Friday, May 2, 2014

Juta Juta raih tiga anugerah

SHAWN AMER teruja dengan kemenangan besar produksi Teater Juta Juta dalam Boh Cameronian Arts Awards ke-11.


SIAPA sangka, walaupun baru setahun jagung dalam bidang penerbitan teater, usaha dan kesungguhan menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi serta bertepatan dengan senario industri teater pada masa kini akhirnya mendapat pengiktirafan komuniti profesional.
Pada penganjuran kesebelas Boh Cameronian Arts Awards yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini, kumpulan teater Mask Team berjaya menggondol tiga anugerah utama selepas tercalon dalam sembilan kategori menerusi dua teater terbitan mereka, Teater Juta Juta dan Maduku Kalut.
Teruja dengan kemenangan tersebut, pengarah urusannya, Shawn Amer berkata, dia begitu gembira dan terkejut dengan kemenangan yang diterimanya kerana itu merupakan kali pertama Mask Team menyertai anugerah tersebut.
“Sebagai kumpulan baharu yang pertama kali menyertai anugerah ini, kami sungguh teruja dengan anugerah yang diberikan.
“Alhamdulillah, Teater Juta Juta berjaya mendapat tiga pengiktirafan utama iaitu bagi kategori Persembahan Berkumpulan Terbaik, Skrip Asal Terbaik dan Pengarah Terbaik,” ujarnya ketika ditemui selepas tamat majlis tersebut.
Tambah Shawn, kejayaan yang diraih oleh Mask Team adalah bertitik tolak daripada kekuatan yang ditonjolkan serta kerja sama yang terlibat antara para pelakon Teater Juta Juta.
KELETAH Melissa Saila (kiri) dan Fatimah Abu Bakar ketika membuat persembahan berjaya menceriakan suasana.


“Kekuatan teater ini terletak pada tiga orang pelakon teater ini iaitu Anas Ridzuan, Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin.
“Walaupun bertiga, namun, mereka mampu menjayakan 12 watak tanpa melibatkan sebarang pertukaran kostum mahupun set. Dari situlah energi mereka sebagai pelakon wujud,” jelas Shawn yang pertama kali mementaskan teater tersebut di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2011.
Cubaan pertama Aqasha
Dalam pada itu, pelakon Aqasha turut dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik (Teater) menerusi penglibatannya dalam Teater Kompilasi Nam Ron yang diarahkan oleh pelakon terkenal, Nam Ron.
“Sejujurnya, saya tidak sangka dianguerahkan dengan kemenangan ini. Lebih-lebih lagi apabila calon-calon yang turut bertanding adalah pelakon-pelakon yang hebat.

BOH Cameronian Arts Awards ke-11 dihoskan oleh Harith Iskander (kiri) dan Shelah.


“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada juri-juri, Kakiseni dan Rumah Anak Teater selalu penerbit Teater Kompilasi Teater Juta Juta atas kemenangan ini,” ujar Aqasha.
Berkongsi pengalamannya beraksi buat pertama kalinya di atas pentas teater, Aqasha memberitahu, dia banyak mempelajari tentang cabang seni yang baru diceburinya itu menerusi tunjuk ajar yang diberikan oleh Nam Ron.
“Apa yang paling dihargai sepanjang penglibatan saya menerusi pementasan ini adalah proses pembelajaran yang dilakukan antara para pelakon dan pengarah.
“Selain mendapat tunjuk ajar oleh Nam Ron, bantuan rakan-rakan artis seperti Sharifah Amani turut membantu saya memperhalusi fungsi utama saya sebagai seorang pelakon teater,” ujarnya lagi.
Dianjurkan sejak tahun 2002, Boh Cameronian Arts Awards kali yang kesebelas ini mengangkat tema era 60-an bagi memberi penghormatan kepada anak-anak seni terdahulu yang banyak membantu mencorakkan industri teater tanah air.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: