Monday, February 15, 2016

Gaji minimum RM1,500 kepada golongan muda



Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil 
SHAH ALAM – PKR menggesa kerajaan melaksanakan gaji minimum sebanyak RM1,500 dan menguatkan kesatuan sekerja sebelum meminta golongan muda negara ini mengambil alih kerja pekerja asing.
Naib Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fahmi Fadzil berkata, gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta anak muda mengambil alih kerja yang diisi pekerja asing cukup menarik tetapi ia separuh matang.
“Saya nak tanya adakah Ahmad Zahid benar-benar memahami kenapa anak muda hari ini enggan bekerja di sektor perladangan atau mana-mana sektor yang disebut 3D atau Dirty, Difficult and Dangerous (kotor, sukar dan bahaya)?
“Sepatutnya beliau melalui mesyuarat Kabinet menggesa supaya melaksanakan langkah meningkatkan gaji minimum sebanyak RM1,500 dan memastikan pekerja bukan sahaja terjamin tetapi diperkukuh terutama dengan menguatkan kesatuan-kesatuan sekerja,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Fahmi berkata, Ahmad Zahid juga perlu menggesa Putrajaya melaksanakan langkah bagi memastikan sistem pendidikan vokasional menyediakan golongan muda dengan rangkaian atau jaringan industri lebih menyeluruh.
“Begitu juga dengan memberi insentif kepada pemodal, pemilik syarikat dan paling penting untuk anak muda mengambil alih kerja-kerja yang dimonopoli pekerja asing terutama melalui geran bagi meningkatkan teknologi dalam bidang kerja.
“Tanpa melaksanakan langkah-langlah ini, gesaan Ahmad Zahid hanyalah retorik semata-mata dan bukan niat ikhlas bagi membantu anak muda mengambil alih kerja yang diisi pekerja asing,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: