CERITA Cik Normah hari ini memang berlegar-legar kepada program realiti Anak Wayang di Astro dan Pilih Kasih di RTM. Pada Khamis lalu, kawan Cik Normah ditugaskan ke rakaman Pentas Anak Wayang bagi pencarian watak jururawat.
Cik Normah tak nak membebel mengenai proses rakaman program itu yang dibuat di studio Astro, Bukit Jalil dan mengambil masa agak lama. Iyalah, kali pertama ia dirakamkan, macam-macam perkara tak dijangka berlaku. Tapi yang Cik Normah nak tegur sikit mengenai sikap pengkritik tetap program itu iaitu Nasha Aziz. Selain Nasha, Rashid Sibir turut memikul tugas sama.
Bayangkan selepas selesai rakaman, kawan Cik Normah dan teman media lain cuba mendapatkan Nasha untuk ditemu bual. Selang beberapa minit, Nasha memberitahu yang dia tidak kisah ditemu bual, malah sanggup mahu memberikan nombor telefon bimbitnya jika ingin meneruskan temu bual itu pada waktu yang lain.
Tapi kerana selesa dan mahu menemu bual Nasha secara langsung, kawan Cik Normah sanggup menunggu biarpun Nasha terlebih dulu harus menyelesaikan beberapa urusan membabitkan pihak produksi. Dengan satu harapan, kawan Cik Normah pun berharap supaya Nasha akan kembali untuk ditemu bual. Alih-alih sampai ke sudah batang hidung Nasha yang mancung itu tak nampak.
Cik Normah pun kurang pasti sama ada Nasha melunaskan urusan pihak produksi itu betul atau sekadar taktik mahu ‘melarikan diri’. Cik Normah tak nak buruk sangka tapi Nasha seharusnya profesional dengan datang kembali kepada kawan Cik Normah untuk ditemu bual. Ini tidak, haram datang balik.
Mungkin juga Nasha ingat kawan Cik Normah nak tanya mengenai urusan peribadinya yang hangat digembar-gemburkan kebelakangan ini hingga dia seolah-olah mahu ‘melarikan diri’. Sedangkan kawan Cik Normah mahu mendapatkan maklum balasnya mengenai bakat dan prestasi peserta Anak Wayang saja.
Cik Normah tak hairanlah Nasha nak bercinta dengan siapa pun. Kalau iya pun Nasha janganlah buat macam itu sekali dekat kawan Cik Normah. Tapi tak apa, kalau minggu lalu tak dapat, mungkin minggu ini dan minggu mendatang, kawan sepejabat Cik Normah boleh menemu bual Nasha kerana setiap minggu pelakon dan peragawati itu akan berada di Astro, melakukan tugasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: