Tuesday, September 22, 2015

Enam kali juara memasak



Enam kali juara memasak
Wakil juri melihat Mariam dan Nurul Fatiha Husna menyediakan menu etok masak lemak, puding raja bersama durian, penkek durian dan labu keju pada SDSI Zon Timur 2015 di TTC.
KUALA TERENGGANU - Minat mendalam dalam bidang masakan bukan sahaja membolehkan Mariam Mat Nor, 50, membuka sebuah restoran malah berjaya menyandang juara sebanyak enam kali dalam pertandingan memasak yang disertainya sejak 1996.

Ibu kepada tujuh anak ini berkata, pertandingan memasak pertama yang disertainya dianjurkan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sebelum menyertai pertandingan peringkat daerah.

“Setakat ini, saya pernah menyandang naib juara bagi pertandingan memasak peringkat daerah Dungun dan Besut. Dua-dua pertandingan ini bagi saya adalah pencapaian yang agak besar iaitu bagi mewakili daerah.

“Dari segi sijil pula setakat ini saya rasa dekat 10 sijil penghargaan yang saya terima sepanjang menyertai pertandingan memasak,” katanya.

Kata Mariam, memasak perlukan minat dan dia bersyukur kerana minatnya itu diwarisi dua anaknya.

“Alhamdulillah, anak saya, seorang lelaki dan seorang perempuan menunjukkan kecenderungan yang mendalam dalam bidang masakan dan saya berharap mereka berdua dapat mewarisi bakat ini dan berjaya pada masa depan.

“Ruang dan peluang bagi mereka yang pandai masak amat luas dan kebolehan itu boleh diperluaskan lagi sehingga ke peringkat tinggi jika ada kemahuan dan kehendak,” katanya yang menyandang juara dalam pertandingan memasak sempena program
pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Zon Timur 2015 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).

Pada pertandingan itu, Mariam pertaruhkan empat menu iaitu etok masak lemak, puding raja bersama durian, penkek durian dan labu keju.

“Walaupun hanya dua menu sahaja yang dipertandingkan, saya sengaja sediakan lebih bagi memberikan variasi kepada makanan yang dihidangkan,” katanya.

Sementara itu, chef pertandingan, Profesor Zamzani Abdul Wahab berkata, peserta pertandingan memasak perlu memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberikan kerana ia adalah salah satu landasan bagi mereka untuk memperluaskan kemahiran yang ada.

“Peserta pertandingan memasak sempena program pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Zon Timur 2015 di TTC ini ada yang kali pertama masuk dan ada yang dah berpengalaman, itu kita tak nafikan.

“Peserta sepatutnya selain mempersembahkan masakan, mereka juga patut menampakkan komitmen dan kesungguhan kerana penganjuran sesebuah pertandingan memasak bukan satu perkara mudah, ia memerlukan komitmen banyak pihak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: