Thursday, February 4, 2016

Mia Sara percaya pada rezeki ALLAH SWT



Mia Sara percaya pada rezeki ALLAH SWT
Mia Sara
UMUM mengetahui pelakon cilik, Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 11, kini manis berhijab selepas kepulangannya dari mengerjakan umrah, Disember tahun lalu.
Bersesuaian dengan imej terbaharunya itu, Mia Sara Nasuha atau lebih dikenali sebagai Mia Sara mengakui tawaran berlakon terhadapnya kini semakin berkurangan.
Pun begitu, pelakon ini tetap percaya pada rezeki ALLAH SWT.
"Tawaran berlakon memang semakin kurang tetapi saya faham mengapa saya tidak diambil berlakon.
"Tidak mengapalah kerana ALLAH SWT akan memberi rezeki lain kepada saya nanti," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Cereal-Caliph Nutrion For Eyes, baru-baru ini.
Bahkan, pada masa sama, pelakon cilik ini turut mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran yang menuntutnya untuk berbuat sebaliknya.
"Selepas ini, jika ada tawaran berlakon tetapi meminta saya untuk membuka tudung, saya tidak akan menerima tawaran tersebut.
"Namun, ada drama yang saya sudah tandatangani kontrak sebelum bertudung, jadi saya terpaksa membukanya untuk menjayakan watak dalam drama berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, pelakon filem Papa I Love You ini melahirkan rasa syukurnya apabila rezekinya dapat dilihat menerusi bidang perniagaan.
"Alhamdulillah, sambutan terhadap jualan koleksi tudung saya, MS Couture melalui online juga semakin menggalakkan," katanya.
Sementara itu, selain berlakon, Mia masih lagi merupakan duta produk makanan tambahan Caliph di samping penyanyi puisi indie, Fynn Jamal.
Sejak mengamalkan makanan tambahan itu, Mia mengakui mengalami beberapa perubahan positif dalam dirinya.
"Caliph bukanlah makanan tambahan biasa, apatah lagi jus Caliph juga sedap diminum.
"Sebelum ini, saya selalu ada sifat malas tetapi sejak amalkan memakan Caliph, saya rasa lebih cergas seterusnya lebih memberi tumpuan sepenuhnya pada pelajaran.
"Bahkan, prestasi saya  semakin meningkat dan saya boleh skor cemerlang dalam peperiksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: