
Mualim (kanan) bergegas ke R&R Dengkil bagi memulangkan kembali beg Suhaimizan yang dijumpainya.
TAMPIN – “Tak sangka di zaman serba mencabar ni ada orang yang masih jujur dan sudi memulangkan kembali beg berisi wang tunai RM1,000,” kata Suhaimizan Bizar, 33.
Suhaimizan yang juga Yang Berhormat Belia Dun Gemencheh berkata, dia hanya menyedari beg berisi wang tunai, dokumen serta resit penting tiada di dalam simpanannya sebaik ingin keluar bekerja sekitar jam 9 pagi di Kampung Tenai, Gemencheh.
Menurutnya, dia mengambil masa hampir setengah jam menggeledah barangan di dalam kereta sebelum tersedar beg tersebut mungkin tercicir di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil memandangkan pada malam kelmarin, dia bersama ahli Expedisi Royal Belum singgah di lokasi berkenaan pada jam 11 malam.
“Saya tak buat laporan polis terlebih dahulu kerana ingin cari beg berkenaan di R&R Dengkil. Saya tiba di sana pada jam 1 petang dan mula bertanyakan mengenai beg saya kepada penyelia R&R itu yang kemudiannya bantu saya cari beg di lokasi tersebut.
“Kami singgah makan di kedai nombor 3, namun rupa-rupanya beg saya disimpan pekerja kedai nombor 1 yang memaklumkan perkara berkenaan kepada pekerja lain yang bertugas pada waktu siang sekiranya ada individu datang cari beg yang tertinggal boleh memaklumkan kepadanya,” katanya.
Suhaimizan berkata, sebaik sahaja pekerja terbabit tiba di R&R Dengkil dengan memegang plastik yang berisi begnya, dia berasa sangat lega dan bersyukur kerana masih ada individu yang berhati 'emas' seperti pemuda berkenaan.
Tambahnya, dia amat berterima kasih kepada Mualim Dollah, 30-an, kerana menjaga begnya dengan baik.
“Saya sangat terharu dan suka dengan sikapnya, malah lebih membanggakan saya, Mualim rupanya-rupanya orang senegeri dengan saya kerana berasal dari Lui, Jempol. Saya mahu berinya sagu hati, namun dia menolak.
“Bagaimanapun, saya tetap membalas jasa baiknya dan berharap agar lebih ramai lagi individu jujur seperti Mualim,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: