Aktiviti perniagaan RTC semakin rancak setiap kali menjelang musim perayaan.
KOTA BHARU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) siap sedia bekalan bagi memenuhi permintaan masyarakat menjelang Hari Raya Aidiladha.
Pengarah Fama Wilayah Timur 1 yang juga Pengarah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan, Mohd Ariffin Awang berkata, ia adalah langkah awal bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan dan permintaan semasa pengguna.
Lebih-lebih lagi katanya, RTC sering menjadi tumpuan orang ramai dan dijangka jumlah pengunjung meningkat dalam masa terdekat.
“Memang kita dah bersedia lebih awal setiap kali musim perayaan ini bagi mengelak bekalan habis ataupun berlaku kenaikan harga, bimbang membebankan pengguna.
“Kebiasaannya permintaan akan bertambah dua atau tiga kali ganda. Saya percaya peniaga di RTC dan bersedia dan Fama juga akan memberikan yang terbaik buat pembeli setempat,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, setakat ini pihaknya tidak berdepan dengan masalah bekalan kerana mempunyai sumber pengeluar yang mencukupi, sama ada dari dalam atau luar negara.
“Setakat ini tiada masalah bekalan bagi sumber daging, ikan, sayur dan pelbagai barangan lain, semuanya mencukupi. Jika ada masalah, orang ramai boleh terus membuat aduan terus kepada Fama,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: