem tersebut di pejabat Line Clear Motion Pictures Jumaat lalu.
Apek turut diajukan soalan sama ada akan mengamalkan poligami seperti watak-watak yang pernah dilakonkannya sebelum ini. Apek yang memang suka berjenaka menolak kemungkinan akan berlakunya situasi seperti itu.
”Orang lain mungkin pernah terfikir tetapi pada saya langsung tidak terlintas,” katanya sambil menyatakan dua anak lelakinya telah pun berusia 14 tahun dan 11 tahun kini.
Sementara itu, Apek memberitahu, pembawaan dua watak dalam satu filem kali ini lebih sukar kerana dua watak utama tersebut (Azrul dan Azlan) kerana durasi scene kedua-dua karakter itu secara puratanya memakan masa hampir sama.
Untuk menyuntik kesegaran, Apek telah membuat penyelidikan terlebih dahulu agar dapat menjiwai watak-watak yang dibawanya.
Ketika menjawab sama ada tidakkah beliau risau mengenai pembawakan watak yang hampir sama dalam setiap filem lakonannya membuatkan penonton berasa bosan, beliau berkata: “Saya juga ingin mengelak daripada membawa watak yang stereotaip (komedi). Tetapi apakan daya, itu adalah rezeki saya.”
Sesungguhnya, Apek mengakui dirinya mendambakan watak yang berlainan. Tetapi hasilnya, ketika membawa watak yang sedikit serius dalam filem Cicakman 2, graf dari segi bilangan penonton agak menurun. Menurut Apek, rata-rata peminatnya lebih menyukai perangainya gila-gila berbanding wataknya yang serius.
Walau bagaimanapun, Apek yakin genre komedi mempunyai peminatnya tersendiri dan percaya filem 4 Madu yang bakal dilakonkannya dapat menarik minat penonton dari segenap lapisan usia.
Dalam perkembangan terbaru, Apek kini sibuk dengan produksi dan portalnya www.saifulapek.com.my. Jelas Apek, portal tersebut adalah lebih lengkap sebab pelayarnya boleh berinteraksi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan chatting room.
Malah katanya, dengan adanya laman web tersebut, peminat boleh membeli barang cenderamata menerusi SMS dan sistem kupon.
”Sekarang saya dah tetapkan masa saya. Selalunya saya akan mengambil masa selama dua jam mulai 12 malam sehingga 2 pagi untuk bersama peminat menerusi laman tersebut,” jelasnya.
Mengenai status penayangan filem pertama arahannya Shh... Dia Datang, pelawak tersohor itu berkata, filem terbitan Noradz Production Sdn Bhd itu barangkali akan ditayangkan pada bulan Disember ini sempena cuti sekolah.
”Produser filem ini terlalu sibuk. Sebab itulah filem ini saya tangguh dahulu. Kecewa juga tetapi pada masa yang sama tak nak terlalu ghairah untuk mengambil risiko untuk mengeluarkan filem itu dalam masa yang singkat," katanya.
Apek berharap filem sulung arahannya itu mendapat sambutan yang baik apabila menjengah pasaran hujung tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: