|
|
|
|
KUALA LUMPUR - Selepas tiga bulan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), pelakon Diana Danielle, 18, akhirnya berjalan keluar dari Kem Princess Heliza dekat Sepang kelmarin dengan penampilan mental dan fizikal seperti 'orang baru'.
Walaupun mengakui masih letih, pelakon itu kini lebih bersemangat hasil pengalaman menjalani latihan di kem PLKN.
Timbalan Penghuluwati di Kem PLKN Princess Heliza itu berkata, dia kini lebih jelas mengenai matlamat hidupnya dan apa yang patut disumbangkan kepada negara.
"Kami telah diajar untuk membuang ego, berkhidmat untuk komuniti dan keluar dua kali seminggu untuk aktiviti komuniti.
"Antaranya melawat rumah orang tua dan rumah anak yatim. Saya telah belajar untuk memberi khidmat kepada masyarakat,'' katanya ketika ditemui bersama ibunya, Norsiah Ramli di sini semalam.
Sekilas pandang, tubuh Diana juga semakin berisi dan dia sendiri mengakuinya berat badannya naik tujuh kilogram.
"Siapa kata kita akan kurus di kem PLKN. Tengok badan Diana yang sudah naik. Macam mana tak naik kalau kita diberi makan enam kali sehari? Kadang-kadang, tengah malam kami akan masak mi segera dan makan sebelum tidur.
"Diana menghabiskan RM300 di kedai runcit kem selama tiga bulan hanya untuk membeli makanan untuk dikongsi bersama kawan-kawan," ujarnya.
Diana juga sudah berani menggunting rambutnya sendiri walaupun sebelum ini ia hanya dilakukan di salun sahaja.
Namun, kehidupan umpama asrama dalam kem membuatkan Diana masih berusaha menyesuaikan diri dengan katilnya sendiri di rumah kerana masih terbayang-bayang suasana hidup di kem.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: