KUALA LUMPUR - Akibat tidak tahan menanggung penderitaan menjadi mangsa dera selama 34 bulan, seorang amah nekad melarikan diri dari rumah majikannya di Jalan Kiara, Mont Kiara di sini semalam.
Mangsa Siti Hajar, 33, rakyat Indonesia meninggalkan rumah tersebut pada pukul 1 pagi dalam keadaan sehelai sepinggang sebelum menaiki teksi ke pejabat Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak di sini.
Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Dai Bachtiar berkata, pembantu rumah berasal dari Jawa Barat itu tiba di pejabat kedutaan pada pukul 8.30 pagi bagi mendapatkan bantuan setelah mendakwa sering didera majikan wanitanya yang berusia 43 tahun.
Menurut beliau, mangsa mula bekerja di rumah majikannya seorang ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak berumur 11 dan 13 tahun bermula pada 2 Julai 2006.
"Dalam tempoh itu, mangsa mendakwa dia sudah banyak kali disiram dengan air panas selain dipukul dengan objek keras jika melakukan kesalahan termasuk kesalahan kecil," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Lebih malang lagi, katanya, sepanjang bekerja di situ mangsa yang beragama Islam mendakwa dia hanya diberi makan nasi tanpa lauk dan jika berlauk ia hanya daging babi.
Dai Bachtiar memberitahu, mangsa mendakwa wanita yang panas baran itu juga tidak pernah membayar gaji mangsa iaitu RM500 sebulan.
Katanya, mangsa yang sampai di kedutaan didapati mempunyai banyak parut selain luka baru pada muka dan hampir keseluruhan badan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: