Saturday, June 27, 2009

Glamor dan derita legenda muzik...Michael Jackson

BAKAT, impian dan misteri hidupnya membuatkan dia diangkat sebagai legenda. Sayangnya, Michael Jackson meninggal dunia pada usia muda – 50 tahun di Los Angeles, Amerika Syarikat.




BELIAU menderita sepanjang hayatnya biarpun diri dipuja jutaan peminat. Salutan kemilau glamor juga belum dapat membuatkan hidupnya gembira.

Raja Pop Dunia, Michael Jackson, 50, yang meninggal dunia di UCLA Medical Center, Los Angeles, Amerika Syarikat, kelmarin, sebenarnya memiliki sejarah yang suram dari segi kesihatannya.

Tanpa mengira masalah kesihatan dalaman atau psikologikal yang dialaminya selepas menjadi ikon terkenal sejak zaman kanak-kanak, Michael pada usia muda lagi telah mengalami tragedi yang menyebabkan tahap kesihatannya menurun.

Pada tahun 1984, ketika berusia 25 tahun, Michael terbabit dalam satu kebakaran ketika sedang menyanyi pada sesi rakaman iklan untuk Pepsi-Cola, apabila berlaku kesilapan teknik terhadap bom asap yang digunakan sebagai kesan khas dalam iklan tersebut.

Beliau terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian kulit kepalanya. Akibatnya, beliau mengalami ketagihan terhadap pil penahan sakit yang terpaksa diambilnya berikutan tragedi itu.


RAJA Pop yang tidak akan hilang daripada memori peminatnya.


Pada era 1980-an, Michael juga dilaporkan mengalami kesakitan akibat penyakit lupus (SLE) yang berpunca daripada sistem pertahanan tubuh yang abnormal. Bagaimanapun, kesakitan yang dialaminya itu beransur reda.

Pada masa yang sama, Michael menjalani beberapa pembedahan plastik yang termasuklah pembedahan pada bahagian hidung iaitu rinoplasti dan implan pada bahagian pipinya.

Pada tahun 1993, pakar kulit Michael, Dr. Arnold Klein mengesahkan Michael telah didiagnosis menghidap penyakit kulit yang jarang menyerang manusia, dikenali sebagai vitiligo.

Vitiligo menyebabkan individu yang mengidapnya mengalami kehilangan melanin, iaitu pigmen yang menentukan warna kulit, rambut dan mata.

Penyakit ini hanya menyerang satu hingga dua peratus daripada populasi dunia dan setakat ini dunia perubatan belum mengetahui apakah puncanya.


MICHAEL mula disaluti glamor sejak kanak-kanak lagi.


Pada tahun 1990, Michael dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesakitan pada bahagian dada. Masalah ini berlanjutan selama tiga tahun hinggakan konsertnya yang dijadualkan pada Ogos 1993 terpaksa ditunda selepas beliau mengalami dehidrasi.

Konsert tersebut akhirnya berlangsung pada November 1993 tetapi terpaksa dipendekkan kerana Michael mengalami ketagihan terhadap pil tahan sakit serta terbabit dengan kes mahkamah atas tuduhan mencabul kanak-kanak.

Ketika menjalani latihan di Beacon Theater di New York pada Disember 1995, Michael pengsan di atas pentas kerana mengalami dehidrasi dan tekanan darah rendah.


GEROMBOLAN peminat dan media berkumpul di perkarangan UCLA Medical Center sebaik sahaja mengetahui kematian Michael.


Ketika para juri sedang berdebat mengenai kes yang mendakwanya atas tuduhan mencabul kanak-kanak pada Jun 2005, Michael dimasukkan hospital bagi mendapat rawatan. Menurut jurucakapnya, ia bagi menghilangkan kesakitan pada bahagian belakangnya.

Spekulasi hangat diperkatakan pada Disember tahun lalu selepas Michael dilaporkan sakit disebabkan kekurangan Alpha-1 antitripsin, iaitu penyakit berkaitan genetik yang jarang menyerang manusia.

Ia membawa kepada spekulasi lebih hangat apabila pada Mei tahun ini, Michael dikatakan menghidap kanser kulit.

Namun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AEG Live, Randy Phillips, memberitahu CNN: "Michael Jackson sangat sihat sekarang. Dia tiada sebarang masalah berkait kesihatannya."

Bagaimanapun, kelmarin (Khamis di AS), ketika berusia 50 tahun, Michael pengsan di rumah yang disewanya di Holmby Hills, lalu dibawa ke UCLA Medical Center.




Peguam keluarga Jackson, Brian Oxman, dalam pada itu berkata: "Kecederaan Michael, yang dialaminya ketika membuat persembahan, yang mana kakinya pernah patah selepas jatuh di atas pentas dan tulangnya retak, menambahkan penderitaannya dari segi kesihatan.

"Saya sendiri tidak tahu sampai ke tahap mana ubat-ubatan yang diambilnya bagi mengatasi masalah kesihatannya itu."

Serangan jantung yang dikatakan menjadi punca kematian Michael merupakan tanda-tanda penyakit jantung yang telah menyerang kira-kira 300,000 rakyat AS setiap tahun.

Dr. Clyde Yancy dari Persatuan Jantung Amerika memberitahu: "Tanpa bantuan segera bagi menyedarkan kembali seseorang yang pengsan akibat serangan jantung, kadar survival adalah di antara lima hingga 15 peratus."

"Jika proses menyedarkan kembali individu tersebut mengambil masa lebih dari tiga hingga enam minit, individu akan mengalami gangguan pada penglihatannya."

Tambahnya: "Jika lebih daripada lima minit, kemungkinan mangsa untuk meneruskan hayat agak tipis, terutama bagi individu pada usia lanjut. Individu pada usia muda boleh bertoleransi terhadap serangan jantung dengan lebih baik."

Kenyataan itu mungkin merungkai sebab kematian Michael yang sebenarnya sedang sibuk membuat latihan bagi konsert kemunculan semulanya di London bermula 13 Julai ini dan akan berlanjutan sehingga Mac 2010.

Namun segala perancangan itu tidak kesampaian dan anak kelahiran Gary di Indiana, Illinois pada 29 Ogos 1958 itu meninggalkan semua yang menyanjunginya dan kini menjadi satu sejarah dan kenangan buat semua.


HELIKOPTER menerbangkan mayat Michael dari UCLA Medical Senter di Los Angeles ke kediamannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: