Thursday, March 31, 2016

Raja Ema bakal kahwin lagi




Raja Ema
Raja Ema
PENYANYI dan pelakon popular era 80-an Raja Ema mengakui bakal berkahwin dan akan bersara dari dunia hiburan.
Menurut Raja Ema, dia meracang untuk berkahwin dan akan mengumumkan berita baik itu bila sampai masanya nanti.
"Saya berharap agar semua mendoakan perancangan saya ini. Jadi sebab itulah saya rasa nak bersara selain fokus pada perniagaan," katanya dipetik Media Hiburan.
Berkongsi mengenai perkembangan terkininya, penyanyi yang popular dengan lagu Jejaka Idaman itu berkata, pada tahun 2016, dia lebih menumpukan kepada perniagaan sekarang iaitu menjual produk kesihatan dan kecantikan diri.
Raja Ema yang dikurniakan dua cahaya mata pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali namun kedua-duannya gagal.

Scha Al Yahya tolak sepentas dengan suami




Scha Al Yahya
PELAKON yang juga pengacara terkenal, Scha Al Yahya mengakui tidak bersedia digandingkan sepentas bersama suaminya, Awal Ashaari.
Menurutnya, suaminya itu mempunyai kelas tersendiri sebagai pengacara.
“Bagi saya, Awal pengacara yang sangat bagus. Dia sentiasa bijak dan peka mengenai isu sekeliling.
“Malah sebelum mendapat tugasan bagi mana-mana acara yang dihoskan, dia akan mendapatkan info-info terlebih dahulu.
“Sebab itu saya bimbang jika sepentas dengannya, saya akan tenggelam,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Gempak Superstar di Live House KL.
Kata ibu kepada Lara Alana ini, dia pernah menolak tawaran untuk mengacarakan sebuah program bersama Awal.
“Saya terpaksa menolaknya kerana belum bersedia. Apa pun, jika ada tawaran sama selepas ini, mungkin saya akan mempertimbangkannya,” katanya.
Berkongsi mengenai dirinya menjadi pengacara Gempak Superstar, kata Scha, dia sangat teruja mengendalikan program itu.
“Saya sendiri rindu bergelar pengacara kerana sudah lama tidak melakukan pekerjaan ini.
“Jadi tawaran yang datang amat tepat. Ini masa sesuai untuk saya kembali sebagai pengacara, lagipun anak juga sudah semakin besar,” katanya.
Bercerita lanjut, kata pelakon berusia 33 tahun ini, cabaran baharu baginya memastikan penampilan sebagai pengacara program berkenaan diterima penonton.
“Sudah lama saya tidak beraksi secara langsung, bimbang juga tidak mampu mengawal diri dan tidak menepati tema program.
“Tetapi, saya pastikan membuat yang terbaik dan memberi sesuatu yang baharu kepada penonton nanti,” katanya.
Mengacara bersama Sharnaaz
Menariknya, kali ini Scha bukan beraksi sendiri di pentas Gempak Superstar, sebaliknya digandingkan bersama pelakon Sharnaaz Ahmad.
Akui bintang Awan Dania The Movie ini, dia sebenarnya terkejut mendapat tahu digandingkan dengan pelakon filem Juvana itu.
“Bagi saya, Sharnaaz seorang yang sangat gila-gila dan akan cakap apa sahaja yang dia suka.
“Tetapi, dia juga bagus kerana mempunyai banyak idea untuk diketengahkan. Cuma, akan menjadi cabaran besar kerana kedua-dua kami ini mempunyai karakter gila-gila,” katanya.
Kerana itu, jelas Scha, dia yakin gandingan mereka akan memberikan kelainan kepada program tersebut.
Ditanya apakah dia bimbang kelihatan seperti pelawak ketika mengendalikan program itu, Scha menegaskan, dia dan Sharnaaz bukan pelawak.
“Kami berdua bukan pelawak, jadi kami akan memastikan tiada lawak-lawak tidak berkaitan muncul ketika mengacarakan program ini.
“Apa yang perlu kami buat, hanya menghiburkan penonton,” katanya.
Berkongsi pandangan mengenai kredibiliti seorang pengacara, kata Scha, seseorang perlu bijak dalam apa juga keadaan sekalipun.
“Jika ada salah dan silap, pasti teruk dihentam. Sebab itu, sebelum melakukan kerja ini, ilmu dan pengetahuan amat penting.
“Jangan jadi pengacara yang tiada ilmu. Ia hanya membuatkan kita nampak ‘bodoh’ di mata penonton,” katanya.
Gempak Superstar bakal bersiaran pada 10 April ini setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan Astro Ria HD.

10 kawasan pelancongan diwarta Tapak Warisan Negara




10 kawasan pelancongan diwarta Tapak Warisan Negara
KINABATANGAN - Sebanyak 10 kawasan pelancongan di Sabah akan diwartakan sebagai Tapak Warisan Negara, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata kawasan itu adalah Tapak Arkeologi Agop Batu Tulug Kinabatangan, Taman Negara Kinabalu, Taman Arkeologi Bukit Tengkorak Semporna, Taman Laut Pulau Sipadan dan Lembangan Maliau.
Lokasi lain ialah kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sanktuari Hidupan Liar Kinabatangan, Taman Pulau-Pulau Penyu dan Taman Laut Tunku Abdul Rahman.
Beliau berkata, kawasan itu akan diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
Sehingga kini, sebanyak 12 warisan negeri Sabah membabitkan permainan, pakaian, makanan tradisi dan tarian di negeri ini telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan, katanya ketika melakukan lawatan ke Tapak Arkeologi Agop Batu Tulug dekat sini, semalam.
Mohamed Nazri berkata, pengiktirafan pada peringkat nasional terhadap 10 kawasan berkenaan penting sebelum semua kawasan itu dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Unesco.
Beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Warisan Negara dan kerajaan negeri Sabah melalui Taman-Taman Sabah juga kini sedang menilai Lembah Danum, Maliau Basin dan Imbak Canyon yang berpotensi dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia.
Mengenai Tapak Arkeologi Agop Batu Tulug, Mohamed Nazri berkata kawasan berkenaan merupakan bukti tapak pengebumian masyarakat terdahulu yang menggunakan keranda diperbuat daripada kayu balak.
Dipercayai terdapat lebih 2,000 keranda ditempatkan di dalam gua-gua di sekitar Lembah Kinabatangan, katanya.

Perut ditebuk ketika usia dua hari




Perut ditebuk ketika usia dua hari
Hambali (dua, kiri) dan Eksekutif Jabatan Zakat Negeri Kedah, Hamzani Harun (kiri) turun padang melihat keadaan Syabil.
ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak enam tahun di Taman Mergong Indah di sini, terpaksa membuang air besar melalui beg stoma yang dipakai di pinggangnya selepas disahkan menghidap penyakit usus kronik.
Muhammad Syabil Akif Mohd Ridzuan disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia dua hari sebelum doktor memutuskan untuk menebuk perutnya.
Ibunya, Junaidah Jaafar, 43, berkata, anaknya yang mesra dipanggil Baby itu bukan sahaja menghadapi masalah itu, malah pertumbuhannya juga terbantut.
"Tulang belakang Baby juga sudah membengkok dan baru-baru ini, doktor mengesahkan paru-parunya lemah," katanya.
Menurutnya, doktor ada menyarankan supaya memasukkan tiup ke dalam perut untuk mengelakkan jangkitan, namun dia dan suaminya (Mohd Ridzuan Ahmad Zaman, 43) tidak sanggup untuk menambah kesakitan kepada anaknya.
"Saya percaya pada kuasa ALLAH SWT, anak saya akan sembuh," katanya.
Junaidah berkata, kini dia dan suami buntu memikirkan kos perubatan anaknya yang memerlukan lebih RM600 untuk membeli beg stoma, susu dan lampin pakai buang.
"Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah dengan gaji kira-kira RM1,300 sebulan.
"Dengan pendapatan sebanyak itu memang tidak cukup untuk menampung keperluan baby termasuk kos-kos lain seperti bayaran sewa rumah dan perbelanjaan sekolah dua lagi anak saya (Juhana Syazwani, 19, dan Muhammad Syakil Hanan, 15)," katanya.
Junaidah berkata demikian ketika ditemui di rumahnya semasa menerima kunjungan pihak Jabatan Zakat Negeri Kedah.
Sementara itu, Pegawai Bahagian Korporat Jabatan Zakat Negeri Kedah, Ahmad Hambali Mohd Puat berkata, pihaknya simpati terhadap nasib menimpa Syabil.
Menurutnya, pihaknya pernah memberi bantuan RM1,000 pada tahun lepas, manakala bantuan sama dijangka disalurkan hujung April.
Bagi sesiapa yang ingin membantu meringan beban keluarga ini boleh menghubungi Junaidah di talian 013-5952151 ataupun melalui akaun Bank Simpanan Nasional (02109-41-00006817-4).

Kuasai bahasa Mandarin, Hokkien




Kuasai bahasa Mandarin, Hokkien
Mohd Zihan menunjukkan kebolehannya menulis dalam bahasa Mandarin.
SUNGAI PETANI - Kebolehan bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa Mandarin di kalangan orang Melayu mungkin bukan satu perkara yang asing pada masa kini.
Namun keupayaan menyanyi 15 lagu dalam bahasa Mandarin klasik tanpa melihat lirik mungkin jarang sekali berlaku.
Itulah kelebihan yang ada pada diri Pembantu Penerangan Kanan, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Muda, Mohd Zihan Zari, 50.
Lebih menarik lagi, Mohd Zihan hanya mula mempelajari bahasa Mandarin ketika bertugas sebagai pegawai di Penjara Alor Setar pada 1994 kerana mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan banduan berbangsa Cina.
“Apabila mereka bercakap, saya tak faham langsung apa yang dimaksudkan. Dalam hati berkata, alangkah bagusnya kalau saya dapat belajar bahasa mereka.
“Lagipun, masa itu jabatan penjara memang benarkan banduan berbangsa Cina membaca akhbar seperti The China Press, Nanyang Siang Pau, Kwang Wah Yit Poh dan Guang Ming Daily.
“Saya tak tahu apa yang mereka baca, saya hanya mampu melihat saja. Dari situ, saya ambil keputusan belajar sendiri bahasa Mandarin dan kemudian mula berkomunikasi dengan lebih 40 banduan berbangsa Cina,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Zihan mengakui, pada mulanya memang agak susah bertutur dalam bahasa tersebut kerana jika tersilap nadanya, maka tidak betul maknanya.
“Apa yang boleh saya katakan, memang bukan mudah untuk mempelajari bahasa asing. Tapi ia tidak mustahil.
“Langkah awal, saya beli buku bagaimana nak mempelajari bahasa tersebut. Selepas itu barulah saya ditawarkan belajar bertutur bahasa Mandarin di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan kemudian meneruskannya di Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2014,” katanya.
Beliau berkata, selepas menamatkan perkhidmatan selama 18 tahun di jabatan penjara, beliau meneruskan khidmat di Jabatan Penerangan Malaysia di Kedah dan Pulau Pinang sehingga kini.
“Saya gunakan pengalaman berkomunikasi dengan orang Cina bagi menambahkan pengetahuan bertutur dalam bahasa Mandarin. Hanya sekadar belajar menulis dan membaca tidak cukup untuk menguasai bahasa Mandarin atau bahasa apa sekalipun.
“Untuk mahir dalam sesuatu bahasa, seseorang itu perlu bergaul dan berada dalam lingkungan budaya mereka, barulah boleh bertutur dengan fasih.
“Sekiranya orang Melayu seperti saya ingin belajar bahasa Mandarin atau bahasa asing lain, perlu berkomunikasi secara berterusan,” katanya.
Tambahnya, kelebihan bertutur bahasa ketiga menjadi nilai tambah kepada dirinya apabila bahasa Mandarin itu memudahkan lagi perjalanan kerjayanya.
“Dengan kebolehan berbahasa Mandarin, saya mudah untuk berkomunikasi dengan masyarakat berbangsa Cina di negara kita mahupun pelancong luar. Selain itu saya juga punya lebih ramai kenalan terdiri daripada berbilang kaum,” katanya.
Menyanyi kaedah paling mudah kuasai Mandarin
Penjawat awam yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai dua anak tinggal di Tandop, Alor Setar ini berkata, lagu-lagu dan drama televisyen juga sering mempengaruhinya untuk mendalami bahasa.
“Saya suka luangkan masa untuk menonton dan mendengar lagu dalam bahasa Mandarin, kadangkala sanggup hafal lirik dan mencari makna pada bait-bait lirik tersebut,” katanya.
Tambahnya, beliau amat tertarik bagaimana orang Cina boleh menguasai tulisan berbentuk karakter dan jumlah huruf yang sangat banyak.
“Saya rasa rugi kalau tak belajar dan menguasai salah satu daripada sistem tulisan paling lama di dunia. Sehingga sekarang pun saya masih lagi belajar termasuk membaca akhbar bahasa Cina.
“Saya juga rasa menyanyi adalah kaedah paling mudah untuk menguasai bahasa Mandarin. Kaedah ini saya teruskan sampai sekarang, walaupun bukan seorang penyanyi handalan.
“Saya pernah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan nyanyian sempena Malam Media Kedah dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2012 bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Alor Setar. Masa tu saya nyanyikan sebuah lagu Hokkien berjudul Ai Phia Cia Eh Ya bermaksud 'kerja keras baru dapat hasilnya',” katanya yang juga boleh bertutur dalam bahasa Hokkien.
Menurut Mohd Zihan, tidak rugi mempelajari bahasa Mandarin kerana ia adalah salah satu pendekatan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan semua kaum di negara ini.
“Saya juga bercadang  meneruskan pembelajaran bahasa Mandarin di USM selepas menamatkan perkhidmatan dengan kerajaan tidak lama lagi. Walaupun dah berusia, ia tak mematahkan semangat saya untuk meneruskan hasrat tersebut
“Kalau berkesempatan, saya juga mahu ke China untuk mendalami bahasa berkenaan suatu hari nanti," katanya.

Tidak kenal erti penat mengajar




Tidak kenal erti penat mengajar
Yakmad mengajar tuisyen Bahasa Inggeris pada pelajar sekolah menengah di kediamannya di Kampung Tengah, Paya Dalam, Ayer Molek, di sini.
AYER MOLEK - Meskipun sudah hampir 14 tahun bersara, seorang bekas guru besar tetap mencurahkan baktinya dengan memberi khidmat tuisyen kepada anak tempatan di kediamannya di Kampung Tengah, Paya Dalam, di sini.
Yakmad Baba, 69, sebelum ini menjawat jawatan sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, Ayer Molek sebelum bersara pada awal Disember 2002.
Beliau mula mengajar tuisyen kepada anak kampung dan pelajar dari kawasan sekitar pada tahun 2004 sehingga kini.
Menurutnya, setakat ini, kelas tuisyennya disertai lebih kurang 60 anak murid yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan juga menengah.
“Kelas tuisyen saya usahakan ini sedikit sebanyak atas dorongan masyarakat kampung yang mahukan supaya saya memberi tuisyen kepada anak mereka memandangkan mereka tahu kemampuan saya dalam menyalurkan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang akademik.
“Justeru, usaha saya lakukan ini lebih berbentuk amal jariah dan bukannya mencari keuntungan,” katanya kepada Sinar Harian.
Dari segi cabaran kaedah terbaru pendidikan masa kini pula Yakmad menjelaskan dia banyak mencari bahan baharu di beberapa kedai buku ternama di bandar Melaka bagi mendalami kaedah pembelajaran terkini.
Selain itu, katanya, dia juga mengikuti perkembangan semasa dalam aspek pendidikan melalui surat khabar dan sebagainya demi menyelaraskan kaedah serta kurikulum masa kini.
Beliau berkata, kelas tuisyennya dibahagi kepada dua sesi iaitu murid Tahun Dua hingga Tahun Enam mengikuti kelas pada sebelah pagi bermula dari jam 9 pagi hingga jam 11 pagi manakala pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima dari 11 pagi hingga ke 1 tengah hari setiap Sabtu dan Ahad.
“Bagi murid sekolah rendah saya ajar tiga mata pelajaran utama iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik manakala pelajar sekolah menengah pula saya khususkan pada Bahasa Inggeris sahaja.
“Bayaran dikenakan pada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah cuma RM10 sahaja sebulan. Kadar bayaran berkenaan tidak tinggi kerana niat saya mahu membantu anak kampung yang kurang berkemampuan,” katanya.
Yakmad yang juga bekas guru Bahasa Inggeris berkata, dia seboleh-bolehnya mahu membimbing anak muridnya supaya mahir dalam Bahasa Inggeris memandangkan ianya adalah bahasa global dan penting untuk masa depan mereka.
“Walaupun sudah lama bersara namun saya berasa puas dapat meluangkan masa dengan mengaajar tuisyen," katanya.

‘Kalau tak ada duit tangguh lagi’




‘Kalau tak ada duit tangguh lagi’
Roslan (kiri) berharap bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan sakit jantung dihidapinya.
PUCHONG – “Doktor kata kena sediakan cepat duit kos pembedahan, kalau tak ia terpaksa ditangguh sampai kami dapat cari RM10,000 tu,” kata Roslan Atil, 53 dari Kampung Tengah di sini.
Dia yang menghidap pelbagai jenis penyakit perlu menjalani pembedahan berikutan sakit jantung dihidapinya sejak empat tahun lalu.
Disebabkan tidak bekerja katanya, dia tidak mampu menyediakan kos sebanyak itu apatah lagi perlu menanggung seorang anak yang masih bersekolah.
“Saya baru nak mohon bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS), kalau pihak itu bantu mudahlah tapi yang saya tahu mereka hanya tanggung sebahagian kos dan prosesnya mungkin memakan masa," katanya.
Menurutnya, doktor menyarankan dia segera membuat pembedahan berikutan keadaannya yang agak kritikal.
“Kalau tak dapat cari duit tu, pembedahan kena tangguh, sekarang saya selalu tercungap-cungap, malam paling teruk sebab tak dapat tidur,” katanya.
Dia yang mengidap penyakit kencing manis, darah tinggi, masalah buah pinggang dan masalah penglihatan juga perlu menjalani pembedahan mata.
Isterinya, Hamidah Ambiah, 53, berkata, suaminya berhenti kerja sejak empat tahun lalu selepas sering jatuh sakit.
Dia yang bekerja kilang sebelum ini juga terpaksa mengambil langkah sama selepas suaminya mula menghadapi masalah penglihatan.
“Suami perlu pemantauan rapi sebab mata dia tak berapa nampak...sekarang tak tahu mana nak cari duit banyak tu... kami hidup dengan bantuan daripada anak-anak tapi gaji mereka tak seberapa sangat nak tolong,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi nombor akaun Bank Hong Leong 270-50-01826-5 atas nama Hamidah atau nombor akaun Maybank 164717195516 atas nama menantunya, Ismaliza Syahrizah Muzafar.

Ubah suai bas jadi tempat tidur




Ubah suai bas jadi tempat tidur
Kamil (tengah) bersama sebahagian pelajar dan guru yang mengikuti aktiviti yang disediakan di KSCC Jeram.
JERAM – Kuala Selangor Cabin Camp (KSCC) Jeram kini bukan sahaja memiliki balai ilmu bagi kelas agama percuma kepada penduduk setempat, malah turut menyediakan penginapan dalam bas yang dikenal sebagai busstay untuk memenuhi permintaan inap desa di Kampung Bukit Hijau.
Keunikan kenderaan yang diubah suai ini menjadi salah satu tarikan buat pengunjung selain lapan unit kabin yang disediakan dalam satu tapak yang lengkap dengan kemudahan sukan ekstrem seluas 0.6 hektar.
Pengusaha, Kamil Sidek berkata, setiap RM10 daripada bayaran yang diterima akan dimasukkan ke dalam tabung aktiviti Balai Ilmu Celik Al-Quran dan kelas agama untuk penduduk kurang berkemampuan.
“Saya terpanggil menyediakan penginapan busstay ini selepas melihat keunikan bas yang diguna sebagai hotel di Pantai Klebang, Melaka dan cuba bawa kelainan untuk KSCC Jeram.
“Sebenarnya, dah jadi hasrat saya bangunkan satu balai ilmu untuk masyarakat setempat sebagai satu khidmat sosial selain membuka tempat program motivasi dan bina insan,” katanya yang sering menerima kunjungan pihak sekolah dan agensi kerajaan.
Beliau yang mesra dengan panggilan Ustaz Kamil itu mengakui, permintaan inap desa cukup tinggi ketika musim cuti sekolah meskipun KSCC Jeram terletak dalam kampung.
“Orang sekarang lebih suka menyewa di homestay jika pulang ke kampung dan KSCC Jeram sentiasa jadi pilihan mereka. Mungkin saya mahu tambah penginapan bas dua tingkat untuk tarikan baru pada masa akan datang.
“Saya percaya, semakin ramai yang menginap di sini, insya-ALLAH semakin banyak sumbangan untuk pembesaran dewan pondok balai ilmu,” katanya yang turut menyediakan aktiviti memanah dan perkhemahan.

Satu rumah 10 koloni




Satu rumah 10 koloni
Mohd Fadil menggunakan straw untuk menyedut madu dari salah satu sarang kelulut yang diusahakan Nazarudin.

KAMPUNG DATO’ SRI HAMZAH - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Unit Kampung Dato’ Sri Hamzah menyarankan setiap rumah di kampung itu menternak lebah kelulut sekurang-kurang 10 koloni bagi menampung permintaan pasaran madu kelulut dalam negara.
Pengerusinya, Zamani Rahim berkata, madu kelulut mendapat permintaan tinggi namun tahap pengeluarannya masih rendah.
Menurutnya, industri penghasilan madu kelulut perlu diperkembangkan terutamanya di kawasan luar bandar.
“Di sini terdapat lima pengusaha madu lebah kelulut dan kita berhasrat memperluaskan lagi aktiviti penternakan ini bagi mewujudkan satu jenama baharu khas dari unit PPK ini.
“PPK akan melakukan promosi di seluruh kampung untuk menarik minat penduduk menternak lebah kelulut di rumah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil Kursus Ternakan Lebah Kelulut yang disampaikan Pengerusi Pengelola Mardi Malaysia, Datuk Mohd Fadil Osman di sini, semalam.
Zamani yang juga Ahli Lembaga Pengarah PPK Daerah Bera berkata, projek itu tidak memerlukan modal besar melainkan teknik penjagaan yang betul dan dalam tempoh tertentu, madunya sudah boleh diambil untuk dipasarkan.
“PPK sedia menjadi agen pemasaran hasil madu penduduk di sini seperti dilakukan untuk produk-produk Industri Asas Tani (IAT) di kawasan lain,” katanya.
Menurutnya, dengan adanya pengusaha madu kelulut sedia ada dan bantuan yang bakal diberikan pihak Mardi, usaha itu akan dapat direalisasikan sekiranya penduduk sanggup mengambil peluang  bagi menambah pendapatan mereka
.

Sungai Golok berubah jadi pantai




Sungai Golok berubah jadi pantai
Sapuan mengawasi tiga anak perempuannya bermain di tepi Sungai Golok, semalam.
RANTAU PANJANG – Sungai Golok berubah seakan-akan pantai apabila pasir mula memenuhi tebing di sempadan, sejak beberapa minggu lalu.
Seorang penduduk, Sapuan Ahmad, 50, berkata, penurunan paras air di sungai ini, biasanya berlaku setiap kali musim panas bermula Mac hingga Jun.
Menurutnya, keadaan ini menjadikan Sungai Golok sebagai kawasan tumpuan terutama kepada ibu bapa yang membawa anak-anak untuk bermain air di kawasan cetek.
“Ada sesetengah kawasan tidak boleh dilalui oleh perahu atau bot kerana dasarnya yang terlalu cetek. Sungai ini juga dipenuhi kayu dan batu yang boleh merosakkan kenderaan tersebut,” katanya.
Sapuan berkata, walaupun ditemani orang tua, namun mereka mengawasi anak-anak, kerana ada sesetengah kawasan agak berbahaya untuk sebarang aktiviti.
Sebelum ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menambah bilangan anggotanya di sempadan Malaysia-Thailand dekat Rantau Panjang, berikutan penurunan paras air di Sungai Golok, yang dilihat memudahkan berlakunya aktiviti jenayah rentas sempadan.
Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zarondin Md Amin berkata, usaha itu dilakukan bagi meningkatkan kawalan sempadan, di kedua-dua negara.
Menurutnya, anggota dari 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditugaskan di kawasan sempadan itu bagi membantu anggota Empat Rejimen Sempadan (RS).
Katanya, operasi bersepadu ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Thailand.
Tinjauan mendapati tiada sebarang aktiviti menyeberang dilakukan sebaliknya kawasan ini dipenuhi penduduk yang keluar beriadah setiap petang.
Malah aktiviti mengemudi perahu turut dihentikan di beberapa kawasan kerana Sungai mulai cetek dan dipenuhi pasir, kayu dan batu.

Kos kahwin anak jutawan RM3.9b




Kos kahwin anak jutawan RM39.2b
MOSCOW - RUSIA. Majlis perkahwinan anak kepada jutawan Rusia, Said Gutseriev, 28 dengan pelajar berusia 20 tahun, Khadija Uzhakhovs di Moscow minggu lalu dilaporkan menelan belanja sehingga  USD$ 1b (RM3.9b).
Majlis tersebut dihiburkan oleh penyanyi terkenal Jennifer Lopez dan Enrique Iglesias dan diadakan di sebuah restoran mewah di sini.
Pengantin turut mengenakan gaun perkahwinan yang dianggarkan bernilai  USD$25,000( RM98, 177) yang diimport khas dari Paris dan mempunyai berat 11 kilogram.
Pasangan itu diraikan oleh 600 tetamu yang dijamu dengan masakan eropah dan sushi serta kek perkahwinan lapan tingkat yang dihiasi bunga merah jambu.
Jutawan Mikhail Gutseriev adalah seorang Muslim kelahiran Kazakhstan yang mempunyai kekayaan bernilai USD$6.2b (RM24.3b),  menurut majalah Forbes.
Pengantin lelaki, Said dilahirkan pada tahun 1988 dan mendapat pendidikan di Harrow dan Universiti Oxford dalam bidang arkeologi dan geologi manakala pengantin perempuan merupakan pelajar tahun pertama di Moscow State University dalam bidang perubatan dan pergigian.

Dihantar pulang gara-gara seludup enam biji lemon




lemon
Gambar hiasan.
AUCKLAND - NEW ZEALAND. Pihak berkuasa New Zealand menghantar pulang seorang wanita yang cuba menyeludup enam biji lemon di dalam poket seluarnya ketika memasuki negara itu.
Anjing pengesan memeriksa penumpang di lapangan terbang Auckland mendapati wanita itu menyeludup buah lemon tersebut yang didakwanya untuk digunakan sebagai sebahagian daripada ubat buatan sendiri bagi merawat penyakit hati.
Menurut kastam, ia bukan suatu yang mengejutkan kerana terdapat buah-buahan yang dilarang masuk oleh undang-undang bagi melindungi hasil dalam negeri.
Wanita itu kemudiannya dihantar pulang ke Hong Kong dalam penerbangan berikutnya.
Menurut jurucakap Kementerian Perusahaan Utama, Craig Hughes, wanita itu memberi alasan lemon tersebut bagus untuk merawat penyakit hati dan penyakit lain yang dihidapinya.
"Ia mungkin benar, namun ia tidak menjadi alasan untuk membawa buah secara haram kerana ia dikhuatiri membahayakan industri hortikultur dan menghalang serangan perosak atau penyakit," katanya dipetik AFP.
Ini bukan pertama kali pihak berkuasa New Zealand menggagalkan cubaan menyeludup flora dan fauna ke negara itu.
Pada tahun 2013, usaha lelaki Vietnam untuk menyeludup ikan melalui lapangan terbang Auckland gagal selepas pegawai menyedari air menitis dari poket seluarnya.

Tuah sunting gambar pergi melancong



Tuah sunting gambar pergi melancong
Gambar yang disunting Sevelyn.
NAIROBI - KENYA. Dek kerana tidak mempunyai wang untuk melancong ke Asia, seorang wanita Kenya hanya mampu menyunting gambarnya seolah-olah sedang bercuti di lokasi percutian terkenal dan kemudian memuatnaiknya di laman Facebooknya.
Tindakannya Sevelyn Gat menyunting gambarnya sedang berdiri di hadapan pesawat Kenya Airways, Tembok Besar China dan sebuah tokong mendapat perhatian selepas gambar-gambar tersebut mula viral di media sosial dan turut memperoleh ribuan 'likes'.
Namun kini, impian wanita itu akan menjadi kenyataan selepas seorang ahli perniagaan Nairobi, Sam Ginchuru bertindak membantu memberikan wang hasil kutipan daripada rakan-rakannya kepada wanita itu untuk melancong ke China.
Menurut Sam, Sevelyn merupakan anak kepada seorang petani itu meminta rakannya untuk menyunting gambarnya dengan belatarbelakangkan tempat pelancongan terkenal di China bagi merasakan seolah-olah dia sedang bercuti di sana.
"Saya berharap agar dapat membeli tiket, namun tidak mampu, tetapi saya mempunyai ramai rakan dan "memaksa" mereka menderma.
"Wang tunai untuk membiayai Sevenly ke China telah mencukupi dan impian wanita itu untuk melancong ke negara itu tercapai," katanya dipetik AllAfrica.
Sevenly akan diberikan penginapan hotel empat bintang, insuran perjalanan dan wang saku serta berkemungkinan akan bertemu dengan Duta Kenya di China.

Hidup Linda Onn Lebih Tenang Tanpa Publisiti Murahan





Selain menjadi deejay Suria FM, Linda Onn juga sibuk dengan restorannya.

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn mengakui hidupnya lebih tenang tanpa sebarang publisiti murahan dan cerita-cerita sensasi seperti mana yang pernah dilaluinya sebelum berumahtangga.

Linda atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, 39, berkata walaupun ketika ini dia jarang mendapat publisiti media, namun ia bukan satu masalah kerana komitmennya semakin bertambah selepas berkahwin.

“Jujur, saya gembira dengan kehidupan sekarang dan lebih selesa melakukan rutin harian saya sebagai seorang penyampai radio, pengusaha untuk empat buah restoran dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri daripada bercerita perkara-perkara yang tiada kepentingan untuk dikongsi,” katanya.
Ditanya adakah hubungannya semakin dingin dengan pihak media menyebabkan  dia jarang mendapat publisiti Linda menafikan perkara itu sebaliknya memuji golongan berkenaan yang banyak menyokong kerjayanya selama ini.


Linda Onn

“Oh, cerita itu tidak benar. Media selamanya tetap menjadi rakan baik yang sangat menyokong kerjaya seni saya. Mana mungkin hubungan kami dingin. Benar saya kurang mendapat publisiti dan perkara itu langsung tidak mendatangkan masalah kepada saya kerana sejak berkahwin, komitmen saya juga semakin bertambah,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Linda bekata, sepanjang hampir 18 tahun berada dalam industri hiburan, dia sudah melalui pelbagai gosip dan cerita-cerita sensasi yang secara tidak langsung mematangkan dirinya.

Justeru, tiba masanya untuk dia lebih bersikap profesional dan matang dalam mencari arah tuju hidup.

Linda juga berkata dia begitu gemarkan cabaran dan amat berharap diberi peluang oleh mana-mana produksi untuk dia kembali ke dunia pengacaraan televisyen menerusi program-program berbentuk motivasi dan kemasyarakatan.

Ini kerana menerusi program-program sebegitulah dia dapat menyalurkan input yang positif kepada masyarakat dan perkara ini sekali gus mampu memberi kepuasan yang maksimum kepada dirinya.

Mengenai perkembangan peribadi, Linda yang sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama Ungku Azhar Ungku Muhammad Maznan, 37, tidak banyak berselindung saat ditanya soal kehadiran cahaya mata.

“Saya tahu ramai yang menunggu khabar gembira itu. Di sini saya lebih senang menyerahkan semuanya kepada takdir kerana itu semua adalah urusan-Nya. Jika ditakdirkan ada, saya dan suami terima dengan lapang dada. Doa-doakanlah, katanya.

Linda Hashim Nyaris Diperdayakan Individu Pakej Rawatan Lepas Bersalin



PETALING JAYA: Pelakon Linda Hashim kesal terhadap seorang seorang wanita yang mahu mengambil kesempatan kepadanya dengan melakukan promosi produk perkhidmatan tanpa mahu mengeluarkan sebarang bayaran.

Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 32, berkata, pada awalnya peniaga tersebut menawarkan dia tajaan perkhidmatan percuma bagi urutan dan penjagaan bayi sepanjang tempoh berpantang namun berlaku sebaliknya selepas tempoh itu.

Kejadian ini berlaku pada selepas saya bersalin, mereka datang untuk tajaan perkhidmatan menguruskan saya dan bayi sepanjang tempoh berpantang selama 30 hari.

"Semuanya berjalan lancar dan sepanjang tempoh itu saya juga membantu mereka mempromosi perkhidmatan yang ditawarkan di Instagram seperti biasa, namun selepas tamat tempoh itu dia minta saya datang ke pejabatnya untuk sesi bergambar," ujarnya.

Antara perkhidmatan daripada syarikat individu tersebut ialah pakej urutan dan penjagaan bayi selepas bersalin.
Linda berkata, individu tersebut meminta dia melakukan sesi fotografi untuk menjadi model iklan di laman web rasmi dan laman sosial bisnes mereka.

Tambah Linda, individu itu juga tidak faham apabila seseorang personaliti itu mahu dilantik sebagai jurucakap ataupun imej mereka digunakan atas tujuan promosi produk, perlu ada kontrak yang turut menyatakan bayaran dan sebagainya.

"Saya datang ke pejabat dia untuk berbincang secara terperinci dan tiba-tiba terdapat beberapa jurufoto dan jurukamera video untuk melakukan rakaman dengan tujuan pengiklanan.

"Saya beritahu dia tajaan pekej urutan selepas bersalin kepada saya sebelum ini adalah perkara berbeza dan dia tidak boleh ditukarkan dengan cara menggunakan gambar saya sesuka hati bagi tujuan pengiklanan.

"Tapi dia bertegas tidak mahu membayar apa-apa untuk tujuan itu, malah meminta saya membayar semua perkhidmatan tajaannya yang bernilai RM4,000," ujarnya.

Linda berkata, permintaan individu itu tidak munasabah kerana sepanjang tempoh berpantang, Linda sudah mempromosikan pakej yang ditawarkan itu di media sosialnya hampir saban hari.

Katanya, apa yang dikongsi di laman Instagramnya itu juga telah memberi impak besar sehingga individu itu berjaya memperoleh ribuan pengikut di laman sosial.

Linda berkata, perkara ini memberi pengajaran kepada orang lain agar tidak terpedaya dengan penaja yang tidak bertanggungjawab.

Dia juga berharap mana-mana pihak yang ingin bekerjasama soal pengiklanan dan tajaan perlu mengetahui beberapa konsep promosi dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan artis untuk tujuan pemasaran barangan mereka sesuka hati.

Linda melahirkan cahaya mata perempuan keduanya iaitu Anggun Cassandra pada 29 Disember 2015, manakala anak sulungnya Jelita Clarissa kini berusia 2 tahun.

Pakaian Simpanan Siti Nurhaliza Dijual Serendah RM100



Antara contoh pakaian yang dijual Siti Nurhaliza boleh dilihat menerusi akaun Instagram khas.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mengambil keputusan untuk menjual semula lebih 50 helai pakaian yang pernah digayakannya pada majlis-majlis hiburan kepada sesiapa sahaja yang berhajat membelinya.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 37,  berkata, penjualan pakaian itu dibuat bagi membolehkan beliau menyusun semula bilik persalinannya dengan memuatkan pakaian koleksi terbaharu.

"Saya sifatkan ini adalah jualan, bukan lelongan sebab itulah saya muat naik di Instagram. Penjualan ini terbuka kepada sesiapa yang berminat. Saya juga mengakui perlu mengasingkan baju yang masih saya pakai dan yang sudah tidak dipakai untuk mengatur semula bilik pakaian saya.

"Kerjaya saya ini (sebagai penyanyi) akan membuatkan pakaian yang dipakai selalu berganti dan saya perlu ruang untuk baju-baju yang baru," ujarnya.


mStar Default Image
Siti Nurhaliza
Siti berkata, setakat ini pakaian tersebut dijual secara berperingkat sejak dua minggu lalu yang diiklankan di akaun Instagram @prelovedctdk11.

Tambahnya, kebanyakan baju yang dijual  masih berada dalam keadaan baik dan hanya dipakai sekali atau dua pada majlis-majlis tertentu.

"Saya keluarkan pakaian itu seminggu ada dua kali, kadang-kadang ada mencapai 10 helai seminggu saya muat naik di Instagram.

"Baju yang ada kenangan sendiri saya akan simpan, saya hanya menjual baju yang saya pakai sekali atau dua kali sahaja. Ada juga baju kasual yang tidak muat lagi," ujarnya.

Tambahnya lagi, kesemua baju tersebut juga adalah baju siap pakai, dibeli sendiri serta beberapa baju daripada pereka fesyen yang sering bekerjasama dengannya.

Siti berkata, baju tersebut dijual dengan harga paling berpatutan serendah RM100.

"Alhamdulillah, sejak saya mula buka akaun Instagram untuk penjualan baju-baju ini ramai peminat yang membelinya untuk koleksi mereka," ujarnya.

Antara jenama pakaian yang dijual ialah daripada pereka fesyen Michael Ong, Rizman Ruzaini dan Bernard Chandran. 

Jehan Shukri Tidak Tegur Ammar Alfian Sejak Tiga Tahun Lalu




Jehan Shukri mahu lupakan kisah dikasari aktor Ammar Alfian.
PETALING JAYA: Pelakon baharu Nur Jihan memberitahu dia masih tidak bertegur sapa atau berkomunikasi dengan pelakon Ammar Alfian selepas peristiwa dikasari lelaki tersebut ketika penggambaran filem Showdown The Movie tiga tahun lalu.

Jehan atau nama sebenarnya Nor Jehan Ahmad Shukri, 24, berkata, dia ingin melupakan kejadian itu dan enggan perkara tersebut menyekat kerjayanya yang baharu menceburi bidang lakonan.

"Ia adalah antara pengalaman pahit yang tidak boleh dilupakan dan sehingga sekarang kami tidak pernah berkomunikasi atau terjumpa di mana-mana.

"Saya pun malas untuk besar-besarkan kerana ketika berita itu keluar bukanlah dari mulut saya atau saya yang mereka-reka cerita seperti tuduhan Ammar.

"Saya orang baru dan saya tidak ada hubungan atau baik dengan mana-mana media untuk bercerita tentang kejadian itu," ujarnya kepada mStar Online pada sesi ramah mesra bersama pelajar dan pelakon filem Showdown The Movie Bersama Pelajar KLMUC di Auditorium Kolej Metropolitan Kuala Lumpur, di sini, Selasa.

Jehan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai insiden dia dipukul oleh pelakon Ammar Alfian ketika menjalani penggambaran filem berkenaan tiga tahun lalu.

Sementara itu, mengulas tentang kejadian yang berlaku itu, Jehan berkata, aktor tersebut mungkin terlalu terbawa-bawa watak yang dilakonkan ketika bukan waktu penggambaran.

"Ketika itu kami sedang berehat dari penggambaran untuk beberapa babak akhir dan Ammar adalah kumpulan lawan. Saya cuba untuk menegurnya dan menepuk belakangnya.

"Dia kemudian secara sengaja atau tidak telah bertindak menyigung saya dengan kuat sehingga terjatuh, ketika itu memang dia seperti marah dan rakan-rakan yang berada di tempat kejadian cuba meredakan keadaan," ujarnya.

Tambah Jehan, ketika melakonkan beberapa babak akhir filem iaitu aksi perlawanan tarian, kedua-dua pasukan diasingkan bilik berikutan terbawa-bawa babak tersebut.

"Saya pun pelik masa babak bettle tu memang semuanya cepat panas dan mudah marah mungkin terbawa-bawa karekter hingga keluar. Kami juga diberi bilik berasingan agar tidak timbul pergaduhan," ujarnya.

Selain itu, tambah Jehan dia berdebar menunggu tayangan filem pertamanya Showdown The Movie bermula pada 7 April depan.

Filem ini merupakan adaptasi daripada rancangan realiti pertandingan tarian,Showdown yang pernah merangkul beberapa anugerah dan jumlah penonton yang tinggi.

Antara pelakon lain yang turut terlibat ialah Reza Hasbi, Izara Aishah, Iedil Putra, Azad Jazmin, Ammar Alfian, Maria Farida dan Esma Daniel.

AirAsia Cari Pereka Fesyen Muda Lima Negara




AirAsia Runway Ready Designer Search adalah platform untuk pereka muda ketengahkan bakat.
PETALING JAYA: Pertandingan AirAsia Runway Ready Designer Search (AARRDS) membuka peluang kepada pereka muda dari lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina untuk mencipta nama dalam industri fesyen serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar, berkata, pemenang bakal membawa pulang hadiah bernilai RM350,000 termasuk slot untuk mempamerkan koleksi penuh di' Kuala Lumpur Fashion Week Ready to Wear' (KLFW RTW) 2017.

"Terdapat begitu banyak bakat baru di rantau ini dan sebagai syarikat penerbangan yang berlandaskan Asean, kami ingin meluaskan pencarian pereka fesyen muda ini ke negara-negara Asean lain selain Malaysia.

"Harapan kami untuk menyediakan satu platform bagi pereka-pereka muda fesyen seluruh Asean untuk membangunkan dan melonjakkan kerjaya mereka dalam industri fesyen. Pencarian pereka fesyen serantau ini akan menyatukan pereka fesyen muda dan industri di rantau ini buat pertama kalinya pada skala besar.

"Kami teruja untuk melihat bakat-bakat baru tahun ini dan AirAsia amat bangga untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka,” ujarnya.

Selain itu, pemenang turut menerima RM25,000 tajaan FashionValet untuk menghasilkan koleksi kapsul dan dijual di laman fashionvalet.com, mata ganjaran AirAsia BIG sebanyak 150,000, tiket pergi balik AirAsia atau AirAsia X dan beberapa lagi hadiah yang akan diumumkan kelak.

Tambah Aireen, uji bakat akan diadakan di Jakarta pada 16 April, Manila pada 23 April, Kuala Lumpur pada 30 April, Singapura pada 7 Mei dan Bangkok pada 14 Mei.

Tiga perserta terbaik dari bandar masing-masing akan mewakili negara mereka untuk ke pusingan akhir yang akan berlangsung pada Ogos depan di pentas peragaan KLFW RTW 2016 yang berprestij.

Sementara itu, pengasas Kuala Lumpur Fashion Week Ready to Wear, Andrew Tan, berkata, program ini merupakan satu penghormatan kepada mereka untuk berkongsi platform bersama AirAsia dalam mencari bakat-bakat baru.

"Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan AirAsia untuk kali kedua, berikutan kejayaan pencarian pereka fesyen Malaysia pada tahun lepas dan membawa pertandingan tahun ini ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Panel hakim terdiri daripada pemilik laman web e-dagang fesyen terkenal FashionValet.com, Vivy Yusof, pereka fasyen terkenal Alia Bastamam dan Ketua Pengarang majalah GLAM, Suzie Adnan.

Pencarian pereka fesyen ini terbuka kepada pelajar fesyen berumur tidak melebihi 28 tahun yang sedang belajar atau telah lulus dari sekolah reka fesyen di mana-mana lima buah negara yang terlibat di dalam pencarian ini.

Tiga lakaran berilhamkan destinasi Asean harus disertakan bersama borang pendaftaran yang lengkap.

Borang pendaftaran boleh di muat turn di laman klfashionweek.com dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 12 April 2016.

Tiga finalis terbaik yang dipilih dari setiap negara akan diberi peluang mempamerkan koleksi mereka di pentas peragaan KLFW RTW 2016 pada bulan Ogos 2016 dan bersaing untuk menjadi AirAsia’s Most Promising Designer 2016.

"Ibu Terkilan Arwah Ayah Dikatakan Masih Cintai Seniwati Sarimah" - Farah Asyikin




Farah Asyikin
PETALING JAYA: Penyanyi Farah Asyikin memberitahu ibu-bapanya adalah pasangan bahagia sehinggalah bapanya iaitu Allahyarham Datuk Zulkifli Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu selepas 37 tahun pasangan itu hidup bersama.

Farah atau nama sebenarnya Farah Asyikin Zulkifli, 36, berkata, ibunya, Fawziah Othman, 54,  juga dapat melaksanakan tanggung jawab sebagai isteri dengan sempurna apabila mampu menjaga Allahyarham terutamanya ketika arwah sakit iaitu tiga bulan sebelum meninggal dunia.

"Bapa saya berkahwin dengan ibu pada Februari 1979 dan mereka hidup bahagia sehingga akhir hayat dan ibu saya adalah insan yang sentiasa berada di sisi Allahyarham ketika beliau berada dalam keadaan sakit selama tiga bulan terakhirnya.

"Sepanjang perkahwinan mereka, saya tidak nampak ada unsur-unsur kononnya bapa saya tidak boleh melupakan bekas isterinya iaitu Seniwati Datuk Sarimah Ahmad seperti dilaporkan," ujarnya.

Gambar kenangan Fawziah Othman bersama suaminya, Allahyarham Datuk Zulkifli yang juga bapa kepada Farah Asyikin.
Farah berkata demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan kononnya arwah bapanya itu masih tidak dapat melupakan bekas isterinya iaitu pelakon Sarimah Ahmad walaupun sudah berkahwin lain.

Kata Farah, dakwaan itu benar-benar melukakan hati dia dan adik beradiknya yang lain terutama sekali ibunya yang memang mencintai arwah ayah sehingga ke akhir hayat.

Tambah Farah, ibunya merupakan perkahwinan keempat Allahyarham selepas berpisah dengan seniwati itu.

"Ibu saya terkilan dan bersedih kerana ada dakwaan tentang bapa saya masih mencintai bekas isteri pertamanya sedangkan tiada pun apa-apa tanda beliau masih ada perasaan kepada bekas isterinya itu sepanjang menjadi suami kepada ibu saya.

"Sebagai anak, saya dan adik beradik lain juga terasa hati dengan kenyataan itu. Selepas berpisah dengan isteri pertamanya, Allahyarham melalui dua perkahwinan lain dan ibu saya adalah perkahwinan keempatnya dan yang terakhir," ujar Farah.

Sehubungan itu Farah meminta mana-mana pihak tidak mengaitkan arwah bapanya dengan cerita-cerita lain yang mungkin akan menggoreskan hati ibunya lagi.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 6.40 pagi Sabtu lalu di Pusat Perubatan KPJ Damansara di sini pada usia 80 tahun akibat komplikasi penyakit tulang belakang.

Semasa Allahyarham berkahwin dengan Sarimah, beliau dikurniakan empat orang anak iaitu Norhayati Zulkifli, Farawaheeda Zulkifli, Mohd Jamil Zulkifli dan Mohd Shahray Zulkilfi.

Reza Hasbi Berang Remaja Rakam Videonya Dalam Tandas




KUALA LUMPUR: Pelakon Reza Hasbi memberitahu dia berang dengan sikap seorang remaja lelaki yang merakamkan gambarnya dalam sebuah tandas awam di Kota Damansara dekat sini baru-baru ini.

Reza atau nama sebenarnya, Muhamad Ridzuan Hasbullah, 27, berkata, dia menyedari perkara tersebut selepas terdapat cahaya dari dari bawah pintu tandas ketika sedang membuang air kecil.

"Kejadian berlaku minggu lalu ketika saya menghadiri majlis mesra dengan kelab peminat saya di sebuah restoran di Kota Damansara.

"Semasa saya membuang air kecil di tandas tiba-tiba anak mata saya terperasan ada cahaya di bawah pintu dan saya terkejut apabila ternampak tangan yang memegang telefon sedang merakamkan imej saya yang ketika itu hendak buang air kecil," ujarnya kepada mStar Online.

Reza berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra pelakon filem Showdown The Movie Bersama KLMUC di Auditorium Kolej Metropolitan Kuala Lumpur, di sini, Selasa.

Tambah Reza, selepas menyedarinya, dia terus merampas telefon bimbit kepunyaan remaja tersebut bagi mengelakkan video tidak sepatutnya tersebar.
Reza bersama barisan pelakon Showdown The Movie. 


"Berlaku kekecohan juga di tandas itu kerana dia mengunci diri dalam tandas sebelah sehingga beberapa kru datang menyuruh dia keluar.

"Pada mulanya saya rasa nak pukul budak tu tapi rasa kesian. Bagaimanapun saya bagi dia amaran supaya dia takut untuk buat perkara begitu lagi. Saya paksa dia serahkan telefonnnya kerana saya takut terdapat rakaman video saya dalam telefon itu," ujarnya.

Bagaimanapun, Reza berkata, dia tidak berhasrat untuk melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

"Dia baru berusia 17 tahun dan saya rasa kesihan pula dengan nasib dia, jadi saya hanya beri amaran agar dia tidak mengulangi lagi perkara itu.

Telefon dia masih ada pada saya, walaupun dia kata sudah padam video tersebut, tapi saya tetap tidak percaya dan terpaksa merampasnya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Reza berkata, dia berdebar menunggu filem pertamanyaShowdown The Movie yang bakal ditayangkan 7 April depan.

Filem ini merupakan adaptasi daripada rancangan realiti pertandingan tarian,Showdown yang pernah merangkul beberapa anugerah dan jumlah penonton yang tinggi.

Antara pelakon lain yang turut terlibat ialah Izara Aishah, Iedil Putra, Azad Jazmin, Ammar Alfian, Maria Farida, Esma Daniel dan Jehan Shukri.

Serik Kontroversi Lalu, Tasha Shilla Enggan Kongsi Kisah Peribadi




Tasha Shilla. 
KUALA LUMPUR: Pelakon Tasha Shilla mengambil pendekatan untuk tidak lagi berkongsi hal peribadinya kepada umum selepas kisah cintanya dengan Hans Wong dilanda kontroversi pada tahun lalu.

Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd. Razak, 29, berkata, kejadian sebelum ini banyak mengajarnya agar tidak terlalu terbuka soal peribadi dan dia mahu   memberi fokus dalam menstabilkan karier seninya pada tahun ini.

"Tiada lagi cerita-cerita peribadi dan tahun ini saya mahu fokus kepada karier sahaja memandangkan tahun lalu saya banyak menolak tawaran berlakon.

"Apa yang berlaku sebelum ini biarlah ia menjadi sejarah dan tidak perlu dikenang lagi.

"Saya kini lebih matang dan banyak belajar tentang kehidupan jadi tahun ini dengan semangat dan azam baru saya ingin memperkukuhkan karier seni dan tidak mahu berfikir soal lain," katanya.
Tasha berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Gempak Superstardi sini, Selasa.




Program yang menampilkan 10 pelakon terkenal itu bakal menyaksikan mereka menyahut cabaran sebagai penyanyi.

Selain Tasha, ia turut disertai oleh Raja Ilya, Izreen Azminda, Sherry Ibrahim dan Siti Elizad.

Manakala peserta lelaki adalah Nazim Othman, Sofi Jikan, Ryzal Jaafar, Dazrin Kamarudin dan Arja Lee.

Gempak Superstar akan bersiaran bermula 10 April depan pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria dan Ria HD.

Dalam pada itu, Tasha berkata, selepas kegagalan dalam percintaan sebelum ini dia masih belum terfikir untuk mencari pengganti dan lebih selesa dengan kehidupan solo.

Jelas Tasha, dia lebih berhati-hati dalam soal hati dan perasaan kerana enggan kejadian serupa berulang kembali selepas ini.

"Jika diikutkan saya sudah bersedia untuk berkahwin tetapi buat masa ini tiada calon dan saya lebih selesa solo selain memberi fokus kepada karier seni.

"Saya kena lebih berhati-hati kerana pengalaman sebelum ini banyak mengajar saya agar tidak mudah terpedaya dengan lelaki," jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya dalam Gempak Superstar, Tasha berkata, dia gemar menyanyi dan melihat platform program berkenaan untuk mencabar dirinya.

Malah kata Tasha, dia sudah bersedia dengan kritikan penonton dan berharap akan menimba lebih banyak ilmu tentang dunia nyanyian menerusi pertandingan itu.

Gempak Superstar Tonjol Bakat 10 Pelakon Jadi Penyanyi




Para pelakon lelaki dan wanita yang akan menunjukkan bakat mereka sebagai penyanyi dalam Gempak Superstar. 
KUALA LUMPUR: Seramai 10 orang pelakon ternama akan menunjukkan bakat terpendam sebagai penyanyi menerusi program terbaharu terbitan Astro iaitu Gempak Superstar.

Pengurus saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, pertandingan selama enam minggu itu mampu mencungkil bakat terpendam dalam diri para peserta untuk menembusi bidang nyanyian pada masa hadapan.

"Kesemua peserta terpilih mempunyai bakat luar biasa sebagai penyanyi dan ini adalah platform untuk mereka mengembangkan bakat masing-masing.

"Pertandingan itu nanti akan memperlihatkan mereka diberi cabaran tertentu dan menguji kehebatan mereka menyanyikan pelbagai jenis lagu," katanya kepadamStarOnline.
Raqim berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program berkenaan di sini, Selasa.

Lima peserta pelakon wanita yang terlibat adalah Tasha Shilla, Raja Ilya, Izreen Azminda, Sherry Ibrahim dan Siti Elizad.

Izreen Azminda akan menunjukkan bakatnya sebagai penyanyi.

Manakala peserta lelaki adalah Nazim Othman, Sofi Jikan, Ryzal Jaafar, Dazrin Kamarudin dan Arja Lee.

Gempak Superstar akan bersiaran bermula 10 April depan pada setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria dan Ria HD.

Dalam pada itu, Raqim berkata, meskipun ada beberapa pelakon yang terlibat pernah menghasilkan single sebelum ini namun karier nyanyian mereka tidak menyerlah dan mereka dibenarkan bertanding.

Malah katanya, sebelum 10 peserta dipilih mereka harus menghadiri uji bakat terlebih dahulu dan pihaknya tidak menyangka ramai pelakon mempunyai bakat besar dalam nyanyian.

"Jika diikutkan ramai pelakon yang mahu masuk program ini tetapi kita pilih yang benar-benar berpotensi.

"Mereka juga tidak diberi laluan mudah dan perlu menghadiri uji bakat sebelum diterima," ujarnya.

Tambahnya lagi, bagi membantu para peserta pihaknya turut membawa empat nama besar iaitu Datuk Ramli MS selaku pengarah muzik dan vokal, Datin Marlia Musa dan Pat Ibrahim (penasihat drama) dan Hanafi Rosdi (penasihat koreografi).

Manakala peminat diberi kuasa sebanyak 50 peratus untuk mengundi artis kesayangan mereka manakala selebihnya markah adalah penghakiman  juri profesional.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 manakala naib juara RM25,000 dan tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang RM15,000 dan RM10,000.

Gempak Superstar bakal dihoskan oleh Scha Al Yahya dan Sharnaaz Ahmad.

Pengunjung Beach Bondi Diselamatkan Hugh Jackman Sebelum Lemas




PELAKON Hugh Jackman dilaporkan membantu seorang lelaki yang hampir lemas akibat dibawa ombak ketika sedang mandi di Beach Bondi, Sydney Australia baru-baru ini.

Pelakon filem Wolverine ketika itu sedang mandi bersama anak lelakinya iaitu Oscar.

Hugh yang memakai baju renang berwarna hitam segera memberi bantuan kepada seorang lelaki dengan membawanya ke tepian pantai di kawasan yang lebih selamat.

Dia selepas itu cuba menyelamatkan beberapa lagi remaja yang dipukul ombak tanpa menghiraukan identiti dirinya sebagai pelakon terkenal.

Janice Dickinson Hidap Kanser Payudara




Janice Dickinson mendedahkan menghidap kanser payudara.
BEKAS supermodel terkenal Janice Dickinson mendedahkan dia menghidap kanser payudara menerusi satu temubual bersama portal Daily Mail baru-baru ini.

Janice, 61, berkata, dia diberitahu tentang penyakit berkenaan selepas melakukan pemeriksaan rutin di hospital dan doktor menjumpai ketulan pada bahagian kanan payudaranya.

Walaupun berasa takut namun kata bekas juri program America's Next Top Model itu tetap tabah dan optimistik.

"Saya tidak akan membiarkan kanser mempengaruhi saya. Saya akan lawan dan akan kembali pulih," katanya.

Janice bersama tunangnya, Dr Robert Gerner.
Kata Janice, kanser bukan sesuatu yang asing baginya kerana pada tahun 1995 ibunya, Jennie Marier Pietrzykoski meninggal dunia akibat penyakit sama.

Dalam pada itu, Janice berkata, dia tidak bimbang untuk menjalani rawatan kerana yakin tunangnya, Dr Robert Gerner akan menggunakan kepakarannya sebagai pakar perubatan untuk melakukan rawatan

"Dia seorang yang berkaliber dan saya ada empat pakar lain yang menjaga saya selain mendapat semangat daripada anak-anak saya iaitu Nathan dan Savannah," ujarnya.

Sungjae Akui Terlalu Minat Aktiviti Memancing




AHLI kumpulan BTOB, Sungjae memberitahu dia terlalu meminati hobi memancing sehingga dikatakan membuatkannya ketagih untuk melakukan aktiviti itu.

Sungjae, 20, berkata, hobi tersebut dilakukan sejak zaman kanak-kanak apabila sering mengikuti ayahnya turut memancing di laut.

"Saya sangat suka memancing, malah boleh dikatakan menjadi tabiat yang membuatkan saya ketagih untuk melakukan aktiviti itu.

"Walaupun sibuk dengan kerjaya nyanyian saya tidak pernah terlepas melakukan aktiviti ini. Kalau terlalu sibuk sekali pun saya tetap akan pergi dua minggu sekali memancing di kolam," ujarnya.

Sungjae menganggap ia adalah perkara normal kerana aktiviti itu antara hobi yang popular di kalangan anak muda seusiannya.

Wednesday, March 30, 2016

Jumpa Beg Penuh Duit, Tukang Sapu Jujur Sunway Lagoon Dipuji Netizen





APA yang anda akan lakukan jika terjumpa sejumlah wang depan mata? Bukan setakat seringgit dua tetapi nilainya hampir 10 ribu ringgit, macam-macam boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu bukan?

Kejadian yang dikongsikan di Facebook Sunway Theme Parks Community ini menjadi topik hangat, di mana seorang wanita berbangsa India yang merupakan pekerja di taman tema air Sunway Lagoon menjumpai dompet berisi wang.
Foto: FacebookFoto: Facebook
Pekerja yang dikenali sebagai Paruvathy, mendapati di dalamnya terdapat sejumlah wang iaitu RM1,850 dan Riyal 7,244 selain tiga pasport lantas bergegas menyerahkannya kepada pihak pengurusan untuk dipulangkan kepada pemiliknya.
Dompet berkenaan kemungkinan besar milik pelancong dari negara Arab yang datang berkunjung ke situ.
Foto: FacebookFoto: Facebook
Foto: FacebookFoto: Facebook
Rata-rata netizen memuji sikap makcik Paruvathy dan pujian memang harus diberikan atas sikap jujurnya yang sedikit pun tidak terlintas mahu mengambil wang dari dompet tersebut.
Disebabkan tersentuh dengan kejujurannya ramai menggesa agar majikan Parvathy memberikan sesuatu sebagai penghargaan dan ada juga yang berhasrat mahu memberikannya wang sendiri sebagai hadiah.

Rahsia kekal muda Pak Nil




Aznil Nawawi
Aznil Nawawi. 
DALAM meniti usia 54 tahun, selebriti dan pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Nawawi masih kelihatan muda dan menawan.
Bahkan, wajah Aznil atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil semakin berseri-seri menyebabkan timbul tanda tanya kalangan rakan-rakan artis dan saudara terdekat mengenai rahsianya.
"Bagaimana kekal muda? (ketawa). Saya sendiri pun tidak tahu sebenarnya.
"Saya hanya menggunakan tiga penjagaan wajah yang asas iaitu pencuci, toner dan pelembap.
"Apa yang penting, dari dulu sampai sekarang, saya hanya melakukan rutin seharian iaitu mencuci muka sebelum dan selepas daripada bangun tidur," katanya kepada Zass.
Mengakui tidak terlalu menjaga rutin pemakanan sehariannya, Pak Nil sebaliknya mengambil pendekatan dengan bersenam.
"Kadang-kadang, ada juga saya berpuasa. Ada satu rutin yang saya mesti lakukan pada setiap hari iaitu berlari di atas treadmill. Dengan kaedah itu, saya akan membakar 300 hingga 600 kalori setiap hari.
"Daripada saya hanya membelek telefon dalam tempoh sejam dua, lebih baik saya berlari. Sekurang-kurangnya, ia membuatkan saya kelihatan cergas," katanya.
Dalam pada itu, Pak Nil sekali lagi bertindak selaku penaung dan ‘father-figure’ kepada program Ceria Popstar yang kembali untuk tahun keempat bermula 25 Mac lalu hanya di Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Maya HD (saluran 135).
Ketika ditanya apakah rahsianya dalam memikat jiwa kanak-kanak, ternyata Pak Nil punya jawapannya sendiri.
"Salah satu sebab, mungkin kerana saya sendiri sudah mempunyai anak. Dari dulu, saya memang senang bergurau dan bermanja dengan anak-anak.
"Bagi saya, anak-anak senang kalau mahu memberi nasihat.
"Jika saya marah, saya hanya menjegilkan mata saja. Automatik, mereka akan tahu. Jika menggunakan kekerasan atau perkataan, kita tidak boleh mengawalnya sebab kadang-kadang kita lupa kita bercakap dengan anak-anak," katanya.