Saturday, June 13, 2009

Aksi terbang dalam Mana Setangginya


PARA wakil media massa dipertontonkan aksi seorang penari, Tengku Puteri Nor Azilina Tengku Aman Shah melayang dan terbang ke udara dengan menggunakan kepakaran dari Amerika Syarikat di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


TEATER Mana Setangginya yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, mulai hari ini hingga 21 Jun ini bukan setakat sarat dengan nilai-nilai pemikiran di sebalik pengkisahan ceritanya semata-mata.

Sebaliknya, karya nukilan Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan itu turut disuntik dengan pelbagai elemen tambahan termasuklah aksi-aksi terbang para pelakonnya bagi menambahkan lagi rasa kekaguman para penonton yang menyaksikannya kelak.

Ketua Pengarah IB, Muhammad Juhari Shaarani menjelaskan, pihaknya telah menggunakan khidmat syarikat pakar aksi terbang pentas, Hall Associates Flying Effects dari Illinois, Amerika Syarikat, bagi merealisasikan aksi-aksi yang mampu mempesonakan para penonton itu.

"Ini kali kedua IB memperlihatkan teknologi aksi terbang di atas pentas Panggung Sari iaitu melalui pementasan teater Peterpan The Musical pada tahun 2007. Bagaimanapun, bezanya pementasan itu dibawa dari luar negara.

"Sementara, aksi terbang yang akan kami tonjolkan kali ini merupakan kali yang pertama dalam produksi tempatan. Mana Setangginya merupakan pementasan yang diterbitkan sendiri oleh IB," katanya pada sidang akhbar di Panggung Sari, IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi penggunaan teknologi itu kelak, para penonton Mana Setangginya akan dapat menyaksikan para pelakon serta penari teater arahan Zaifri Husin itu terbang dan terapung di udara di atas pentas pementasan tersebut.

Katanya, selain bertujuan menarik rasa keterujaan para penonton terutamanya golongan muda berkunjung ke IB, teknologi seumpama itu akan terus dipindah serta digunakan pada pementasan-pementasan teater tempatan pada masa akan datang.

"Ini merupakan salah satu cara kami di IB melakukan pemindahan teknologi dan teknik pementasan dari luar untuk dikongsi serta dipraktikkan oleh tenaga kerja kami di sini. Proses ini akan memberi manfaat kepada IB dan industri pementasan hiburan di negara ini.

"Bagi saya, teknologi ini bukan sahaja baru di IB tetapi Mana Setangginya juga bertuah kerana ia karya pertama yang menggunakannya. Kalau 10 tahun dulu Mana Setangginya dipentaskan di Panggung Sari, kita belum ada teknologi ini lagi," ujarnya lagi.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengarah Khidmat Aksi Terbang dari Hall Associates Flying Effects, William Ian Auld yang memberi tunjuk ajar serta latihan kepada tenaga kerja di sebalik pentas di Panggung Sari yang akan menjalankan teknologi tersebut.

Menurut William, teknologi yang mula diperkenalkan 10 tahun lalu itu menggunakan tali dan mesin yang dikendalikan tujuh hingga sembilan pengendali bagi 'menerbangkan' sesuatu aksi terbang di atas pentas.

"Pelakon bukan sahaja mampu 'diterbangkan' atau terapung-apung di atas pentas, malah mereka juga akan menerjah hingga ke bahagian depan pentas untuk berada di atas bahagian tempat duduk penonton.

"Setiap tali yang menerbangkan pelakon mampu menampung berat sehingga 160 kilogram. Sementara itu, empat orang pelakon mampu diterbangkan di atas pentas pada satu-satu masa," katanya lagi yang turut terbabit menjayakan Peterpan The Musical di panggung tersebut dua tahun lalu.

Tambahnya, IB bukanlah panggung pertama yang menggunakan khidmat Hall Associates Flying Effects, tetapi teknologi syarikat itu juga telah di eksport di negara-negara lain seperti Kanada, Norway, Hunduras dan Mexico.

Dengan adanya penggunaan teknologi seperti itu, William tidak menafikan ia telah banyak membantu menceria serta menghidupkan lagi sesuatu persembahan pentas yang akan diadakan sama ada ia untuk medium teater atau muzikal.

"Kami lebih banyak menggunakan teknologi ini untuk pementasan hiburan pentas dan tidak banyak digunakan dalam penggambaran filem kerana ia suatu medium yang berbeza.

"Apatah lagi, filem mempunyai teknik penggambarannya yang tersendiri bagaimana untuk menggambarkan adegan-adegan terbang dan sebagainya," jelasnya lagi.

Pemindahan teknologi itu diharap mampu mengangkat mutu pementasan teater-teater di IB pada masa depan setanding dengan yang telah digunakan di West End, London, United Kindom ataupun Broadway, New York, Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: