Wednesday, February 10, 2016

Dulu jahit baju kini pakar kasut




Dulu jahit baju kini pakar kasut
Erni kini pakar membaiki kasut yang biasanya dipelopori kaum lelaki.
BAYAN LEPAS - Biasanya wanita dilihat lebih sinonim dengan menjahit pakaian, namun agak berlainan bagi Erni Zulfita Taherman, 47, apabila dia dilihat lebih mahir menjahit kasut.
Sememangnya amat jarang sekali dapat melihat seorang wanita duduk di tepi jalan dan membaiki kasut seperti kebanyakan yang dilakukan kaum lelaki.
Namun ia satu perkara biasa bagi Erni yang juga seorang ibu tunggal.
Menurutnya, dia sudah mula berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak tujuh tahun lalu selepas kematian suami.
“Sebelum tu hanya suami yang baiki kasut dan beg di Kompleks Bukit Jambul.
“Hampir 20 tahun dia buat kerja seorang saja. Masa tu saya jaga anak-anak dan menjahit baju yang ditempah orang. Memang pengetahuan untuk jahit kasut tak ada langsung,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Suaminya yang meninggal akibat sakit jantung kemudian membuatkan Erni terpaksa memikirkan ikhtiar bagi meneruskan perniagaan tersebut.
Ibu tunggal tiga anak itu kemudian mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian dalam perniagaan membaiki kasut bagi menguruskan anak-anaknya yang masih bersekolah.
“Saya saja yang ada untuk jaga mereka. Jadi saya fikir kalau buat kerja sendiri lebih mudah daripada kerja bermajikan," katanya.
Erni mengakui, pada awalnya dia menerima pelbagai persepsi negatif daripada pelanggan terutamanya lelaki.
Tidak dinafikan hasil kerja tangan begitu kemas membuatkan lama-kelamaan dia sendiri mempunyai pelanggan tetap.
“Saya boleh menjahit kasut paling cepat dalam tempoh sejam dan paling lambat tiga jam ikut kerosakan.
“Pada saya walau apa pun kerja yang dilakukan asalkan kita percaya dengan rezeki ALLAH, insyaALLAH kita akan berjaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: