PASIR MAS - Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu.
Itu perumpamaan tepat buat tiga beradik perempuan dari Taman Perumahan Jintan, Chetok di sini, apabila perniagaan roti canai mereka diserbu orang ramai selepas menjadi viral di laman sosial Facebook sejak Khamis lalu.
Status dimuat naik seorang daripada tiga beradik itu, Shahrul Ashikah Abdul Aziz, 22, menyebabkan mereka tidak menang tangan melayan pengunjung yang datang menikmati roti canai tersebut.
Suzirana, 25, berkata, dia sama sekali tidak menyangka status dimuat naik adik bongsunya, Shahrul Ashikah secara suka-suka itu menjadi rezeki terpijak buat mereka, malah turut digelar sebagai roti canai tiga beradik.
“Sejak viral, kedai kami tak putus-putus pelanggan datang, dari pelosok tempat termasuk Tanah Merah dan bandar Pasir Mas,” katanya semalam.
Menurutnya, dia dan kakaknya, Norhasenah, 28, serta Shahrul Ashikah lega apabila berjaya menjual lebih 300 roti canai setiap hari berbanding sebelum ini sekitar 100 keping.
Katanya, mereka memilih berniaga untuk membantu meringankan beban keluarga selepas ayah mereka, Abdul Aziz Awang, 69, mengalami sakit asma kronik manakala ibu, Wan Robiah Wan Jusoh, 62, lumpuh.
“Alhamdulillah, rezeki kami makin baik. Dengan hasil jualan ini kami gunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga serta membayar sewa kedai,” katanya.
Suzirana berkata, antara roti canai sering menjadi pilihan pelanggan ialah roti Milo, telur dan cotek.
Katanya, kesemua ini dijual dengan harga RM1.50, manakala roti kosong serendah 70 sen sekeping.
“Penangan viral menyebabkan kedai kami yang dibuka jam 10 pagi hingga 1 pagi diserbu orang ramai untuk merasa sendiri keenakan roti canai," katanya.
Suzirana berkata, selain roti canai, mereka turut berniaga mi celup, laksam dan laksa serta masakan panas bagi memberikan variasi kepada pelanggan untuk menikmati makanan lain
.