Pengunjung Taman Awam Lagun, Kuala Ibai tidak ketinggalan mengambil gambar haiwan comel ini.
JULIE, satu nama popular bagi penduduk di Kuala Terengganu kerana berjaya menambat hati pengunjung Taman Awam Lagun, Kuala Ibai, di sini.
Kecomelannya terserlah dengan keletah manja dan lincah membuatkan sesiapa sahaja akan mengambil peluang untuk bermain dan berselfie dengannya.
Demikian tarikan seekor anak beruk berusia 8 bulan yang sering kelihatan setiap kali hari minggu.
Pemiliknya, Ramlee Awang Min, 46, yang merupakan seorang peniaga di taman awam itu memberitahu, dia membawa beruk spesies macaca nemestrina peliharaannya itu ke situ untuk memupuk sikap suka dan cintakan haiwan dalam kalangan pengunjung.
Menurutnya, dalam masa sama, Julie dapat jadi tarikan kepada orang ramai untuk mengunjungi taman berkenaan.
"Bukan saja kanak-kanak, malah orang dewasa juga minat untuk lihat dan bermain dengan Julie kerana spesiesnya sukar ditemui, lebih comel bila saya pakaikan dia baju dijahit khas untuknya.
"Pernah ada pelancong dari luar Terengganu tanya berapa bayaran untuk bergambar dengan Julie. Saya terkejut kerana tak pernah ambil bayaran.. saya bawa Julie untuk hiburan saja," katanya.
Perangai mirip manusia
Ramlee yang menetap di Kampung Kubang Panjang, Bukit Payong, di sini, telah memelihara Julie sejak lagi dan menyayanginya seperti anak sendiri.
Malah katanya, dia cukup faham perangai dan sifat Julie yang mirip manusia itu.
"Saya bela Julie sejak lahir selepas beli daripada Orang Asli di Muadzam Shah. Sejak kecil Julie minum susu Lactogen selain buah-buahan dan nasi kosong.
"Setakat ni saya pelihara tiga beruk, namanya Bujang berusia 3 tahun, Chicco (2 tahun) dan Julie paling muda," katanya.
Tambahnya, kesemua beruk peliharaannya itu didaftarkan dengan Jabatan Perhilitan Terengganu dengan bayaran RM10 setahun.
Bagi Ramlee, memelihara beruk memberikan kepuasan dan keseronokan bagi dirinya kerana sifat semula jadi haiwan itu yang menarik minat selain dapat berkomunikasi.
Ramlee mula minat memelihara beruk selepas melihat hubungan baik antara rakannya dengan beruk peliharaan dan bermula dari situ dia mendapatkan serba sedikit tip bagaimana memelihara haiwan itu.
Bercerita mengenai Julie, Ramlee memberitahu, haiwan peliharaannya itu akan merajuk jika dipermainkan seperti mengacah-acah botol susu kepadanya dan Julie tidak akan minum susu yang diberikan secara main-main.
"Julie suka bermain dan faham arahan. Itu salah satu sebab saya seronok pelihara beruk. Tak sulit jaga makan Julie kerana dia tak makan pelik-pelik.. nasi ada kuah pun tak boleh, nanti sakit perut.
"Kalau nampak dia muram, mesti ada sesuatu tak kena.. mungkin dia sakit perut. Kalau sakit perut kena bagi minum air air kelapa sebagai ubat. Alhamdulillah setakat ini beruk peliharaan saya jarang diserang penyakit," katanya.
Simpan dendam
Menurut Ramlee, seseorang yang ingin memelihara beruk perlu faham haiwan itu dan perlu dapat ilmu dari segi penjagaan serta emosi haiwan berkenaan.
"Pelihara haiwan ni satu saja petuanya.. kita kena faham haiwan itu. Contohnya.. kalau ia penat, kita tak boleh suruh ia buat banyak kerja kerana akan menimbulkan dendam dalam dirinya. Ia akan buat apa kita suruh tetapi akan simpan dendam.
"Itu yang menyebabkan kadang kala berlaku kejadian beruk gigit tuan. Tempat digigit biasanya leher dan paha.. sebab itu perlu ada ilmu untuk bela haiwan ini kerana mereka juga ada perasaan," katanya.
Sementara itu, anak Ramlee, Ahmad Rashidi, 16, berkata, waktu tidur Julie tidak menentu dan ada kalanya ia akan tidur jika tiada orang dan suasana sunyi.
"Kadang-kadang Julie akan bangun waktu malam dan bising jika terdengar sesuatu. Adanya Julie dalam keluarga kami bukan sekadar untuk hiburan, malah dia 'pengawal keselamatan' di rumah kami," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: