Friday, February 5, 2016

Bayi Umur Kurang Dua Tahun Buktikan Kemampuan Berenang Hampir 200 Meter




Kiara Belle Kit. 
KUALA LUMPUR: Bayi berusia satu tahun 11 bulan menunjukkan keupayaannya mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya berenang pada jarak 199.35 meter.
Kiara Belle Kit, memecahkan rekod yang dicipta pada tahun 2003 oleh bayi berusia 2 tahun 6 bulan yang berenang pada jarak 50 meter di Sungai Buloh.
Ibunya, Cindy Ong, 31, berkata idea untuk mencipta rekod baharu kebangsaan timbul apabila beliau melihat Kiara begitu berminat terhadap kolam renang dan sangat teruja setiap kali diajar berenang.
"Dari situ saya dapat lihat kemampuannya. Walaupun masih bayi, dia selesa dan pandai menyesuaikan diri bila berada dalam air.
"Sejak itu saya mula mengajarnya beberapa teknik yang sesuai dengan umurnya. Saya mempunyai beberapa teori untuk bayi dan saya jadikan Kiara sebagai eksperimen," katanya selepas Kiara mencatat rekod itu dan menerima sijil MBOR, Khamis.
Kiara yang memecahkan rekod itu di kolam renang kondominium Seni Mont Kiara dekat sini amat bertuah kerana Cindy merupakan pengajar renang sepenuh masa.
Malah, ibunya itu juga adalah bekas perenang negara yang layak ke sukan Olimpik 2004 dan pernah memegang lima rekod kebangsaan dalam acara renang. Bapa saudaranya, Allen Ong juga pernah mewakili negara ke sukan Olimpik sebanyak dua kali.
Kiara menerima ciuman daripada kedua ibu bapanya. 
Mengakui Kiara beruntung kerana mempunyai seorang ibu yang mahir tentang selok-belok renang, Cindy berkata anak perempuannya itu bagaimanapun tetap mengikuti kelas renang secara formal.
"Dia tetap mengikuti kelas renang selama setengah jam sejak berusia 11 bulan dan selebihnya dilatih oleh saya.
"Pada masa ini latihannya tak begitu konsisten kerana dia masih bayi. Kadang-kadang dia tidur, minum susu dan ada juga masa dia meragam," katanya yang mula melatih anaknya berenang ketika berusia empat bulan.
Mengulas mengenai hari bersejarah untuk Kiara, Cindy berkata beliau dan suaminya, Tang Kit, 41, pada mulanya agak bimbang jika Kiara tidak dapat melakukannya.
"Kami yakin dengan kemampuannya kerana Kiara tiada masalah berenang pada jarak jauh sebelum ini. Dia mencatat rekod peribadi pada jarak 125 meter.
"Tetapi disebabkan dia masih bayi, apa sahaja boleh berlaku. Banyak perkara yang kami fikir termasuklah keadaannya apabila dia melihat kamera, pihak media dan ramai orang di sekeliling kolam renang. ‘Mood’nya mungkin berubah,” katanya.
Kiara pandai menyesuai diri ketika berada di dalam air. 
Cindy, yang juga Olahragawati Sukma 2004 berkata walaupun keluarganya mempunyai latar belakang yang baik dalam sukan renang, beliau tidak akan memaksa Kiara untuk menjadi perenang.
“Saya akan melatihnya, tetapi dia yang akan buat keputusan. Jika dia sukakan latihan dan mahukan kemenangan, dia boleh teruskan,” katanya.
Sementara itu, Kit berkata beliau tidak bimbang tentang keselamatan Kiara kerana percaya anaknya itu telah diberi latihan secukupnya oleh isterinya.
"Isteri saya bukan seorang yang suka mengambil risiko, dia sentiasa berhati-hati, begitu juga Kiara.
"Lagipun sejak kami melatihnya di kolam renang pada usianya lapan bulan, Kiara tidak banyak merungut sebaliknya mengikut apa yang disuruh. Setakat menangis sikit tu biasalah," ujarnya.
Mengenai 'aksi' Kiara pada tanggal 4 Februari 2016, Kit berkata pada mulanya anaknya itu sedikit meragam apabila melihat ramai orang di sekelilingnya.
Antara yang hadir termasuklah wakil daripada MBOR, wakil Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, ahli keluarga, pihak media dan jiran-jiran.
“Mengikut perancangan asal, hanya ibunya yang akan masuk ke kolam renang. Tetapi apabila Kiara mula menangis, saya menyertai mereka dan dia mula selesa.
Kiara bersama ibunya memegang sijil yang diterima daripada MBOR. 
"Kami meletakkan mainan kegemarannya seperti ikan paus dan kura-kura untuk menarik perhatiannya dan memastikan dia terus berenang. Kami juga mengupah maskot ‘Garfield’ untuk menaikkan semangatnya,” katanya.
Namun, Kit berkata mereka juga mempunyai ‘pelan B’ jika permainan dan maskot tidak berjaya menarik perhatian Kiara.
“Kiara begitu sayangkan haiwan. Kami minta seorang rakan dan juga jiran kami bersedia dengan arnab yang juga ‘rakan baik’ Kiara jika dia tiba-tiba meragam.
“Apabila Kiara hampir memecahkan rekodnya, arnab itu tetap dibawa ke kolam renang bagi menaikan semangatnya,” katanya.
Sementara itu, pegawai rasmi daripada MBOR Intan Aznom Ali berkata mengikut perancangan asal, Kiara sepatutnya hanya berenang sejauh 70 meter bagi memecahkan rekod yang dicipta sebelum ini.
“Tetapi dia berjaya melakukan lebih dengan catatan masa 25 minit 38 saat,” katanya.
Beliau menambah, walaupun tidak melihat kepada catatan masa, terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan bagi melayakkan Kiara mendapat sijil daripada MBOR.
“Bayi itu perlu sentiasa berada dalam air. Dia tidak boleh menyentuh sesiapa sebaik sahaja masuk ke kolam renang, malah tidak boleh menyentuh tebing kolam,” jelasnya.
Katanya, untuk rekod terdahulu, tiada masa yang dicatatkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: