Wednesday, May 7, 2014

Dituduh pukul isteri guna wayar elektrik


  • Dituduh pukul isteri guna wayar elektrikTertuduh (dua, kanan) keluar dari mahkamah selepas selesai dituduh, semalam.

KOTA BHARU - Seorang pekerja bengkel dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, semalam, atas tuduhan memukul isterinya dengan menggunakan wayar elektrik, Mac lalu.

Tertuduh, Muhamad Sifol Aiman Mohd Ludin, 20, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Esuriayani Mohd Nazir, 18, di alamat Kampung Apuh, Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini, pada jam 1.30 petang, 31 Mac.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pada prosiding semalam, isteri tertuduh bagaimanapun hadir ke mahkamah untuk menarik semula laporan polis yang dibuat ke atas suaminya.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 6 Jun depan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Dalam kejadian lalu, mangsa dipukul dengan menggunakan wayar elektrik selepas tidak memberikan duit yang diminta oleh tertuduh dengan alasan untuk membayar hutang.

Mangsa seorang suri rumah, sementara, tertuduh baru dua bulan bekerja di bengkel tersebut. Dia dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: