Saturday, January 30, 2016

Anak Saida Jadi Perhatian Kerana Miliki Wajah Cantik




Saida
PETALING JAYA: Penyanyi Saida berkata, anaknya iaitu Siti Nurunnyssa Mohd. Ghazali, 19, terpaksa menukar akaun Instagram kepada mod peribadi selepas menjadi perhatian kerana memilki wajah cantik.

Saida atau nama sebenarnya Siti Norsaida Tarudin, 35, berkata, walaupun dia tidak kisah dengan perkara itu, namun anak sulungnya itu berasa tidak selesa lebih-lebih lagi gambar-gambarnya diambil untuk menjadi bahan bualan forum.

"Saya mendapat tahu nama Nurunnyssa menjadi bualan netizen di beberapa forum. Saya tidak kisah tetapi anak saya mengambil perkara itu sangat serius dan berasa privasinya diganggu.

"Apatah lagi banyak gambarnya diambil tanpa persetujuan dia pun. Saya faham, dia tidak selesa dengan situasi itu dan terpaksa menukar akaun Instagram kepada mod peribadi.

"Bagi saya, tindakannya itu bagus dan mempunyai pendirian sendiri. Saya percaya anak saya mampu berfikiran dengan bijak dengan setiap ujian yang hadir," katanya kepadamStar Online.

Saida (kiri) bersama anak sulungnya, Nurunnysa.
Saida berkata demikian bagi mengulas mengenai anaknya, Nurunnyssa yang menjadi perhatian netizen kerana memiliki raut wajah yang cantik.

Dalam pada itu, Saida berkata dia tetap memberi nasihat kepada anaknya agar lebih berhati-hati setiap kali memuat naik gambar di laman sosial kerana ia boleh dijadikan sasaran oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkannya.

Selain Nurunnysa, Saida yang merupakan ibu tunggal juga mempunyai tiga orang anak iaitu Anas, 17, Khalid, 13, dan Siti Nurul Mashitah, 10.

Mengenai perkembangan lain, Saida bakal muncul dengan single lagu baharu berjudulSetia, dengan menampilkan penyanyi Maya Ruslee atau lebih dikenali sebagai Maya Matahari.

Katanya, memilih Maya sebagai rakan duet juga adalah pilihan yang tepat kerana kedua-dua mereka kerap menyanyi bersama dan mempunyai keserasian antara satu sama lain.

"Sudah lama saya tidak muncul dengan lagu baharu dan tahun ini saya mahu lebih aktif dalam nyanyian dengan menampilkan lagu Setia, ciptaan Adi (6ixth Sense).

"Saya dan Maya pula adalah teman baik dan kami kerap berduet bersama apabila menjayakan beberapa buah acara.

"Keserasian pun dah ada jadi apa salahnya kita cuba berduet bersama. Sekiranya lagu tersebut mendapat sambutan, saya akan tampil dengan lagu solo pula," ujarnya.

Salih Yaacob Belum Sedia Kahwin Lagi Selepas Ceraikan Isteri Kedua




Salih Yaacob
PETALING JAYA: Pelawak Salih Yaacob belum terfikir untuk berkahwin lagi sejak bercerai dengan isteri keduanya, Nor Raha Hamad, 47, pertengahan tahun lalu.

Salih, 55, berkata, walaupun kini mempunyai tiga isteri dan boleh menambah seorang lagi bagi 'mengisi kekosongan' yang ada, dia hanya berserah pada jodoh dan takdir apatah lagi perkahwinan bukanlah perkara yang boleh dibuat main.

"Dari dahulu lagi, niat saya berkahwin empat bukan kerana mahu mengambil kesempatan yang dibenarkan ajaran Islam.

"Sebaliknya saya berkahwin kerana Allah dan mahu mendidik isteri-isteri saya. Jadi, selepas bercerai dengan Raha, tidak bermakna saya kini sedang mencari calon baru untuk diisi 'slot' yang kosong itu. Lagipun jodoh dan maut itu adalah ketentuan Allah," katanya kepada mStar Online.

Salih pada Jumaat dilaporkan telah bercerai dengan isteri keduanya, Raha selepas sambutan Aidilfitri tahun lalu.


Pengacara dan juga penyampai radio Sinar FM itu bercerai dengan Raha selepas didesak isterinya agar berbuat demikian dengan alasan Salih tidak berlaku adil terhadapnya.

Sementara itu, Salih berkata apa yang berlaku itu merupakan ujian buatnya bagi seorang lelaki yang berpoligami.

"Nampak mudah saja apabila beristeri ramai, tetapi tanggungjawab sangatlah besar. Dan kita sebagai manusia, ada masanya juga membuat silap.

"Tambahan pula, setiap isteri mempunyai sikap dan emosi yang berbeza, maka cara kita bercakap dengan mereka juga berbeza.

"Sebab itu saya perlu muhasabah diri setiap hari untuk cuba menjadi suami dan ayah yang sempurna," tuturnya.

Salih dan Raha telah mendirikan rumah tangga selama 23 tahun dan dikurniakan lima orang anak berusia 13 hingga 22 tahun dan seorang cucu.

Tiga lagi isterinya adalah Norlizah Mamat, 51, Norfara Wahida Sulaiman, 37, dan Samihah Syeikh Ali, 29, masih kekal bersamanya.

Daripada keempat-empat perkahwinan itu Salih dikurniakan 13 orang anak.

Pekin Ibrahim Tegur Kelemahan Atikah Suhaime




Atikah Suhaimi
PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim secara jujurnya menegur keupayaan pelakon Atikah Suhaime yang disifatkannya masih lagi lemah dalam dunia lakonan.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 25, berkata, kelemahan mutu lakonan Atikah, 25, itu dapat dilihat ketika mereka bersama semasa sesi pembacaan skrip filem Volkswagen Kuning terbitan syarikat produksi Metrowelth.

“Setakat ini saya tidak yakin dengan kemampuan Atikah kerana masa sesi pembacaan skrip pun, cara dia cakap sahaja sudah boleh lihat kelemahannya,” kata Pekin kepadamStar Online.

Pekin berkata demikian pada sidang media dan pelancaran filem berkenaan di pejabat Metrowealth di sini pada Jumaat.

Volkswagen Kuning turut membariskan pelakon lain antaranya Dayang Areeda, Hanif Safuan, Azman Hassan dan Aida Othman.

Ia akan memulakan penggambaran pada awal Februari depan selama 15 hari di sekitar Lembah Klang dan Kuala Kangsar, Perak.

Pekin memberitahu, dia sudah meminta agar Atikah digantikan dengan pelakon lain tetapi pihak produksi masih mahu mengekalkannya.

Pekin Ibrahim

Bagaimnanpun kata Pekin, dia yakin Atikah boleh dibentuk untuk menjadi pelakon yang bagus.

"Tapi saya percaya dia boleh dibentuk oleh pengarah untuk bawa watak dia dalam filem tersebut dengan baik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Pekin tidak lagi mengambil tahu mengenai aktres Uqasha Senrose selepas mereka putus tunang sekitar Oktober 2013.

Pekin berkata, segala kontroversi yang berlaku terhadap Uqasha tiada kaitan dengan dirinya lagi selain menganggap wanita itu sudah matang untuk mengendalikan masalah sendiri.

Pekin berkata, walaupun hubungannya dengan aktres itu agak dingin, namun dia dan keluarga wanita itu masih baik.

"Saya dengan Uqasha memang dingin kalau jumpa dia di mana-mana majlis hiburan pun hanya tegur secara profesional sahaja.

"Tapi saya masih baik dengan kelurga dia, bapa dia selalu telefon bertanya khabar saya," katanya.

Pada Ahad lalu sebuah akhbar mendedahkan gambar percutian Uqasha yang membuka tudung bersama aktor Iqram Dinzly ketika bercuti di pulau Koh Lipe, Thailand.

Shahrol (Shiro) Tamatkan Status Duda Mac Depan




Shahrol Shiro belum sedia dedah identiti bakal isteri.
PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio Era FM iaitu Shahrol (Shiro) memberitahu bakal menamatkan zaman dudanya dengan ahli perniagaan pada Mac depan di kediaman wanita itu di Johor Baru.

Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizi Azmi, 31, berkata, majlis pernikahan tersebut akan dihadiri keluarga serta orang kampung yang banyak menyokong kerjayanya.

"Insya-Allah majlis itu akan diadakan Mac ini, namun saya akan beritahu tarikh sebenarnya secara eksklusif menerusi radio Era FM dalam masa terdekat.

"Ia akan diadakan secara sederhana yang bakal dihadiri keluarga terdekat. Di kesempatan itu juga saya akan menjemput peminat-peminat saya di sana yang banyak menyokong kerjaya saya selama ini," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Shahrol berkata demikian ketika diminta mengulas tentang khabar angin bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini di Johor Baru.

Bagaimanapun, Shahrol berkata, dia belum bersedia mendedahkan identiti bakal isterinya.

"Insya-Allah nanti saya dedahkan sekali siapa bakal isteri saya itu, dia orang Johor juga, senang cari orang Johor boleh balik kampung sama-sama.

"Setakat ini, apa yang saya boleh saya katakan, dia wanita yang menepati ciri-ciri wanita idaman saya. Buat masa ini dia bekerja dan ada bisnes di sana," katanya.

Tambah Shahrol, dia kini sibuk membuat beberapa persiapan termasuk menghadiri kursus kahwin.

Dia turut bersyukur, majlis perkahwinan tersebut menerima beberapa tajaan.

"Sekarang sedang sibuk buat persiapan, nasib baik ada keluarga yang bantu apa yang patut. Saya juga belum pergi kursus kahwin, walaupun saya pernah berkahwin tapi di Johor perlu hadir kursus kahwin sekali lagi jika mahu berkahwin semula," ujarnya.

Shahrol pernah berkahwin pada tahun 2008, namun berpisah selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka dikurniakan anak lelaki Muhd Adam Danish, berusia lapan tahun.

Mariah Carey Rancang Majlis Kahwin Besar-Besaran




PENYANYI Mariah Carey merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran dengan tunangannya yang juga jutawan Australia, James Packer pada tahun ini.

Pasangan yang baharu mengikat tali pertunangan minggu lalu itu dikhabarkan sudah bertemu dengan pereka fesyen dan perancang acara bagi menjayakan majlis gilang gemilang itu.

Seperti dipetik Female First, penyanyi itu juga sudah memilih tema Summer Weddinguntuk majlis berkenaan.

"James akan menuruti apa yang kekasihnya inginkan, dia juga sudah berjanji untuk melaksanakan sebuah perkahwinan yang hebat.

"Mariah ini majlis tersebut seperti sebuah perayaan dan sudah memberitahu rakan-rakan terdekat agar menunggu pesta pernikahannya yang mahal dan luar biasa seperti dibayangkan selama ini," ujar sumber.

Pasangan itu mula bercinta Jun tahun lalu, beberapa bulan selepas penyanyi jelita berkenaan dilaporkan berpisah dengan suaminya Nick Cannon.

Hasil perkahwinan Mariah dan Nick, mereka dikurniakan dua anak.

Sebelum itu, Mariah juga pernah berkahwin dengan eksekutif muzik Amerika Syarikat Tommy Mottola, dan ini bermakna, dia akan berkahwin buat kali ketiga.

James juga pernah berkahwin dua kali sebelum ini dan mempunyai tiga anak.

Taeyeon Tampil Lagu Solo 'Rain'




Taeyeon
SALAH seorang anggota kumpulan Girls Generation, Taeyeon bakal tampil dengan single lagu solo berjudul Rain.

Menurut laporan Allkpop, ia akan dilancarkan pada 3 Februari ini menerusi saluran rasmi SM ENtertainment (SME), 'Station'

Rain merupakan lagu berkonsepkan jaz dan soul yang mengisahkan kenangan cinta lama.

Setakat ini, pihak SME sudah pun mengeluarkan foto terbaharu Taeyeon sebagai pra promosi lagu berkenaan.

Mengenai 'Station', saluran itu melancarkan satu lagu setiap minggu.

The Boy sarat kejutan, debaran




The Boy

NASKHAH yang mengangkat anak patung sebagai subjek penceritaan bukanlah baharu bagi filem dari barat.
Bahkan filem-filem sebegini mempunyai golongan peminat tersendiri.
Dek kerana itu jugalah filem-filem seperti Annabelle, Child’s Play, mendapat kutipan yang cukup memberangsangkan ketika ditayangkan. Terbaharu, masih mengekalkan anak patung sebagai subjek penceritaan, filem The Boy arahan William Brent Bell sudah mula menghantui peminatnya sejak ditayangkan 21 Januari lalu.
Filem yang membariskan gandingan pelakon seperti Lauren Cohan, Rupert Evans dan Ben Robson menyaksikan kemunculan patung porselin seperti kanak-kanak lelaki.
Sekali imbas, patung yang diberi nama Brahm ini tidak jauh bezanya dengan Annabelle.
Memiliki pandangan mata yang sayu tetapi tajam, ada ketikanya, apabila fokus beralih kepada Brahm, ia sudah cukup menimbulkan rasa berdebar dan seram apabila melihat ke matanya.
Secara keseluruhan, The Boy tidak banyak bezanya dengan filem seram lain seperti Annabelle dan Child's Play.
Permulaan cerita yang santai dengan latar belakang kawasan rumah agam yang menyeramkan sudah cukup memberi suntikan elemen seram, debaran dan penuh tanda tanya.
Filem The Boy mengisahkan Greta dari Amerika Syarikat, yang menerima tawaran sebagai pengasuh di satu rumah agam di pinggir kampung di England.
Sebaik saja tiba, dia terkejut kanak-kanak yang perlu dijaga bukan kanak-kanak sebenar, sebaliknya patung bersaiz kanak-kanak yang diperbuat daripada porselin.
Greta yang degil melanggar beberapa senarai yang perlu dilakukan untuk menjaga patung itu dan bermulalah gangguan demi gangguan yang akhirnya membuatkan Greta menyesal.
Melihat pada trailer dan seterusnya filem ini di pawagam baru-baru ini, penulis pada mulanya membayangkan jalan cerita The Boy tidak adalah gabungan penceritaan antara Annabelle dan Child's Play.
Bagaimanapun jangkaan penulis meleset apabila tiada unsur pemujaan yang jelas terhadap patung Brahm.
Yang ada hanyalah perubahan tempat duduk dan cara patung itu memandang seolah-olah dia mempunyai roh di dalamnya.
Bahkan ada ketikanya penulis seolah-olah memikirkan dia adalah patung dalam filem Mannequin (1987) yang mempunyai kuasa untuk hidup dan kemudian kembali menjadi patung.
Pendek kata semenjak Greta mula bekerja di rumah itu, sama seperti dia, penonton juga akan dipenuhi dengan pelbagai tanda tanya mengenai siapakah Brahm sebenarnya.
Pengakhiran tak dijangka
Lakonan mantap Lauren Cohan sebagai Greta biarpun dilihat tidak banyak meninggalkan kesan, namun masih berjaya mengemudi jalan cerita ini dengan baik.
Apatah lagi ada ketikanya hanya dia terlihat sebagai subjek penceritaan.
Berbalik kepada jalan penceritaan, pengakhiran yang tak terjangka membuatkan ada beberapa penonton merasa kurang berpuas hati, ada yang terkejut dan tidak kurang juga ada yang boleh menjangka pengakhirannya.
Namun pada pandangan penulis, pengakhiran yang berbeza itu sekali gus meletakkan The Boy berlainan dengan filem seram sedia ada.
Bagaimanapun filem The Boy masih sebuah filem yang berbaloi ditonton bagi anda yang meminati filem seram mahupun yang meminati filem berasaskan patung mainan.
Justeru bagi anda yang ingin mengetahui apakah pengakhiran filem ini, jangan lupa untuk menyaksikan The Boy di pawagam.

AME 2016 tampil kelainan




AME 2016 tampil kelainan

MENGANGKAT tema Satu Undian, Seribu Senyuman kelainan dibawa dalam penganjuran Anugerah Meletop Era (AME) 2016 untuk penganjuran kali ketiganya.
Ketua Format Dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris berkata, tema ini membuktikan AME bukan sekadar mengiktiraf selebriti tempatan malah prihatin membantu masyarakat.
“Tahun ini, selain iktiraf selebriti yang layak, kami turut galak anak seni melakukan aktiviti tanggungjawab sosial untuk kembalikan senyuman kepada masyarakat.
“Kami juga mewujudkan program Meter Positif AME yang mana bakal menyaksikan penglibatan secara langsung calon top 5  menjalani kerja amal sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang mengundi,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut mengenai program tersebut, Namanzee menjelaskan kerja sosial yang akan dilaksanakan calon top 5 bergantung kepada undian peminat.
“Bagi undian yang mencapai 25 peratus ke atas, calon akan kunjungi pesakit kanak-kanak di wad pediatrik dan turut kunjungi Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia jika keseluruhan undian capai 50 peratus.
“Seterusnya apabila undian mencapai 70 peratus, mereka ke Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (Clapam). Satu kejutan bakal diaktifkan selebriti jika undian keseluruhan bagi 16 kategori mencapai 100 peratus
“Kami percaya dengan adanya program seperti ini akan menambahkan keterujaan penganjuran AME kali ini.
“Bagi kami, membuat orang lain tersenyum adalah hadiah paling berharga dan kami harap agar inisiatif ini dapat membuka mata masyarakat untuk terus bersatu,” katanya.
Empat hos meriahkan majlis
Sementara itu, pada majlis sama turut mengumumkan empat hos yang bakal memeriahkan program berprestij itu dan antara selebriti terlibat Nabil Ahmad, Neelofa, Datuk Ac Mizal dan Jihan Muse.
"Tahun ini AME masih menampilkan pasangan hos yang cukup sinonim dengan program Meletop iaitu Nabil Ahmad dan Neelofa.
"Pada masa sama juga, mereka akan ditemani Datuk AC Mizal dan Jihan Muse bagi memeriahkan lagi malam anugerah itu nanti.
Senarai lima calon akhir untuk 16 kategori juga telah disenarai pendek berdasarkan undian orang ramai sewaktu pusingan fasa pertama yang dibuka sejak 17 Disember hingga 15 Januari lalu.
Pemenang bagi setiap kategori bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5000 berserta sebuah trofi sumbangan Astro.
AME 2016 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur pada 28 Februari ini dan boleh ditonton secara langsung menerusi saluran Astro Ria dab Ria HD.

Ola Bola ke Taipei




Ola Bola ke Taipei

BAHARU sehari ditayangkan, khabar gembira diterima kru produksi filem Ola Bola apabila filem itu ditayangkan di Taipei Golden Horse Fantastic Film Festival (GHFFF) Taiwan bermula 8 hingga 17 April ini.
Pengarah Ola Bola, Chiu Keng Guan berkata, dia bangga filem arahannya mendapat perhatian luar dan sekali gus terpilih ditayangkan di festival filem di Taiwan.
"Sebelum ini, Ola Bola melalui proses post produksi di Taipei dan mendapat banyak komen positif daripada pembikin filem Taiwan.
"Baru-baru ini GHFFF hubungi saya untuk mempelawa filem ini untuk ditayangkan di sana. Beberapa hari kemudian, mereka hantar jemputan rasmi kepada saya.
"Mereka mengakui kagum dengan jalan cerita dan sinematografi filem ini," katanya kepada Zass.
Ola Bola dibintangi JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae dan Frankie Lee.
Filem ini diilhamkan dari peristiwa kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia dalam usaha menyertai Sukan Olimpik Moscow 1980.
Bukan sekadar filem yang mengetengahkan sukan bola sepak semata-mata, ia mengangkat nilai universal dan semangat bangsa.
Dengan berlatar belakangkan sinematografi 80-an, filem ini turut memaparkan cabaran pasukan bola sepak kebangsaan serta semangat patriotisme rakyat Malaysia yang cintakan tanah air menerusi sokongan mereka terhadap negara.
Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata, pihaknya berharap filem yang penuh dengan elemen aksi, emosi dan inspirasi ini akan mencipta fenomena tersendiri pada tahun  ini.  
“Ola Bola mempunyai jalan cerita yang begitu unik di mana ia menyaksikan semangat dan sokongan berbilang bangsa yang terdapat di Malaysia.
"Menerusi filem ini, diharap penonton dapat melihat keistimewaan yang ada pada kita sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Ola Bola membawa penonton dari pelbagai bangsa untuk sama-sama merasai semangat bersatu hati dan muhibah. Kisah yang penuh iktibar ini akan bawa penonton melihat semangat, keunikan dan kekuatan yang terdapat dalam kepelbagaian bangsa di Malaysia.

Hidayah Milik ALLAH




Hidayah Milik ALLAH

ASALNYA, penceramah agama ini adalah jurutera, kemudian beralih pula kepada guru, namun dek minat mendalam terhadap bidang dakwah sekali gus menukar profesionnya kepada pendakwah.
Istimewanya, pendekatan digunakan empunya nama Ustaz Abdullah Khairi Haroon sangat menarik sehingga menjadikannya digemari semua generasi tidak kira muda mahupun tua.
Masakan tidak, ceramah disampaikan bersahaja, lawak ketawa serta cukup santai.
Kerana itu, Abdullah Khairi menjadi pilihan tepat dalam menjalinkan kolaborasi dengan Ustaz Fakhrul dari kumpulan UNIC.
Jelas Fakhrul atau nama sebenarnya, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, kerjasama terjalin di antaranya dengan ustaz berusia 49 tahun itu adalah melalui penerbitan album, Hidayah Milik ALLAH yang dilancar sejak empat bulan lalu.
“Album ini gabungan konsep kata-kata nasihat dan juga zikir. Mungkin boleh juga dianggap sebagai album tazkirah.
“Beliau menyumbang daripada segi kata-kata nasihat yang berbentuk motivasi, penceritaan, monolog mahupun kata-kata hikmah, manakala saya pula berteraskan zikir munajat.
“Ini merupakan kerjasama pertama kami berdua memandangkan beliau sendiri punya peminat yang ramai di luar sana.
“Jadi, saya rasa tidak salah jika kami bergabung dan hasilkan album bersama,” katanya kepada Zass.
Menurut Fakhrul, album yang mengambil masa selama lebih empat bulan untuk dirakamkan ini mempunyai 14 zikir kesemuanya.
Zikir itu ialah Zikir Subhanallah, Hebatnya Seorang Guru, Zikir Al-Malik Al-Haq, Hidayah Milik ALLAH,  Zikir Lailahaillallah, Kisah Pendakian Jabal Nur, Selawat Ya Rabbi Solli, Marilah Mencintai Nabi, Zikir Ya ALLAH, Aku Kembali Ya ALLAH, Zikir Istighfar, Doa Seorang Hamba dan Sajak Kematian.
“Setiap zikir diselang-selikan penyampaian ceramah daripada Abdullah Khairi.
“Menariknya, zikir berkenaan adalah zikir munajat yang mudah dihafal, tetapi diberi nafas baru agar lebih segar.
“Setiap zikir itu dirakamkan semula secara langsung sambil diiringi dua instrumen muzik bagi mendatangkan ‘mood’ kepada pendengar,” katanya.
Sebagai bonus, katanya, UNIC sendiri turut menyumbang suara menerusi lagu Ummi yang dinyanyikan semula sambil diiringi dengan bacaan sajak bagi mencipta kelainan.
“Biasanya, dalam lagu ada diselitkan lagu rap, tetapi bagi memberi sedikit perbezaan, kita menggunakan pendekatan bacaan sajak.
“Lagi pula, lagu ini lebih dekat dengan masyarakat yang berkisar di antara hubungan ibu dan anak,” katanya.
Sudah terjual lebih 5,000 unit, kata Fakhrul, album itu mendapat sambutan  memberangsangkan daripada peminat.
“Alhamdulillah, jujurnya, kami memang berfokus terhadap penjualan album ini.
“Tak sangka tnerima sambutan hebat daripada orang ramai. Insya-ALLAH, hasil kejayaan album ini menjadikan semangat saya berkobar-kobar untuk menjalinkan kolaborasi dengan ustaz selebriti lain.
“Setakat ini, semua itu masih di peringkat perbincangan,” katanya.
Terbit program TV sendiri?
Sementara itu, Fakhrul turut berkongsi perkembangan terbaru UNIC terutama perancangan kumpulan duo itu pada 2016.
Kata Fakhrul, UNIC berhasrat membesarkan syarikat rakaman milik mereka selain berusaha menerbitkan album baharu artis naungan mereka setiap bulan.
“Selain terbit album sendiri, kita juga terbit album ceramah daripada ustaz selebriti seperti Ustaz Syed Abd Kadir Aljoofre, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Elias Ismail.
Selain itu, katanya, UNIC akan bertolak ke Makkah dan Madinah hujung bulan ini sehingga 20 Februari depan bagi mempelajari selok-belok keadaan di sana demi memenuhi keperluan projek akan datang.
“Kami jalankan projek untuk sebuah program televisyen (TV) tidak lama lagi.
“Jadi, kami sendiri akan jalani proses penggambaran di sana,” katanya.

Polisas sedia makanan percuma




Polisas sedia makanan percuma
Pelajar Jabatan Perdagangan mengambil makanan percuma yang disediakan Polisas.
KUANTAN - Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Semambu, di sini menyediakan makanan percuma kepada pelajarnya untuk meringankan beban mereka.
Pengarahnya, Norlida Abd Razak berkata,jabatan pengajian bertanggungjawab menyediakan sarapan pagi atau makan tengah hari di sudut khas yang disediakan.
Menurutnya, program makanan percuma untuk pelajar Polisas itu bermula sejak Disember tahun lalu dengan peruntukan RM500 sebulan diberikan kepada setiap jabatan.    
Katanya, terdapat jabatan menyediakan antara 100 hingga 300 bungkus sarapan pagi seperti nasi lemak dan mi goreng bersama minuman panas.
“Manakala sesetengah jabatan menyediakan kupon makan tengah hari bernilai RM7 untuk makan di kafeteria.
“Makanan percuma ini disediakan hanya sehari bagi setiap minggu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.
Norlida berkata, usaha itu diharap dapat meringankan beban golongan pelajar yang berdepan masalah kewangan hingga menjejaskan pengajian mereka.
“Pensyarah dan pihak luar turut tampil menyumbang pelbagai jenis kuih,” katanya.
Beliau berkata, rata-rata pelajar ditemui mengakui makanan percuma itu dapat mengurangkan perbelanjaan ditanggung walaupun hanya disediakan sehari seminggu.
“Kita akan terus berusaha mencari dana khas bagi tujuan menyediakan makanan percuma secara berterusan setiap hari dengan kerjasama pihak tertentu,” katanya.
Menurutnya, Polisas tidak mahu masalah kewangan mengganggu tumpuan untuk belajar, justeru bantuan wang kebajikan turut diwujudkan.
Katanya, pada tahun lalu lebih RM30,000 diagihkan kepada pelajar yang mempunyai masalah kewangan selain mereka yang terbabit dengan kemalangan, kecurian dan bencana alam seperti banjir.

Api misteri: Lapan beranak ditawar rumah baharu



Api misteri: Lapan beranak ditawar rumah baharu
Azlan menunjukkan kesan terbakar pada pakaiannya yang diletakkan di dalam almari di rumahnya di Kampung Losong Atap Zin
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri memberi tawaran sebuah rumah kepada keluarga yang dihantui api misteri di Kampung Losong Atap Zin, di sini, bagi membolehkan lapan beranak itu tinggal dalam keadaan yang selesa dan selamat.
Perbincangan yang dibuat di antara Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan mangsa yang juga penyewa rumah, Azlan Abu Bakar, 58, lebih kurang 30 minit itu membawa kepada penawaran rumah di Flat Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Chendering.
Menurut Pehimi, disebabkan keluarga itu tidak selesa tinggal di rumah sewa sekarang ekoran dihantui api misteri, pihaknya membuat tawaran berkenaan.
“Memandangkan ada lagi beberapa unit rumah di Flat Desa Keluarga YPK, Chendering yang masih kosong, saya menawarkan untuk keluarga mangsa berpindah ke sana.
“Bagaimanapun, keluarga ini diberi ruang terlebih dahulu untuk berfikir sama ada setuju tinggal di rumah baharu atau masih mahu tinggal di rumah ini (rumah sewa),” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi keluarga mangsa di Kampung Losong Atap Zin, di sini.
Dalam masa sama, Pehimi menyarankan keluarga berkenaan yang merupakan golongan berpendapatan rendah supaya mengemukakan permohonan kepada Tabung Darul Iman bagi meminta bantuan ekoran musibah api misteri yang berlaku kepada keluarga Azlan untuk dinilai jumlah kerugian yang ditanggung.
Sementara itu, Azlan yang ditemui berkata, dia gembira dengan penawaran kerajaan negeri itu, tetapi dia perlu mengambil masa untuk membuat keputusan kerana memikirkan tempat kerja yang jauh serta persekolahan anak-anak.
“Saya memang suka dapat tawaran rumah, tapi bila fikir semula, tempat tu (Chendering), jauh daripada tempat kerja saya, anak-anak sekolah pula kena tukar dan banyak perkara juga kena fikirkan dulu.
“Buat masa ini, saya kena banyak bersabar dan berdoa supaya tidak lagi diganggu api misteri yang membuatkan kami sekeluarga risau dan bimbang,” katanya.
Azlan yang bekerja sebagai pembantu jurujual sayur di Pasar Chabang Tiga berkata, dia kerap menelefon isteri, Nor Aini Kamaruddin, 35, di rumah kerana bimbang keselamatan mereka sekeluarga.
Ceritanya, terbaharu pada Ahad lepas, api misteri secara tiba-tiba keluar daripada mesin basuh ketika isteri sedang berbual di halaman rumah sekitar jam 10 pagi.
“Selepas terbau hangit dan melihat ke dalam rumah di bahagian dapur, saya terkejut melihat api mula muncul di dalam mesin basuh yang ketika itu dipenuhi kain basah tetapi ia berjaya dipadamkan,” kata Nor Aini.
Menurutnya, selain mesin basuh, langsir, pakaian, almari, dinding dan banyak lagi terdapat kesan terbakar di dalam rumah sewanya itu.
Manakala jiran mereka, Rafeah Sudin, 41 yang sebelum ini turut dihantui masalah sama telah pun berpindah dari rumah berkenaan.
Sebelum ini, akhbar sama melaporkan dua keluarga hidup dalam ketakutan dan terpaksa berpindah setelah rumah sewa didiami dihantui api misteri sejak tiga bulan lalu.

Panjang umur kerana merokok



 Batuli Lamichhane
Batuli Lamichhane
KATHMANDU - NEPAL . Seorang wanita yang kini berusia 112 tahun mendakwa rahsianya pajang umur adalah kerana tabiatnya merokok sebanyak 30 batang rokok sehari sejak 95 tahun lalu.
Batuli Lamichhane dilahirkan pada Mac 1903 dan mula merokok ketika usianya 17 tahun.
Batuli mendakwa tabiat hariannya itu membantunya hidup lebih lama daripada penduduk kampungnya malah anaknya sendiri.
"Saya tidak peduli berapa umur saya. Saya menyaksikan banyak perkara berubah sepanjang hidup," katanya
Batuli turut mencadangkan agar mengelakkan untuk menggunakan rokok komersial yang berada di pasaran sebaliknya  merokok dengan rokok buatan tempatan, 'beedis' iaitu tembakau dibungkus dalam daun Tendu," katanya dipetik Metro.uk.
Wanita itu juga percaya, rahsia panjang umur adalah dengan memastikan hidup bebas tekanan dan sentiasa mengamalkan kehidupan aktif.
"Anda mesti sentisa gembira dan itu akan menjadikan anda akan hidup lama," ujarnya.

Friday, January 29, 2016

"Biar Allah Hukum" - Iqram Komen Foto Bersama Uqasha Buka Tudung Tersebar




Iqram dan Uqasha nafi digosipkan bercinta Ogos tahun lalu.
PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly menganggap gambar percutiannya bersama Uqasha Senrose yang turut menyaksikan aktres itu membuka tudung adalah satu ujian besar dalam dirinya.

Iqram, 33, berkata, dia enggan memberi sebarang komen tentang perkara itu dan meminta individu yang mendedahkan foto dan maklumat berhubung gal itu bertanggungjawab terhadap perkara berkenaan.

"Saya minta maaf, saya hanya mampu katakan no comment mengenai gambar percutian itu dan tidak boleh beri kerjasama.

"Sahih atau tidak sahih, biarlah Allah menghukumnya kerana kita sebagai manusia sesama manusia seharusnya sebaik mungkin menutup aib sendiri, inikan pula aib orang lain.

"Saya bukan malaikat mahupun maksom kerana kita manusia sentiasa diuji dan diduga," ujarnya kepada mStar Online.
Salah satu gambar Iqram dan Uqasha yang menjadi kontroversi.
Iqram berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gambar mesranya bersama Uqasha ketika sedang bercuti di pulau Koh Lipe, Thailand yang tersiar di akhbar mingguan, Ahad lalu.

Beberapa keping foto tersebut memperlihatkan Uqasha tidak berhijab dan berpakaian seksi bersama adik-adik yang lain.

Tambah Iqram, dia berharap perkara tersebut tidak terus diperbesarkan kerana ia merupakan hak dan privasi buat dirinya.

"Saya juga berharap perkara ini tidak terus diperbesarkan. Biarlah apa pun persepsi orang, apa orang nak katakan.

"Andai terjatuh fitnah sekalipun, sebagai hamba Allah saya tetap memaafkan insan itu dan terima kasih kerana prihatin," ujarnya.

Gosip percintaanya dengan aktres tersebut tersebar sejak pertengahan tahun lalu, namun kedua-duanya menafikan perkara tersebut.

Uqasha sebelum ini pernah bertunang dengan Pekin Ibrahim namun hubungan itu putus dan selepas itu dikatakan menjalikan cinta separuh jalan dengan Syafiq Kyle.

Farah Asyikin Terima Cercaan Gara-Gara Masalah Rumah Tangga




Fokus Farah kini adalah kepada anaknya, Ebrahim Owais.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Farah Asyikin berasa lega apabila masalah rumah tangga dengan bekas suaminya, Zaahier Stanley akhirnya selesai apabila mereka sah bercerai talak satu pada Khamis.

Farah atau nama sebenarnya Farah Asyikin Zulkifli, 36, berkata, sepanjang hampir dua tahun kes berkenaan berlangsung di mahkamah, dia terpaksa menelan pelbagai tohmahan berhubung tindakannya memfailkan cerai terhadap Zaahier.

"Sebelum tiba di mahkamah perasaan saya kebas kerana sudah hampir dua tahun kes ini tidak selesai. Sepanjang tempoh itu banyak tohmahan diberikan kepada saya kerana tanggapan kononnya saya yang bersalah dalam hal ini.

"Alhamdulillah ia akhirnya selesai dan segala-galanya sudah berakhir," katanya kepadamStar Online.

Terdahulu, Farah dan Zaahier, 39, bercerai talak satu secara tebus talak dengan bayaran RM100 di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.

Lafaz berkenaan dibuat oleh hakam lantikan mahkamah iaitu Mohd Fateh Salleh yang mewakili Zaahier selaku defendan di hadapan Hakim Syarie, Umamuddin Yunus.

Zaahier Stanley. 

Dalam pada itu, Farah berkata, permasalahan rumah tangganya yang diterangkan oleh hakam ketika perbicaraan tersebut sudah cukup untuk merungkai tanda tanya punca sebenar dia memfailkan perceraian tersebut.

Dia tidak mahu menoleh kebelakang kerana fokusnya kini adalah kepada anak lelaki tunggalnya, Ebrahim Owais yang berusia 18 bulan.

"Saya tidak pernah berhasrat untuk mendedahkan apa yang berlaku dalam rumah tangga kami biarpun ramai menyalahkan saya tetapi dengan apa didedahkan hakam semasa perbicaraan sudah terjawab semuanya.

"Tidak berfikir untuk menoleh kebelakang saya ingin teruskan kehidupan seperti biasa dan fokus kepada anak kami yang semakin membesar," jelasnya.

Terdahulu, Mohd Fateh yang juga pegawai Sulh ketika membentangkan laporan hakam kepada mahkamah mensabitkan wujudnya 'shiqaq' atau perbalahan berpanjangan dalam perkahwinan itu dan mencadangkan agar perceraian dibuat secara tebus talak.

Jelasnya lagi, selain tidak berkomunikasi dan tinggal berasingan hampir dua tahun, Farah turut didera secara emosi menerusi kata-kata kasar.

Farah dan Zaahier yang juga seorang warganegara Afrika Selatan yang berketurunan Melayu Cape berkahwin pada 15 Februari 2013 selepas berkenalan selama setahun menerusi Twitter.

Fizikal Rendah Juzzthin Bukan Halangan Jadi Penyanyi Rap




Juzzthin menyifatkan, penampilannya yang rendah bukan halangan untuk dia menjadi penyanyi rap berjaya.
PETALING JAYA: Penyanyi Juzzthin tidak pernah menjadikan saiz fizikalnya yang rendah satu masalah untuk mencipta nama sebagai seorang penyanyi rap popular.

Juzzthin atau nama sebenarnya, Mohamad Nazreen Norzali, 26, berkata, apa yang lebih penting ialah mempunyai anggota tubuh yang sempurna.

"Tinggi saya 160 sentimeter dan saya akui ramai orang kata bahawa saya rap best tetapi sayang saya pendek sebab kebanyakkan penyanyi rap semuanya tinggi-tinggi belaka.

"Tapi saya tidak kisah orang kata begitu kerana bagi saya asalkan ada tangan dan ada kaki saya sudah bersyukur," ujarnya kepada mStar Online.
Juzzthin berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album pertamanya iaitu Juzzthin Class Is In Session, di Pejabat Warner Music, di sini, Khamis.

Tambah Juzzthin, fizikalnya yang kecil juga memberi kelebihan kerana sering dianggap dia masih pelajar sekolah.

Malah, dia juga menerima banyak tawaran berlakon untuk membawakan watak pelajar.

Juzzthin berduet dengan Maya Karin dengan lagu Serik Dengan Cinta.

"Fizikal saya yang rendah ini kadang-kadang membuatkan orang senang mendekati saya untuk berkawan dan ramai yang menyangka saya masih belasan tahun.

"Selain itu, ada juga rezeki lain iaitu dapat tawaran berlakon watak pelajar sekolah walaupun kini sudah 26 tahun," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang lagu duetnya bersama Maya Karin iaitu Serik Dengan Cinta yang dimuatkan dalam album tersebut, ia bukan untuk menumpang populariti aktres itu.

Katanya, genre pop dibawa Maya Karin yang digabungkan dengan genre hip hop dapat memberi keseimbangan terhadap lagu berkenaan.

"Saya gembira dapat bekerjasama dengan nama besar seperti Maya Karin dalam lagu ini dan ia bukan untuk menumpang populariti dia sebagai artis popular.

"Bagi saya genre pop yang dia bawa dapat memberi hasil yang sangat baik selepas digabungkan dengan hip hop, ia lebih sedap didengar, " ujarnya.

Sementara itu, album tersebut memuatkan 12 buah lagu antaranya Day 1, Drive, Isi Puisi, Bonda dan Poster.
Katanya, lagu Bonda merupakan lagu paling bermakna berikutan ditulis khas buat ibunya Noraini Jamil.

"Lagu paling bermakna dan dirakam dengan penuh emosi ialah lagu Bonda yang saya tulis untuk ibu saya.

"Saya sudah beri dia dengar tapi dia tidak berapa minat denga genre hip hop," ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy, Maya Karin, Dj Fuzz, Mark Adam dan Waris.

Farah Asyikin Cerai Talak Satu, Tebus Talak RM100




Farah Asyikin akhirnya bercerai secara tebus talak dengan suaminya, Zaahier Stanley pada Khamis.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Farah Asyikin akhirnya sah bercerai talak satu dengan suaminya, Zaahier Stanley secara tebus talak di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.

Lafaz berkenaan dibuat oleh hakam lantikan mahkamah iaitu Mohd Fateh Salleh yang mewakili Zaahier, 39, selaku defendan kes berkenaan di hadapan Hakim Syarie, Umamuddin Yunus.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan Farah selaku plaintif kes berkenaan membayar wang tebus talak kepada Zaahier sebanyak RM100.

Terdahulu, Mohd Fateh yang juga pegawai Sulh ketika membentangkan laporan hakam kepada mahkamah mensabitkan wujudnya 'Shiqaq' atau perbalahan berpanjangan dalam perkahwinan itu dan mencadangkan agar perceraian dibuat secara tebus talak.

Zaahier Stanley.
Jelasnya lagi, selain tidak berkomunikasi dan tinggal berasingan hampir dua tahun, Farah turut didera secara emosi menerusi kata-kata kasar.

Farah diwakili peguam syarie, Siti Maisyarah Hashim.

Perceraian itu dibuat mengikut Seksyen 47 dan 48 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Terdahulu, Farah atau nama sebenarnya Farah Asyikin Zulkifli, 36, memfailkan perceraian mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada Oktober 2014.

Farah dan Zaahier yang juga seorang warganegara Afrika Selatan yang berketurunan Melayu Cape berkahwin pada 15 Februari 2013 selepas berkenalan selama setahun menerusi Twitter.

Hasil perkahwinan tersebut pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Ebrahim Owais yang berusia 18 bulan.

Mahkamah Tuntut Bukti Pernikahan Adira & Suami Di Thailand




KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis memerintahkan penyanyi Adira dan suaminya, Datuk Seri Adenan Abu mengemukakan bukti pernikahan mereka di Songkhla, Thailand yang berlangsung 3 Disember tahun lalu.
Peguam syarie yang mewakili pasangan berkenaan, Irsamuddin Ikhsan ketika ditemui berkata, mahkamah mahu melihat salinan gambar asal selain bukti lain pernikahan berkenaan.

"Semasa memfailkan kes berkenaan pihak kami telah memasukkan semua bukti sebagai lampiran namun pihak mahkamah ingin melihat salinan asal bukti pernikahan tersebut.

"Jadi kami akan sediakan semua yang diminta pada perbicaraan akan datang," katanya kepada mStar Online.
Terdahulu, kes berkenaan didengar buat kali pertama dihadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Lutfhatul Hanah Shamsudin pada Khamis.

Ia akan disambung pada 7 Mac depan.

Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 25, dan suaminya memfailkan permohonan pengesahan pernikahan berpoligami di luar negara pada 8 Januari lalu.

Kes itu didengar bawah seksyen 12 dan 23 Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Sementara itu, Adenan, 38, ketika ditemui pemberita memberitahu, dia akan mengemukakan bukti seperti diminta mahkamah dan berharap kes tersebut akan selesai baik.

Malah dia merancang untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan dengan Adira selepas perbicaraan selesai di kampung halaman isterinya di Kota Kinabalu, Sabah.

Sebelum ini Adira mengakui sudah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan itu sebagai isteri kedua selepas hanya tiga minggu berkenalan.

Gosip mengatakan penyanyi itu sudah berkahwin dengan lelaki berkenaan bertambah kuat apabila isteri pertama Adnan yang dikenali sebagai Datin Red mendedahkan di ruang komen menerusi gambar dimuat naiknya bahawa dia dan Adira kini berkongsi suami.

Adenan merupakan ahli perniagaan dan mempunyai syarikat ejen hartanah.

"Tawaran Berlakon Kurang Selepas Tutup Aurat" - Mia Sara




Mia Sara Nasuha. 
PETALING JAYA: Pelakon kanak-kanak Mia Sara Nasuha mendedahkan sejak dia membuat keputusan menutup aurat dengan bertudung, tawaran lakonan yang diterimanya semakin berkurangan.
Mia atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 11, bagaimanapun akur dengan perkara itu kerana sudah bersedia dengan segala kemungkinan sejak membuat keputusan berkenaan pada Disember tahun lalu.

"Tawaran lakonan semakin kurang dan saya faham mengapa saya tidak diambil berlakon. Tidak mengapa kerana Allah akan memberi rezeki lain kepada saya nanti.

"Malah saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang mungkin berlaku selepas saya membuat keputusan mahu bertudung," katanya kepada mStar Online.

Mia ditemui pada majlis pelancaran Cereal-Caliph Nutrion For Eyes di Flora Terrace baru-baru ini.

Dalam pada itu, kata Mia, dia bersyukur apabila rezekinya dapat dilihat menerusi bidang perniagaan yang diceburinya di mana sambutan jualan tudung miliknya iaitu MS Couture sangat menggalakkan.

Mia dan Fynn bersama pengarah Urusan Raffelinna, Muhammad Rafi’e Ramli pada pelancaran Cereal-Caliph Nutrion For Eyes.
.
"Walaupun kurang tawaran, rezeki saya lebih kepada hasil jualan tudung menerusi label milik saya iaitu MS Couture secara online. Selain itu saya juga dapat memberi fokus penuh pada pelajaran," tuturnya.
Sementara itu, kata Mia, perubahan imejnya itu juga disifatkan sebagai satu keputusan yang sangat tepat apabila dia tidak lagi dikutuk rakan-rakan sekolah seperti yang sering dilaluinya sebelum ini.

"Saya bersyukur, perubahan yang saya lakukan ini memberi banyak kebaikan pada diri saya.

"Kawan-kawan tidak mengganggu atau mengutuk saya lagi. Sebaliknya mereka memuji saya. Malah pada hari pertama saya ke sekolah memakai tudung, saya diserbu kawan-kawan pula.

"Pengikut-pengikut di Instagram pun sama. Mereka tidak lagi mengkritik saya sembarangan. Alhamdulillah, saya ambil setiap perkara ini secara positif," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mia sehingga kini masih lagi merupakan duta kepada produk makanan tambahan Caliph bersama penyanyi Fynn Jamal yang dilantik sebagai duta kecil.

Caliph merupakan produk syarikat  Raffelinna Sdn Bhd.

Tiada Hubungan Istimewa Aizat & Aisyah Aziz




Aizat Amdan
KUALA LUMPUR: Penyanyi Aizat berkata kelibatnya yang sering dilihat bersama penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz tidak bermakna mereka mempunyai hubungan intim seperti yang diperkatakan beberapa pihak.
Sebaliknya Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 27, berkata, mereka sekadar berkawan biasa lebih-lebih lagi dia pernah menghasilkan lagu buat penyanyi muda itu berjudul Pilihan Sejati.

"Eh... Jangan salah anggap. Kami berkawan sahaja. Benar kami keluar makan bersama tetapi hubungan yang dijalinkan itu tidak lebih daripada sebagai kawan.

"Biasalah, apabila selesai dengan urusan kerja di studio, saya dan rakan artis akan ke kedai makan," katanya kepada mStar Online.
Aizat ditemui pada majlis pelancaran Gegar Aizat 2016  di di restoran miliknya iaitu Kasi Gegar, Dagang Avenue, di sini pada Rabu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sungai Lui  itu mengulas mengenai dakwaan dia dan Aisyah sedang hangat bercinta gara-gara kekerapan orang ramai melihat mereka keluar bersama.
Aisyah Aziz
Tambah Aizat, buat masa ini, dia masih lagi belum mempunyai kekasih hati namun memberitahu wanita yang mempunyai minat yang sama dengannya, sependapat dan beriman adalah ciri-ciri wanita idaman.
Sementara itu, mengenai projek Gegar Aizat 2016, Aizat tampil dengan sedikit pembaharuan dalam kariernya di mana dia akan menghasilkan sebuah lagu setiap bulan yang akan dibuat sehingga akhir tahun ini.

Kata Aizat, ia adalah salah satu strategi untuk dia menarik perhatian ramai mengenai kewujudan lagu baharu yang dibawakan.

"Kiranya tahun ini saya akan hasilkan 12 single lagu dan akan menghimpunkannya kepada sebuah album.

"Diikuti dengan konsert bagi meraikan 10 tahun penglibatan saya dalam industri yang dijangka pada awal tahun 2017.

"Memandangkan saya sedikit sepi dalam publisiti media, tahun ini saya tampil dengan susunan jadual kerja yang padat diuruskan oleh syarikat saya, Kasi Gegar Entertainment (KGE).

Dalam pada itu, kata Aizat, lagu-lagu yang ditampilkan itu akan dilancarkan bersama klip video yang dimuat naik di saluran YouTube, OfficialAizatAmdan.

"Bukan itu sahaja, saya juga akan membuat rakaman video aktiviti harian saya dan jadikannya kepada sebuah blog khas buat peminat-peminat.

"Kiranya 2016 adalah tahun yang mencabar buat saya kerana jadual kerja saya sudah disusun setahun. Saya harap apa yang dirancang itu menjadi," ujarnya.

Ella Angkat Tema Anti Dadah Pada Konsert April Depan




Ella
KUALA LUMPUR: Ratu rock negara iaitu Ella bakal mengangkat tema Anti Dadah menerusi konsert terbesarnya dalam tempoh 10 tahun iaitu Ella 2016 yang bakal berlangsung pada 16 April depan.

Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 49, berkata, dia memilih tema itu dalam usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah terutamanya di kalangan remaja.

"Saya terpanggil untuk tampil dengan tema ini selepas melihat senario penyalahgunaan dadah semakin berleluasa di kalangan masyarakat.

"Menerusi konsert ini saya rasa ia medan paling sesuai untuk menyampaikan mesej berkenaan dengan semua peminat yang bakal hadir," katanya.

Ella 2016 bakal diadakan di Stadium Malawati Shah Alam dekat sini pada hari Sabtu bermula pukul 8.30 malam.

Ia dianjurkan oleh Atlas One Events Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

Dalam pada itu, Ella berkata, dalam konsert berkenaan dia berharap peminat dapat hadir mengenakan pakaian berwarna putih sebagai simbolik kepada kesucian hati bekas penagih dadah yang ingin kembali ke pangkal jalan.

Malah katanya, pemilihan warna itu juga sebagai kelahiran semula mereka selain peminat dapat menunjukkan sokongan terhadap golongan tersebut.

Ella angkat tema anti dadah.
"Bersesuaian dengan tema Anti Dadah ia lebih sesuai sekiranya penonton hadir mengenakan pakaian putih sebagai tanda sokongan kepada bekas penagih dadah yang nekad berubah dan ia simbolik kepada kelahiran semula yang bersih dan suci," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ella berkata, dia bersyukur tiket bagi menyaksikan konsert berkenaan sudah pun terjual sebanyak 2,000 keping dalam tempoh singkat.

Jelasnya ia amat bererti kepadanya kerana setiap penjualan tiket, RM2 daripadanya akan disumbangkan kepada tabung dana Pemadam bagi membolehkan lebih banyak program kesedaran anti dadah diadakan.

"Ini adalah sumbangan ikhlas saya untuk membantu menangani gejala dadah dan wang berkenaan boleh digunakan oleh pihak Pemadam untuk mengadakan lebih banyak program kesedaran di kalangan masyarakat pada masa hadapan.

Bercakap mengenai konsert berkenaan, Ella berkata, dia teruja kerana sudah lama tidak mengadakan konsert berskala besar untuk para peminatnya.

Katanya lagi, pada konsert berkenaan dia akan menyampaikan seleksi lagu terbaik dari awal kemunculannya sehingga kini.

"Istimewanya konsert ini nanti, saya turut menjemput rakan seperjuangan sebagai artis jemputan pada persembahan pembukaan selain berduet dengan mereka.

"Konsert ini adalah hadiah untuk semua peminat yang tidak henti-henti menyokong karier saya yang mencecah 30 tahun," katanya.

Tambah Ella, Man Kidal bakal bertindak sebagai pengarah muzik selain beberapa kejutan menanti peminat pada konsert itu nanti.

Sementara itu, Ella berkata, pada konsert itu dia akan mengulangi sejarah ketika konsert Ella 30110 apabila tampil ke stadium dengan menaiki helikopter.

Enam 'Datuk Pahang' Bakal Jayakan Konsert Diraja




Hattan antara artis yang akan menjayakan persembahan diraja.
KUALA LUMPUR: Seramai enam artis terkenal bakal bergabung tenaga bagi menjayakan konsert dan pameran Raja dan Rakyat Berpisah Tiada yang akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 24 hingga 27 Februari depan.

Penaung konsert berkenaan, Datuk Aizuddin Ghazali berkata, artis-artis terlibat adalah mereka yang pernah menerima Darjah Kebesaran daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebelum ini.

"Gabungan enam artis berkenaan adalah bersempena  memuliakan sambutan ulang tahun keputeraan ke-85 Sultan Pahang dalam sebuah konsert dan pameran khusus untuk Tuanku yang banyak memberi penghargaan tidak ternilai kepada penggiat seni di negara ini.

"Ini adalah julung-julung kali konsert sedemikian diadakan dan menghimpunkan artis-artis yang pernah menerima pengiktirafan daripada Tuanku.

"Ia juga sebagai memberi sumbangan kembali kepada pihak yang selama ini banyak menghargai bakat seni mereka," katanya kepada mStar Online. 
Aizuddin berkata demikian ketika sidang media konsert dan pameran berkenaan di Hotel Royale Chulan di sini, Rabu.

Adinda Sultan Pahang iaitu Tengku Kamarulzaman (dua dari kanan) ketika melancarkan konsert dan pameran Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.
Adinda Sultan Pahang, Datuk Seri Tengku Kamarulzaman Sultan Sir Abu Bakar turut hadir pada sidang media tersebut bersama-sama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaari.

Enam artis yang terlibat adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Yusni Hamid, Datuk David Arumugam, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Hattan dan Datuk Rossa.

Konsert kemuncak itu bakal diadakan pada 27 Februari dan Sultan Pahang turut perkenan untuk mencemar duli bagi menyaksikan persembahan itu nanti.

Dalam pada itu, Aizuddin berkata, pada konsert itu nanti, para artis bukan sahaja bakal mendendangkan lagu kegemaran Sultan Pahang malah bakal menyampaikan seleksi lagu-lagu hit mereka.

Persembahan pada malam itu bakal diserikan dengan iringan pemuzik daripada Kumpulan Orkestra Simfoni Kebangsaan diketuai oleh Mustafa Fuzer Nawi.

"Insya-Allah pada malam konsert itu nanti sebanyak 21 buah lagu akan disampaikan oleh barisan penyanyi termasuk beberapa lagu duet dan seleksi kegemaran Tuanku sendiri.

"Alhamdulillah kesemua artis terlibat sangat teruja apabila diberitahu mengenai konsert tersebut dan sama-sama mahu menjayakannya," jelasnya.
mStar Default Image
Siti Nurhaliza.
Sementara itu, Tengku Kamarulzaman dalam ucapannya berkata, pameran Diraja yang akan diadakan sebelum konsert berlangsung yang akan memperlihatkan sejarah, latar belakang dan aktiviti termasuk koleksi gambar peribadi Sultan Pahang.

Beliau berharap, pameran itu nanti akan dapat menarik minat lebih luas masyarakat khususnya generasi muda untuk lebih mengenali lebih dekat kehidupan Sultan Pahang.

"Adalah menjadi harapan semoga pameran ini mampu melahirkan kesedaran dan semangat cintakan raja dan sultan dalam jiwa masyarakat Malaysia selaras dengan prinsip Rukan Negara yang kedua iaitu 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara'," katanya.

Tambah Tengku Kamarulzaman lagi, beliau juga tertarik dengan pameran dan konsert berkenaan kerana ia turut mengumpul dana dalam bentuk penjualan tiket untuk didermakan kepada golongan kurang berkemampuan di luar bandar termasuk anak-anak yatim.

"Saya menyeru agar syarikat korporat, agensi atau pun pertubuhan sama-sama membantu merialisasikan hasrat murni itu dalam mengumpul dana bagi membantu golongan memerlukan," ujarnya.