KUALA LUMPUR – Seramai 127 orang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Bukit, Kajang terpaksa menyambung sesi persekolahan mulai Isnin ini tanpa bilik mereka apabila satu blok bangunan sekolah itu musnah dalam kebakaran pagi semalam.
Bangunan dua tingkat itu menempatkan bilik guru di bawah manakala tingkat atas dijadikan perpustakaan, bilik peperiksaan dan bilik kaunseling.
Kebakaran pada pukul 5.35 pagi itu turut memusnahkan banyak dokumen milik guru seperti buku rekod serta slip keputusan peperiksaan para pelajar.
Pegawai Bomba Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kajang, Noor Ahmad Mohd. Sarif berkata, kebakaran itu dapat dikawal kira-kira pukul 5.50 pagi.
“Tiada kecederaan dilaporkan tetapi hampir 95 peratus struktur bangunan dan harta benda dalam blok itu musnah,’’ katanya dengan menambah, siasatan punca kejadian masih dijalankan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: