
Majeran (kanan) bersama anggotanya mengukur panjang ular sawa batik itu.
KUALA PILAH - Bukan sekali tetapi sudah tiga kali ular sawa batik ditangkap selepas menelan ayam kampung milik Mohd Jamunazal Mohd Jamil, 34, di Kampung Pasit, Johol, di sini.
Menurutnya, kejadian terbaru itu disedari jam 7.20 pagi kelmarin, ketika sedang melakukan rutin harian memberi makanan kepada ayam dan itik ternakannya.
“Biasanya, saya beri makan ayam dan itik di dalam reban dalam pukul 7 pagi. Pagi tadi (kelmarin), bila menghampiri reban, saya ternampak seekor ular sawa sedang kekenyangan selepas menelan seekor ayam kampung saya,” katanya.
Mohd Jamunazal berkata, dia kemudian terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Akuinya, sejak kebelakangan ini dia sering kehilangan haiwan ternakannya.
“Saya bela ayam dan itik ni sekadar suka-suka. Tak adalah banyak mana pun.
“Bila kejadian ini kerap berlaku, barulah saya pasti ular sawa punca ternakan saya berkurangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Kuala Pilah, Sarjan Majeran Lon, bersama tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.17 pagi.
Menurutnya, ketika sampai di lokasi 15 minit kemudian, reptilia tersebut sedang tidur.
“Mungkin kerana kekenyangan, ia tidak agresif dan memudahkan tugas kami menangkapnya.
“Hanya dalam masa 10 minit, ular sawa batik itu berjaya ditangkap. Beratnya dianggarkan 25 kilogram dengan empat meter panjang,” katanya.
Beliau berkata, ular sawa batik itu akan dilepaskan di dalam hutan berhampiran pada masa terdekat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: