Tuesday, September 22, 2015

Bantu golongan kurang mampu dapat pengiktirafan



Bantu golongan kurang mampu dapat pengiktirafan
Ir Meor Shamsir (tiga, kanan) bertukar NoU dengan pihak Mandate.
KOTA BHARU - Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (Kelab Asnaf) mendatangani nota persefahaman (NOU) dengan Persatuan Pakar Pengajar dan Pakar Industri Negara Malaysia (Mandate) bagi membantu golongan kurang mampu mendapat pengiktirafan kemahiran.
 
Pengerusinya, Ir Meor Shamsir Meor Zulkefli Auni berkata, dalam usaha tersebut, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut membantu menyediakan sijil kemahiran dalam beberapa bidang.
 
“NOU ini juga turut ditandatangani bersama dengan Persatuan Kebajikan Tahfiz (Peketak) yang akan membolehkan mereka mendapat sijil pengiktirafan termasuk bagi pengurusan masjid.
 
“Mandate pula akan membimbing Kelab Asnaf dalam menyelaras Sistem latihan Dual National (SLDN) di dua syarikat iaitu dalam bidang perkhidmatan katering dan Pembantu Rumah dari golongan asnaf,” katanya semasa Program NoU antara Kelab Asnaf, Mandate dan Peketak di Rumah Asnaf, Tanjong Mas, di sini.
 
Turut hadir, Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia (MAYC) Kebangsaan, Mohd Syahbuddin Hashim, Pengerusi Persatuan Mandate, Rudy Marzuky Azmi dan Penolong Kanan Pengarah JPK Wilayah Timur, Mad Zufri Ismail.
 
Sementara itu, Rudy Marzuki berkata, pengiktirafan diberikan kepada mereka yang ada usaha dan kemahiran dalam industri termasuk golongan tahfiz, asnaf dan belia.
 
“Dengan adanya sijil pengiktirafan ini ia memberi keyakinan kepada golongan berkenaan mendapatkan kerja atau menambah pendapatan,” katanya.
 
Bagi Mohd Syahbuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan, NoU tersebut memberi galakan dan membuka peluang kepada asnaf berkemahiran mengembangkan bakat yang ada.
 
“Biarpun sudah berusia 40 tahun hingga 50 tahun sekalipun, sekiranya didapati mereka mempunyai kemahiran dalam bidang jahitan, memasak dan mengemas rumah serta membersihkan kawasan, kita akan usahakan sijil pengiktirafan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: