Monday, June 8, 2009

Gelora pasang tiga



PASIR MAS: Akibat enggan membalas cinta seorang kakitangan kerajaan yang mahu menjadikannya isteri ketiga, seorang wanita berusia 22 tahun terpaksa melalui pengalaman menakutkan, termasuk diugut bunuh di Cabang Empat Tok Uban di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Ain mendakwa Perodua MyVi dipandunya dirempuh kereta lelaki berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kelar.

Dia sebelum itu menyedari diekori lelaki dikenalinya itu yang memandu Proton Wira hijau.

Menurutnya, ketika cuba membelok ke simpang kanan di tempat kejadian, keretanya dirempuh dari belakang sebelum dirempuh kali kedua pada bahagian kanan apabila dia cuba melarikan diri.


“Selepas pelanggaran kali kedua itu, kereta saya dan kereta lelaki terbabit terhenti di tepi jalan. Saya tidak berani keluar dari kereta, tetapi hanya menurunkan cermin kerana ketakutan.


“Saya kemudian melihat lelaki terbabit keluar dari keretanya dan menuju ke arah saya sambil memberikan kata-kata ugutan, ‘mujur mu tak mampus, jumpa sekali lagi mampus mu!’,” katanya yang bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat ejen insurans di Kota Bharu.

Berikutan kejadian itu, Ain menghubungi teman lelakinya yang datang untuk menyelesaikan perkara itu secara baik, namun berlaku sedikit pergaduhan apabila dia turut dipukul lelaki berkenaan.

“Saya kemudian ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk membuat laporan kerana lelaki terbabit membuat ugutan untuk membunuh saya selain merempuh kereta saya hingga terbabas.

“Saya yakin dia memang mempunyai niat tidak baik apabila mengekori kereta saya sejauh satu kilometer selepas rempuhan kali pertama,” katanya.

Ain berkata, dia mengenali lelaki berusia 37 tahun itu yang dipercayai bertugas di sebuah pejabat kerajaan negeri.

Ketika itu, wanita berkenaan mendakwa tidak mengetahui niat lelaki terbabit yang berhajat memperisterikannya kerana mengetahui dia sudah mempunyai dua isteri selain dikatakan pernah bercerai.

“Sebelum kejadian kelmarin, dia pernah menghalang kereta saya dari belakang dan apabila saya keluar dari kereta, tiba-tiba kepala saya dipukul.

“Selain itu, dia pernah mengungkit perkara lama, termasuk pernah membantu saya mendapatkan bantuan wang tunai ketika saya masih belajar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: