Sunday, May 4, 2014

Motosikal klasik bentuk kepuasan diri, kebajikan


  • Motosikal klasik bentuk kepuasan diri, kebajikanAbdul Rahim bersama ahli kelab pada program belia baru- baru ini.

KUALA KRAI - Siapa menyangka hobi baharu seorang penduduk di Telekong, di sini akhirnya bukan sekadar memberi kepuasan buat dirinya, malah berjaya membentuk sebuah kelab yang dapat menyumbang kepada aktiviti sosial dan kebajikan untuk masyarakat.

Abdul Rahim Mat Isa, 54 mula tertarik untuk memiliki dan mengubahsuai motosikal klasik, Honda C70 selepas melihat ada pemilik motosikal jenis itu berbuat demikian.

"Dengan hanya bermodalkan RM300, saya beli motoskal lama, kemudian mula mencari aksesori dan alat ganti untuk mencantikkan motosikal itu, namun tetap mengekalkan ciri-ciri keasliannya.

"Saya guna kreativiti sendiri untuk hias motosikal tersebut. Kini saya berasa bangga kerana dengan modal keseluruhan RM3,000, saya mampu penuhi impian memiliki motosikal klasik yang dihias dengan daya kreativiti sendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Rahim berkata, lebih membanggakan apabila dia dapat mengumpulkan peminat motosikal klasik dan menubuhkan kelab Made In Japan untuk membolehkan mereka berkongsi maklumat serta idea.

Menurutnya, kelab itu kini telah mempunyai seramai 30 ahli yang kesemuanya merupakan pemilik motosikal lama jenis Honda.

"Menerusi kelab ini kami rancang pelbagai aktiviti bermanfaat untuk ahli dan masyarakat. Selepas kelab ini dikenali penduduk, kami terima undangan ke pelbagai program termasuk majlis perkahwinan untuk mengiringi tetamu jemputan.

"Undangan sedemikian sedikit sebanyak dapat mengetengahkan kelab ini kepada pengetahuan umum dan kini, boleh dikatakan sepanjang cuti sekolah, kami terima undangan ke majlis perkahwinan," katanya.

Selain itu, dia berhasrat melihat kelab tersebut terlibat dalam aktiviti kebajikan seperti gotong-royong membersihkan masjid, tanah perkuburan dan aktiviti bermanfaat lain.

Katanya, ahli kelab berkenaan juga pernah menderma darah dan berhasrat dapat terus melaksanakan program seumpama itu pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: