- Huat Lai (kanan) menangkap ular sawa sambil dibantu anaknya, Tan Wei Kiong, 22, berhampiran kawasan rumahnya di Kampung Lanchang, semalam.
Tan Huat Lai, 55, berkata, pada mulanya dia hanya menganggap aktiviti menangkap ular sebagai hobi mengisi masa lapang, namun semakin teruja selepas mendapat wang daripada kerja tersebut, sekali gus dapat menyara persekolahan keempat-empat anaknya.
Menurutnya, walaupun sedar risiko tinggi yang terpaksa dihadapi sehingga pernah digigit ular berpuluh-puluh kali, namun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkecimpung dalam aktiviti itu demi menyara keluarga.
Bagaimanapun, katanya, harga ular yang tidak menentu pada masa sekarang menyebabkan dia sukar untuk terus bergantung kepada pekerjaan itu dan bersyukur berpeluang menyertai anggota Rela yang secara tidak langsung dapat membantu lebih ramai orang sekiranya rumah mereka dimasuki ular.
“Harga sekarang tidak seperti sebelum ini dulu dengan melakukan kerja-kerja membeli, menangkap dan menjual ular saya dapat menyara keluarga termasuk untuk belanja persekolahan anak.
“Sekarang harga bagi satu kilogram ular lebih kurang RM7 hingga RM8 sahaja, itu pun bergantung kepada rupa kulit ular, kalau terdapat luka langsung tidak boleh dijual dan keadaan cuaca sekarang yang panas sukar untuk mencari ular,” katanya yang berkecimpung dalam pekerjaan itu sejak 30 tahun lalu.
Bapa kepada empat anak itu berkata, walaupun sibuk dengan aktiviti menangkap ular namun dia tidak sesekali mengabaikan keluarga.
Malah, katanya, reptilia itu umpama pengikat kasih sayang di antara mereka sekeluarga sehinggakan anak-anaknya bukan sahaja tidak takut dengan reptilia itu, malah turut mempunyai kemahiran menangkap ular.
“Sekali gus, aktiviti menangkap ular ini dapat merapatkan lagi hubungan kami sekeluarga apabila anak-anak juga teruja dan seronok dengan aktiviti mencabar ini,” katanya yang mempunyai lesen dari Perhilitan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: