Wednesday, February 17, 2016

Bella Shantay's bakal keluar produk baharu




Bella Shantay's bakal keluar produk baharu
Nor Suraya bersama sebahagian minyak wangi La Bella Perfume Oil.
PEMBEKAL dan pengedar pati minyak wangi milik Bumiputera, Bella Shantay's Enterprise, bakal meneroka segmen perniagaan baharu pada tahun ini dengan mengeluarkan minyak dan mandian aromaterapi bagi mengembangkan operasi syarikat itu.
Pengurus Operasinya, Nor Suraya Mahamad Fuzi berkata, kedua-dua produk itu dipilih memandangkan potensi pasarannya yang luas di negara ini.
"Di Malaysia, kita ada banyak spa yang menggunakan minyak atau mandian aromaterapi. Selain digunakan di spa, orang ramai juga boleh menggunakannya di rumah kerana ia merupakan produk yang sesuai untuk seisi keluarga.
"Kami menjangkakan akan memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mencari haruman yang sesuai untuk kedua-dua produk ini pada pertengahan tahun ini, sebelum mencuba pasaran dan memasarkannya dengan lebih meluas," katanya.
Pada tahun ini, Nor Suraya berkata, syarikat itu dalam perancangan untuk membawa masuk pati minyak wangi jenama La Bella Perfume Oil ke pasar raya di seluruh Malaysia.
"Kami dalam peringkat perbincangan bersama dengan beberapa buah pasar raya untuk memasarkan produk La Bella Perfume Oil," katanya.
Buat masa ini, katanya, Bella Shantay's Enterprise memasarkan produk pati minyak wanginya ke seluruh negara menerusi 50 ejennya, selain butik di sekitar Lembah Klang dan Shah Alam.
"Kebanyakan ejen kami terdiri daripada suri rumah, pelajar dan golongan pekerja yang hendak mencari pendapatan sampingan.
"Kami menyasarkan supaya jumlah ejen yang menjual pati minyak wangi La Bella Perfume Oil akan meningkat seramai 100 orang tahun ini," katanya.
Nor Suraya berkata, syarikat itu optimis untuk mencapai sasaran jualan 100,000 botol pada tahun ini dipacu peningkatan ejen dan program baharunya yang berkonsepkan door to door.
"Menerusi program itu, pelanggan tidak perlu lagi bersusah payah mendapatkan ejen jualan kami untuk membeli La Bella Perfume Oil, sebaliknya kami sendiri akan datang kepada mereka di tempat yang dicadangkan pelanggan.
"Kami akan membawa semua koleksi pati minyak wangi terus kepada pelanggan apabila pelanggan membuat temu janji. Biasanya, pelanggan akan mengumpulkan rakan-rakan mereka dan meminta kami datang ke tempat mereka untuk membuat pembelian," katanya.
Sejak ditubuhkan pada 2010, La Bella Perfume Oil yang merupakan pati minyak wangi 100 peratus tanpa campuran minyak putih itu kini mempunyai 30 jenis haruman untuk lelaki dan wanita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: