Wednesday, February 10, 2016

Pengantin pilih konsep Tahun Baharu Cina




Pengantin pilih konsep Tahun Baharu Cina
Pasangan pengantin tiba di dewan sempena majlis persandingan berkonsepkan Tahun Baharu Cina.
GUA MUSANG - Dua keluarga peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, dekat sini, memilih konsep Tahun Baharu Cina bagi mengadakan majlis persandingan anak mereka, Mohd Sukri Samsudin, 25 dan Izien Syazwani Padzluddin, 24, semalam.
Bertepatan dengan konsep itu, semua kelengkapan termasuk hiasan tanglung dan pakaian persandingan turut menggunakan tema merah bagi memeriahkan majlis berkenaan yang diadakan di dewan besar RKT Kesedar Chalil.
Majlis persandingan pasangan pengantin itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung, termasuk Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah; Adun Galas, Ab Aziz Yusof dan Bendahari Pemuda Umno Bahagian, Asmawi Fikri Ab Ghani.
Bapa pengantin perempuan, Padzludin Hamid, 52, berkata, konsep majlis persandingan itu dipilih atas persetujuan kedua-dua pihak sempena sambutan Tahun Baharu Cina, selain menampilkan semangat 1Malaysia.
“Kita bukan berniat untuk memperbesarkan budaya kaum lain, tetapi atas dasar semangat 1Malaysia, kita ketengahkan konsep Tahun Baru Cina untuk persandingan anak kami.
“Kita fikir konsep bertemakan warna merah sesuai dengan hari persandingan itu yang diadakan ketika cuti Tahun Baru Cina,” katanya.
Menurut Padzluddin, mereka sekeluarga mahu menampilkan kelainan kerana tidak ramai yang memilih konsep tersebut dalam majlis persandingan.
“Kita mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membuat segala persiapan, termasuk memasang tanglung dan hiasan lain dalam dewan persandingan.
”Bagaimanapun, hidangan untuk hadirin pula berkonsepkan ala kampung dengan menyediakan ulam-ulaman dan budu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: