SENYUMAN sang juara, rambut mengurai penuh menawan dan aura seksual merupakan ciri utama Farrah Fawcett sebagai simbol seks dan bintang popular televisyen pada era 1970-an, Charlie's Angels.
Namun, itu dunia glamor yang telah lama ditinggalkannya. Selepas disahkan menghidap kanser dan berjuang menentang penyakit itu, lalu pada usia 62 tahun, Fawcett akhirnya 'menyerah kalah'.
Mendiang meninggal dunia pagi kelmarin di St John's Heath Center di Santa Monica, California, Amerika Syarikat, Khamis, sama hari dengan kematian Raja Pop, Michael Jackson - hampir tiga tahun selepas didiagnosis menghidap kanser dubur.
Aktor Ryan O'Neal, yang merupakan pasangannya dalam tempoh yang lama turut menemaninya pada detik-detik akhir hayatnya.
"Selepas sekian lama berjuang melawan kanser, Farrah Fawcett yang disayangi kita semua kini telah pergi buat selama-lamanya," ujar O'Neal.
Tambahnya: "Biarpun ini merupakan saat paling sukar bagi keluarga dan rakan-rakan mendiang, kami semua ingin menyimpan semua kenangan manis bersamanya dan dengan nostalgia bahawa dia telah membawa keceriaan kepada kami semua sepanjang hayatnya itu."
Menerusi program Farrah's Story yang disiarkan pada bulan lepas, dia membuat kenyataan umum mengenai kesakitan yang dialaminya semasa proses rawatan - daripada perlu mencukur rambutnya sehingga kepalanya botak sebelum menjalani kemoterapi hinggalah ke peringkat menjalani rawatan di Jerman.
"Mesej utama yang ingin disampaikan oleh mendiang adalah jangan putus asa. Walau apa jua mendatang, teruskan perjuangan," ujar Alana Stewart, yang membuat kerja-kerja penggambaran ketika Farrah menjalani proses rawatan. Menurut stesen TV yang menayangkan program itu pada 15 Mei lalu, seramai 9 juta penonton telah menyaksikan program tersebut.
Menerusi dokumentari tersebut, dia juga telah mendakwa pihak dalaman UCLA Medical Center yang menyimpan segala rekod kesihatannya, sehingga menyebabkan seorang pekerja hospital tersebut mengaku bersalah kerana menjual maklumat privasi selebriti kepada akhbar National Enquirer.
"Tiada ayat untuk menggambarkan betapa sedihnya kami dengan pemergian Farrah buat selama-lamanya ini," ucap Stewart.
Fawcett menjadi bintang sensasi pada tahun 1976 ketika mula-mula muncul sebagai trio penyiasat menerusi Charlie's Angels bersama Jaclyn Smith dan Kate Jackson.
Dia meninggalkan siri popular itu selepas satu musim sebelum tempatnya diganti oleh aktres Cheryl Ladd.
Dilahirkan pada 2 Februari, 1947 di Corpus Christi, Texas, Fawcett mula-mula didiagnosis menghidap kanser dubur pada tahun 2006.
Dia menggagahkan diri menjalani rawatan dengan bantuan moral bekas pasangannya, Ryan O'Neal serta anaknya bersama O'Neal, Redmond, kini berusia 24 tahun.
Fawcett pernah bergelar Farrah Fawcett-Majors selepas berkahwin dengan pelakon sebuah lagi siri TV popular, Six Million Dollar Man iaitu Lee Majors.
Pada tahun 1995, Fawcett menimbulkan kontroversi selepas bergambar separuh bogel dalam majalah Playboy.
Pada September, 2006, apabila mula-mula didiagnosis menghidap kanser dubur, Fawcett hanya meluahkan kata-kata menerusi Farrah's Story: "Saya tidak mahu penyakit ini. Jadi saya hanya berkata kepada Tuhan, "Ini adalah masa yang serius untuk keajaiban."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: