MELIHAT aksi ngeri dalam sesebuah filem atau drama, peminat menyangka itulah adegan berani yang dibuat oleh seseorang hero. Hakikatnya, ‘kehebatan’ itu disuntik hasil kerja keras si pelagak ngeri.
Lan Muar adalah antara individu yang sangat sinonim dengan rutin kehidupan pelagak ngeri.
Pelagak ngeri atau stuntman merupakan individu yang melakonkan aksi berbahaya dan berisiko tinggi.
"Tujuannya adalah bagi melengkapkan keperluan babak tertentu dalam plot filem atau drama mengikut kehendak dan imaginasi pengarah.
"Situasi itu sekali gus menunjukkan kerjaya ini sebagai ‘tulang belakang’ dalam menghidupkan beberapa babak," katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, kerjayanya itu terbahagi kepada beberapa kategori seperti aksi pertarungan, perlumbaan kereta dan letupan, terjunan tinggi dan sukan ekstrem.
Mengakui mengalami pelbagai kecederaan di seluruh tubuh badannya, lelaki berusia 47 tahun ini bagaimanapun tidak berputus asa membabitkan diri dalam bidang itu sejak tahun 2005.
"Beberapa tulang di anggota badan saya pernah patah akibat daripada aksi lagak ngeri terutamanya yang melibatkan aksi berkereta.
"Biasanya, sebelum beraksi, saya akan ambil masa beberapa minit bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada sesuatu adegan yang membabitkan lagak ngeri.
"Selepas membuat perkiraan mengenai lompatan dan semua kru sudah bersedia, saya hanya mampu berserah kepada ALLAH SWT kerana Dia sahaja yang akan menentukan nasib kita," katanya.
Katanya, semua risiko itu perlu ditanggung sendiri tanpa perlindungan insurans peribadi.
"Kebanyakan syarikat insurans tidak memberi perlindungan insurans kepada pelagak ngeri kerana bekerja dalam keadaan berisiko tinggi.
"Tetapi, bagi saya, insurans adalah wajib bagi setiap pelagak ngeri sebagai langkah persediaan jika menghadapi saat-saat kecemasan," katanya.
Biarpun penuh cabaran, katanya, menjadi pelagak ngeri bukanlah satu profesion ‘menjual nyawa’ tetapi merupakan pekerjaan profesional dan bukan semua orang mampu melakukannya.
"Sesiapa yang berminat untuk menjadi pelagak ngeri perlulah mematuhi beberapa syarat seperti tidak mengambil dadah, arak dan berfoya-foya.
"Individu yang terbabit juga perlulah seorang yang fokus, berkaliber dan tidak digalakkan bercakap besar kerana kecederaan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja," katanya.
Sebagai bonus, anak jati Muar, Johor itu turut menggalakkan agar individu yang berminat dalam bidang aksi lagak ngeri ini mempunyai kemahiran asas dalam seni mempertahankan diri.
"Ini akan memberi kelebihan selain mudah untuk dilatih berbanding mereka yang tiada pengetahuan langsung," katanya.
Anak ikut jejak
Kini, Lan merupakan ketua lagak ngeri atau stunt master, selain bertindak sebagai penyelaras lagak ngeri atau stunt coordinator.
"Jujur, saya berminat dalam bidang aksi sedari kecil lagi.
"Namun, saya tidak pernah terfikir akan terbabit sebagai pelagak ngeri sekali gus berjaya sehingga ke tahap ini," katanya.
Jika diimbas kembali, karier pemilik nama penuh Roslan Zainuddin ini, bermula selepas terlibat dalam penggambaran filem antarabangsa Anna and The King pada 1995.
"Ketika itu, saya hanya bergerak secara sambilan kerana masih berkhidmat sebagai pengawal peribadi di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Dek minat mendalam, saya meneruskan karier ini secara lebih serius pada 2005 sehingga hari ini," katanya.
Bahkan, khidmat Lan dapat dilihat menerusi pembabitannya sebagai lagak ngeri dalam beberapa filem, drama, teater mahupun acara secara langsung seperti Castello, KL Gangster, Jangan Tegur, Mantera, Flat 3A, V3: Samseng Jalanan, Laga, Kaki Kitai, Inyah, Kala Malam Bulan Mengambang, Abang Long Fadil, Vikingdom, MOX dan terbaru KL Wangan.
"Bidang ini juga membawa saya ke pasaran filem antarabangsa seperti Interchange, SJ12, Cash, Heromogam dan Click," katanya.
Pengalaman kukuh yang diperoleh juga mendorong bapa kepada tujuh anak ini mengasaskan LM Stunt Master, sejak empat tahun lalu.
Tujuan penubuhannya adalah untuk menyediakan lebih ramai pelagak ngeri sekali gus memenuhi kehendak industri perfileman tempatan yang pesat berkembang," katanya.
Lebih membanggakan, lima anaknya turut mewarisi kebolehan Lan dalam bidang aksi lagak ngeri.
"Sebagai bapa, saya sangat mementingkan tahap keselesaan dan keselamatan anak-anak dalam menjayakan sesuatu babak.
"Biarpun berdepan dengan risiko, saya akan mencuba untuk mengelakkannya daripada berlaku," katanya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: