Monday, June 8, 2009

Filem eksperimen terbaru UiTM


EMAN dan Rozita berlakon sebagai suami isteri, sementara adik Firmi sebagai anak saudara yang menetap bersama.


TAHUN lepas, pemerhati dan peminat filem sudah dipersembahkan dengan sebuah filem besar terbitan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjudul Wayang. Disifatkan filem terbaik untuk tahun 2008 namun pada mata sesetengah pihak, karya dan arahan Dr. Hatta Azad Khan itu tidak memberikan banyak impak, tidak popular dan tidak meraih banyak trofi pada festival filem yang disertai termasuk Kuala Lumpur International Film Festival dan Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) tahun lepas.

Biarpun begitu, kehadiran semula Hatta dalam arus pembikinan filem tempatan ternyata meraih perhatian industri. Pertama, penerbit filem David Teo sendiri menerusi syarikatnya, MIG, sedia menjadi pengedar bagi Wayang yang ditayangkan di pawagam-pawagam tahun lepas. Kedua, baru-baru ini Hatta mendapat kepercayaan Sinar Redha Sdn. Bhd. sebagai pengarah untuk filem berjudul Aman.

Dilihat jarak masa selama 18 tahun yang diambil oleh Hatta untuk mengarahkan filem keduanya, Wayang (2008) dengan filem pertamanya, Mat Som (1990) diikuti Aman pada 2009, Hatta sebenarnya sedang bangkit untuk melestarikan segala ilmu perfileman yang tersimpan sekian lama di dadanya.

Hatta pernah berkata, dia bukan pembikin filem yang aktif kerana tidak punya dana sendiri. Penerbitan Wayang terlestari kerana inisiatif dan dana daripada UiTM sekaligus membuktikan pengajian filem bukan sia-sia.

Menerusi Wayang dan kini Aman, usaha Hatta dan UiTM nampaknya mendapat kepercayaan jitu. Ramli Ibrahim yang mewakili Sinar Redha menaruh kepercayaan terhadap Hatta bersama tenaga kreatif yang terdiri daripada separuh UiTM dan separuh lagi tenaga profesional dalam industri itu untuk menjadikan Aman sebuah filem yang berhasil.

"Syarikat kami syarikat baru dan tiada pengalaman walaupun dunia filem menjadi kecenderungan saya. Bagi saya, ini satu percubaan yang meyakinkan apatah lagi skrip Aman sangat menarik, begitu juga dengan senarai pelakon. Saya pilih Hatta kerana saya mengenalinya dan sering perhatikan apa yang dilakukan UiTM selama ini," jelas Ramli Ibrahim pada majlis pelancaran filem Aman baru-baru ini.

Bagi Hatta dan pihak UiTM, projek Aman menjadi perintis bagi perkongsian dua hala antara pihak universiti dengan syarikat produksi filem. Harapan Hatta ialah kerjasama itu akan bersambung lagi dan menjadi ikutan pihak lain.

"Saya fikir ada orang telah nampak apa yang sedang kami usahakan di UiTM," kata Hatta yang diberikan tanggungjawab merealisasikan Aman dalam wajah sebuah filem komedi.


HATTA percaya gandingan nama besar dalam filem Aman bakal memberikan kelebihan kepada filem terbaru arahannya itu.


Selepas Mat Som lakonan Imuda yang menggabungkan komik ke dalam medium filem, Aman menjadi filem komedi kedua arahannya. Kali ini, komedi Hatta bukan komedi komik sebaliknya komedi yang terhasil daripada suasana.

Tentunya ramai yang terfikir mampukah Hatta menggeletek hati penonton sedangkan filem Wayang yang kembali mengangkat namanya sebagai pembikin filem merupakan sebuah filem berat yang jauh lari daripada arus komersial.

"Benar ini baru filem komedi kedua arahan saya tapi saya memang bermula dengan komedi, saya buat sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang masih disiarkan sehingga berbelas tahun.

"Buat masa ini, tidak banyak yang boleh saya katakan kerana penggambaran belum bermula. Lepas habis penggambaran dan bila sudah siap nanti, barulah anda semua dapat saksikan kelainan komedi saya kali ini," jawab Hatta ringkas.

Beliau memilih judul Aman bukan sahaja disebabkan filem itu berkisarkan seorang kanak-kanak pintar tetapi bernasib malang bernama Aman yang terpaksa tinggal bersama bapa dan ibu saudaranya, tetapi Aman juga sebuah kisah masyarakat Malaysia yang hidup dalam suasana penuh kesepakatan.

Eman dan Rozita jadi suami isteri

Awal-awal lagi, kelainan yang dimaksudkan oleh Hatta dapat dikesan menerusi pemilihan pelakon utama yang menjadi jentera komedi filem Aman kelak apabila menampilkan Eman Manan, Rozita Che Wan dan Firmi Saedon sebagai pelakon utama.

Menariknya, selain menjadi karya pertama yang menggandingkan pelakon lelaki berkarisma, Eman, bersama si jelitawan beranak dua, Rozita Che Wan, Aman juga menjadi filem komedi pertama yang dilakonkan Eman sejak sekian lama membina nama sebagai antara pelakon lelaki terbaik.

Menoleh catatan dan latar belakang Eman Manan, mungkin lakonan bukan lagi satu perkara yang sukar buatnya kerana sudah tiga kali beliau menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di FFM5, FFM10 dan FFM17.

Dalam semua watak yang dimainkannya, contohnya melalui Matinya Seorang Patriot, Puteri, Bintang Malam, Lenjan, Buai Laju-Laju dan Wayang (sekadar menyebutkan beberapa judul), jarang kemunculannya tidak meninggalkan impak.

Kali pertama diberikan naskhah komedi, mampukah seniman berimej serius itu menyuntik humor ke layar perak?

"Saya tidak akan buat lawak dan tidak memaksa penonton untuk ketawa. Komedi bagi saya tidak semestinya hanya dihasilkan oleh pelawak atau pelakon komedi, keadaan juga boleh membuatkan orang ketawa.


DR. HATTA AZAD KHAN tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mengarah filem Aman.


"Contohnya ada satu babak tentang orang yang buta sebelah mata. Ketika makan, dia hanya makan separuh daripada nasinya, kemudian dia terus basuh tangan dengan separuh lagi nasi ditinggalkan. Kawan-kawan yang menyaksikan keadaan itu, memusingkan pinggan nasinya, jadi bila dia datang balik, dia terkejut tengok nasinya masih ada. Tidakkah adegan itu sesuatu yang lucu?" jelas Eman.

Berpasangan sebagai suami isteri dengan Rozita serta Firmi sebagai anak saudara yang tinggal bersama mereka setelah kematian ibu, gandingan itu disifatkan satu pengalaman baru buat Eman.

"Saya selalu lihat lakonan Rozita dalam TV. Dia cantik dan popular, saya harap saya boleh tumpang populariti dia untuk filem ini," ujar Eman berseloroh.

Firmi pula diakuinya sebagai kanak-kanak yang bijak dan berbakat besar. Pernah berkongsi lokasi penggambaran bersama Firmi untuk sebuah telemovie sebelum ini, Eman sedar berlakon dengan kanak-kanak adakalanya memberi tekanan berbeza terhadap para pelakon termasuk krew produksi.

"Paling susah nak berkompromi adalah masa tidur mereka. Tiba masa, mereka akan tidur dan tidak boleh sambung berlakon. Kejutkan macam mana pun, tak boleh buat apa.

"Tapi Firmi tak ada banyak masalah, dia memang budak bijak. Cuma satu sahaja, pada hari terakhir penggambaran, dia menangis sekuat hati, tak nak balik dan tanya kepada semua orang kenapa penggambaran dah habis," beritahu Eman yang baru-baru ini menamatkan penggambaran filem terbarunya, Dimensi Cinta.

Selain Eman, Rozita dan Firmi, filem komedi Aman yang bakal menjalani penggambaran penghujung Jun ini turut dibantu pelakon-pelakon lain yang tidak kurang hebatnya. Mereka termasuklah Adibah Nor, Harun Salim Bachik serta anggota kumpulan Senario yang terdiri daripada Azli, Mazlan Pet Pet dan Wahid.

Bagi Hatta sendiri, barisan pelakon yang terbabit menerusi naskhah komedi terbarunya itu juga merupakan satu kelainan yang sengaja digarap sedemikian bagi memberi bentuk baru kepada wajah komedi.

"Saya kagum dengan bakat Senario dan saya percaya ada ruang dalam diri mereka yang masih belum didedahkan kepada peminat dan diterokai secara lebih dalam lagi," jelas Hatta.

Aman boleh disifatkan eksperimen terbaru Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM untuk mengukuhkan nama sebagai institusi pendidikan filem yang tidak semata-mata mengajar seni dan teori kepada pelajar, sebaliknya mempraktik dan mengamalkan apa yang dipelajari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: