
Nick Cheung
WATAKNYA sebagai Cheng Fai dalam filem aksi, Unbeatable yang diterbitkan pada 2013 berjaya melonjakkan nama aktor Hong Kong, Nick Cheung.
Masakan tidak, aktor itu berjaya dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Shanghai ke-16 sekali gus mengalahkan beberapa nama besar seperti Tony Leung.
Mengakui persaingannya cukup sengit, Nick sama sekali tidak menyangka akan kemenangannya itu.
"Saya hanya buat yang terbaik termasuklah ketika menjalani latihan fizikal selama setahun untuk mendapatkan otot-otot yang menarik sebagai seorang peninju.
"Bagaimanapun, saya langsung tidak terfikir tentang anugerah ini kerana ketika festival berlangsung, filem itu masih belum lagi ditayangkan di pawagam," katanya.
Sebelum itu, Nick bagaimanapun pernah tercalon dalam anugerah pertamanya menerusi Hong Kong Film Awards pada 1999, namun hanya memenanginya 10 tahun kemudian menerusi peranannya dalam filem Beast Stalker (2008).
Menerusi filem itu juga, Nick turut memenangi tujuh anugerah lain termasuklah Hong Kong Film Critics Society Awards, Hong Kong Film Awards dan Golden Horse Film Awards melalui kategori sama, Pelakon Lelaki Terbaik.
Jika diimbas kembali, sebelum terjun ke dunia lakonan, Nick berkhidmat sebagai pegawai polis di Hong Kong selama empat tahun.
Bagaimanapun, pelakon filem The White Storm ini nekad meletakkan jawatan selepas permintaannya untuk ditukarkan ke Bahagian Siasatan Jenayah ditolak.
Nick kemudiannya bekerja dengan syarikat produksi milik Danny Lee dan memulakan filem pengenalannya, Thank You, Sir! pada 1989.
Dia bertukar angin ke stesen televisyen (TV) ATV World dari tahun 1989 hingga 1994. Kemudian, dia meninggalkan ATV World kerana mencuba nasib di TVB hingga tahun 2001.
Sejak itu, kerjaya lakonan Nick semakin meluas dan banyak membintangi pelbagai filem seperti It Takes Two to Mingle (1990), Red Shield (1991), Slice of Life (1992), What a Hero! (1992), Raped by an Angel (1993), Shoot to Kill (1994), The Conman (1998), The Teacher Without Chalk (2000), Election 2 (2006), Exodus (2007), The Stool Pigeon (2010), Nightfall (2012), Hungry Ghost Ritual (2014), From Vegas to Macau 2 (2015), Helios (2015) dan Keeper of Darkness (2015).
Tiada sasaran pasti
Meskipun namanya masih menjadi pujaan di arena perfileman, aktor berusia 48 tahun itu bagaimanapun tidak mempunyai sasaran yang jelas tentang kelangsungan kerjayanya.
Pun begitu, bintang filem Love Correction ini akan terus berusaha selagi khidmatnya sebagai pelakon diperlukan.
"Sebagai manusia, saya tidak boleh meramal masa depan dan tidak tahu ke mana hala tuju saya selepas ini.
"Apa yang boleh saya lakukan untuk diri sendiri ialah melibatkan diri dengan filem-filem yang berkualiti.
"Anugerah yang dimenangi merupakan satu bonus dan pembakar semangat untuk saya terus bekerja lebih keras sekali gus meningkatkan kualiti lakonan," katanya.
Kembali berlakon filem From Vegas To Macau 3
Dalam pada itu, kelibat Nick akan terus dilihat menerusi kesinambungan filem aksi komedi From Vegas To Macau 3.
Selain Nick, filem arahan Wong Jin itu turut mempertaruhkan bintang-bintang ternama Asia seperti Chow Yun-Fat, Carina Lau, Andy Lau dan Jacky Cheung.
Menariknya lagi, penyanyi berbakat besar dari Korea Selatan, Psy turut membuat kemunculan istimewa dalam filem itu.
Difahamkan, pelantun lagu Gangnam Style itu dipertanggungjawabkan memegang watak Raja Judi.
From Vegas To Macau 3 mengambil tempat ketika majlis perkahwinan anak perempuan Ken di sebuah hotel di Macau. Rakan baiknya, Vic dan Mark turut hadir pada majlis itu. Bagaimanapun ketika majlis berlangsung, Mark menerima panggilan telefon daripada rakannya, Michael Chan yang memberi amaran supaya berjaga-jaga kerana seorang individu misteri telah mengupah pembunuh upahan untuk membunuh Ken dan Mark. Berikutan itu, mereka terpaksa melakukan misi untuk memburu dalang yang melibatkan mereka dalam rancangan jahatnya itu.
Bagi peminat setia filem aksi komedi ini pastinya tidak sabar untuk menyaksikan barisan pelakon hebat ini kembali beraksi.
Selain padat dengan aksi, filem ini pastinya akan membuat anda tidak kering gusi dengan komedi yang dipaparkan sama seperti dua filem terdahulu.
Apakah yang terjadi? Nantikannya di pawagam mulai 5 Februari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: