SELEPAS dua tahun menjalani proses pembikinan, akhirnya penyanyi rap, Juzzthin tampil dengan album penuh Class Is In Session yang dilancarkan beberapa hari lalu.
Teruja dengan kemunculan album tersebut, Mohamad Nazreen Norzali, 25, atau lebih dikenali dengan Juzzthin, memberitahu penghasilan album pertamanya ini dianggap sebagai satu permulaan buat dirinya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan sangat lega bila album ini telah siap sepenuhnya.
“Disebabkan jadual yang padat dalam bidang lakonan, album ini terpaksa mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk dihasilkan.
“Saya akui untuk album pertama ini bukanlah hasil terbaik tapi ini adalah album yang boleh dihasilkan dalam tempoh ini.
“Konsep album ini lebih kepada sesuatu yang sederhana di mana saya anggap ia sebagai percubaan pertama dan kalau ada kekurangan saya mahu terus memperbaikinya untuk album akan datang,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran albumnya.
Lebih istimewa, menerusi album ini juga Juzzthin mengambil peluang menyelitkan sebuah lagu ditulis khas buat ibunya, Roraini Jamal, 54, yang berjudul Bonda.
“Dalam banyak-banyak lagu yang ada di dalam album ini, saya akui lagu Bonda beri banyak cabaran untuk dihasilkan.
“Ibu adalah seorang yang sangat memberi sokongan dalam apa jua perkara yang saya lakukan.
“Lagu ini mempunyai nilai sentimental buat diri saya sendiri dan lebih mencabar kerana harus meletakkan emosi untuk menghasilkannya padahal genre hip hop lebih sinonim dengan 'mood' yang lebih gembira,” katanya.
Serik Dengan Cinta
Selain mendedikasikan lagu buat ibu tercinta, album edaran Warner Music Malaysia ini turut menyelitkan sebuah lagu Serik Dengan Cinta yang menampilkan kolaborasi antara Juzzthin bersama pelakon dan penyanyi cantik, Maya Karin.
“Sebenarnya memang kami ada perancangan untuk tampilkan seorang artis yang bukan berada dalam muzik hip hop. Selepas lagu ini disiapkan, tidak sangka pula nama Maya Karin di cadangkan oleh pihak Warner Music yang mengedarkan album saya.
“Secara jujurnya, saya memang terkejut dan tidak sangka dapat peluang seperti ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik, " katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai single pertama itu, Juzzthin memberitahu lagu tersebut tidaklah seperti karya hip hop yang dihasilkan sebelum ini.
“Maya dan saya masing-masing memiliki latar belakang muzik berbeza, dan hasil kolaborasi ini memang memberikan kelainan.
“Walaupun tajuknya mengenai situasi orang yang sedang putus cinta, tapi kami cuba ketengahkan 'mood' berbeza sekali gus mencetuskan suasana lebih ceria dan bersahaja,” jelasnya yang bernaung di bawah pengurusan Mixology Music.
Selain Bonda dan Serik Dengan Cinta, album tersebut memuatkan 10 lagu lain antaranya Day 1, Drive, Isi Puisi, Bonda dan Poster.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: