Thursday, February 18, 2016

Hamil Anak Kedua, Almy Nadia Serah Pada Suami Buat Pengumuman




Fizz dan Almy Nadia bakal menganjurkan program Moh Joget Pahang.
PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia yang kini dikatakan mengandung anak kedua menyerahkan kepada suaminya, Fizz Fairuz untuk mengumumkan berita gembira itu.
Almy atau nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah, 29, berkata, dia juga tidak mahu tergesa-gesa dan terlalu teruja berkongsi hal tersebut pada peringkat awal bagi menggelakkan perkara buruk berlaku.

"Saya bukan mahu merahsiakan tetapi lebih elok kalau suami saya sahaja yang umumkannya nanti. Lagi pula saya tidak mahu terlalu teruja kerana bimbang ia tidak menjadi.

"Saya pernah melalui pengalaman buruk ketika kandungan anak pertama dahulu, jadi lebih elok saya berhati-hati," ujarnya kepada mStar Online.
Gambar yang dimuat naik Almy Nadia di laman Instagram miliknya.
Almy berkata demikian ketika diminta mengulas tentang foto-foto yang memuat naik di laman Instagramnya tentang gambar makanan yang sering dimakan oleh wanita hamil.

Gambar tersebut mendapat perhatian netizen yang mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut.

Sementara itu, Fizz menerusi beberapa foto yang dimuat naik turut memberi gambaran bakal menimang seorang lagi cahaya mata apabila menggunakan hasgtag #rezekibabydlmperut dalam kapsyen gambar di Instagram.

Bagaimanapun, Fizz yang bakal keluar dengan filem terbaharunya berjudul Munafikpada 25 Februari ini, gagal untuk dihubungi bagi mengesahkan perkara itu.

Pasangan ini bernikah pada 26 April 2014 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan cahaya mata perempuan Nur Afrina Arianna yang kini sudah berusia setahun.

Status Fizz Fairuz lima hari lalu.
Dalam perkembangan lain, Almy berkata, dia kini sibuk membantu suaminya menganjurkan karnival usahawan Moh Joget Pahang yang bakal berlangsung bermula April depan.

Katanya, karnival tersebut akan dianjurkan di beberapa daerah negeri berkenaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang sepena tahun melawat Pahang 2016.

"Alhamdulillah, selepas tidak aktif dalam lakonan saya sibuk berniaga dan sekarang persiapan untuk penganjuran karnival Moh Joget Pahang tidak lama lagi.

"Karnival ini akan diadakan di beberapa daerah di negeri itu bagi memupuk golongan belia tentang joget Pahang yang menjadi warisan negeri itu. Selain itu, kami juga sediakan tapak karnival untuk peniaga," ujarnya.

Tambah Almy, pengalaman tidak mendapat layanan yang baik dan pernah dihalau ketika berniaga tahun lalu banyak memberi pengajaran kepadanya.

Perkara tersebut membuatkan dia mengutamakan keselesaan peniaga dalam penganjuran karnival pertama mereka dibawah syarikat Rainmaker Sdn Bhd.

"Sepanjang tahun lalu saya banyak terlibat menjadi peniaga di beberapa karnival dan banyak pengalaman buruk yang kami laluinya. Kami pernah dihalau kerana karnival yang kami sertai itu rupa-rupanya tiada permit dan penganjur tidak bertanggungjawab.

"Seperti peniaga lain juga, kami tidak ada tiket istimewa sebagai artis, apa yang peniaga lain lalui dan rasakan sama kami laluinya sebab itu bila suami saya mahu buat karnival yang seperti itu, saya mahu elakkan perkara-perkara buruk berkenaan," ujarnya.

Almy berkata sidang media berkaitan program karnival tersebut akan diadakan dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: