- Sepahtu
Tiada kejutan besar berlaku, sebaliknya kemenangan kumpulan Sepahtu berjaya menewaskan empat peserta dengan markah tertinggi iaitu, 72, sekali gus menggondol hadiah lumayan berupa wang tunai sebanyak RM500,000, berserta trofi.
Manakala tempat kedua disandang Shiro (69 markah) yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM250,000 dan trofi.
Sementara itu, kumpulan Bocey yang dilihat konsisten sejak minggu pertama berjaya mengutip markah 68, dan menerima wang tunai sebanyak RM150,000 serta sebuah trofi.
Pemenang tempat ke empat dan kelima iaitu Jambu (65) dan Nabil (64) tidak pulang dengan tangan kosong tetapi masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan RM15,000 termasuk trofi.
Sebelum itu, kumpulan Bocey menerima trofi Man Of The Match setelah mendapat undian terbanyak oleh penonton melalui laman web sinar.fm.
Program lawak realiti televisyen itu diacarakan oleh Datuk AC Mizal dan menampilkan empat juri jemputan iaitu Datuk Yusof Haslam, Luna Maya, Nora Danish dan Sheikh Haiqal.
Minggu terakhir memperlihatkan mereka membawakan dua sketsa (bebas dan muzikal).
Sepahtu bangkit
Biarpun sebelum ini kumpulan Sepahtu yang dianggotai Jep, Shuib dan Rahim R2, berhadapan pelbagai kontroversi kerana persembahan mereka dikatakan hambar dan kurang menyengat, tidak menjadi halangan buat mereka untuk berjaya.
Mewakili kumpulan itu, Jep berkata berada kedudukan tercorot minggu lalu membuatkan mereka tersentap dan cuba mencari idea untuk minggu akhir.
"Saya bersyukur tidak tersingkir ketika di pentas separuh akhir. Undian daripada peminat menyelamatkan kami terkeluar di minggu lalu.
"Selepas berhadapan dengan situasi yang mana kami perlu bekerja lebih kuat, kami berusaha mencari idea yang lebih segar dan kreatif," ujarnya yang tidak menyangka kemenangan di pihak mereka.
Menurut anak jati Johor itu, pada mulanya mereka kecewa dengan pencapaian pada minggu tersebut kerana gagal untuk membuatkan penonton terhibur.
"Terutamanya ketika itu saya melakukan persembahan di negeri sendiri membuatkan kekecewaan lebih terasa.
"Kami sudah berusaha sehabis mungkin dan cuba yang terbaik demi peminat setia kami. Tapi apa yang kami kesalkan, di saat akhir kami kecewakan peminat kerana 'stuck' di pentas separuh akhir," ujarnya.
Tegasnya, perkara sebegitu sering berlaku ke atas dirinya kerana dilanda perasaan gemuruh sehingga dia menjadi blur dengan persembahannya.
Biarpun berhadapan dengan situasi itu, dia dapat untuk mengatasi kelemahan tersebut dengan bantuan rakan sepasukan dan penyokong 'kipas susah mati' Sepahtu.
"Kami terharu dengan peminat yang sudi mengadakan majlis doa selamat dan kenduri demi kemenangan kami. Selepas ini, kami bertiga merancang untuk meraikan peminat dalam satu majlis kesyukuran," katanya yang akan sibuk dengan program terbaharu Astro, Skool of Lawak.
Kekalkan Rahim?
Dalam masa yang sama, kemenangan tersebut membuktikan kehadiran Rahim R2 dalam kumpulan itu membantu persembahan Sepahtu sepanjang 13 minggu berjuang bersama.
Di tebak perancangan Sepahtu sama ada mengekalkan Rahim dalam kumpulan tersebut atau sebaliknya, Jep berkata mereka bertiga hanya bekerjasama bagi projek MLM sahaja.
Katanya, dia tiada sebarang rancangan untuk mengisi ruang kosong Mamat (Sepah) sebelum ini, digantikan Rahim.
"Awal-awal lagi kami bersepakat bahawa Rahim menyertai Sepahtu untuk sementara Semuanya sudah jelas dan Rahim masih lagi bersama R2 iaitu kumpulan asalnya sebelum ini.
"Kehadiran Rahim 'dipinjam' demi menjayakan projek istimewa MLM," ujarnya.
Jelasnya, pemilihan Rahim menganggotai kumpulan itu kerana dia seorang rajin dan bekerja dengan bersungguh-sungguh.
Bercakap mengenai wang kemenangan tersebut, Jep berkata mereka akan membahagikannya sama rata kerana masing-masing telah mengeluarkan idea dan konsep bersama.
"Kami lalui susah senang bersama sepanjang dalam pertandingan ini, jadi kami mahu berlaku adil dengan semua.
"Buat sementara ini, saya tiada perancangan untuk belanjakan wang ini," kata Jep yang lebih utama keselesaan keluargannya.
Shiro kekalkan momentum
Bagi Shiro, perjuangan mereka selama 13 minggu akhirnya sampai ke penghujung.
Setelah berpenat mengekalkan momentum persembahan mereka pada setiap minggu Shiro dapat menghela nafas lega biarpun berada di tangga kedua.
Menurut Shahrol, kemenangan itu adalah suatu perkara yang tidak dijangka dalam hidup mereka.
Katanya, jika Maharaja Lawak Mega tahun lalu mereka berada di tangga ketiga manakala kali ini, mereka berjaya naik setapak adalah satu pencapaian yang membanggakan.
"Perkara yang kami lakukan setiap minggu adalah lakukan yang terbaik. Kami tidak pernah terfikir habuan atau hadiah semata-mata, sebaliknya misi utama kami menghiburkan peminat.
"Bahkan setiap hari kami rasa tertekan untuk mencari idea berbeza buat penonton dan juga juri," ujarnya.
Kata Shahrol, tekanan tersebut tidak menjejaskan mereka secara fizikalnya tetapi memberi kekuatan untuk lakukan yang terbaik.
"Tahun lalu kami bermula sebagai orang baru dalam MLM, berbeza dengan kali ini kami lebih berpengalaman.
"Jadi sekiranya kami rasakan idea minggu itu tidak sesuai, kami segera menukarkannya berdasarkan respons penonton.
"Jika kami rasa tidak menarik dan penonton kelihatan bosan dengan lawak kami, minggu seterus kami bermain dengan idea baharu," jelasnya,
Berakhirnya program MLM tidak bererti Shiro memperlahankan aktiviti mereka. Bahkan ahli kumpulan itu, Ajak perlu menyambung kerjanya sebagai penghibur sebaik program tamat.
"Keesokannya, saya perlu menghabiskan sketsa terbengkalai sejak menyertai MLM. Seawal jam 8 pagi lagi saya akan memulakan penggambaran sitkom 13 episod.
"Saya hanya berehat selama beberapa jam sebelum menyambung semula penggambaran," katanya.
Menurut Ajak, sitkom baharu yang bertajuk Batu Giling arahan Opie Zami itu turut dilakonkan bersama Sharifah Sakinah, Arin RJ dan ramai lagi.
Berbeza pula dengan Shahrol yang berehat selepas melalui 13 minggu yang memenatkan.
"Saya mahu bercuti dahulu, lepas tamat pertandingan ini saya rasa sangat lega. Kemungkinan saya ke pulau merehatkan minda dan badan, barulah menyambung semula tugas," katanya yang akan bekerja sebagai penyampai radio bagi carta Fulamak Sinar fm, bermula 15 Februari ini.
Bocey tetap bersama
Kumpulan Bocey, yang terdiri daripada pelawak kelahiran program Bintang Mencari Bintang (BMB) Achey, 28, dengan kumpulan Bocik yang dianggotai Fad,23, dan juga Abam, 26, berjaya menarik perhatian ramai menerusi persembahan konsisten setiap minggu.
Biarpun hanya kumpulan baharu dalam arena komedi, ternyata gandingan mereka berjaya mencuri tumpuan penonton dan juri.
Mungkin rezeki tidak menyebelahi mereka, Achey mewakili kumpulan tersebut berkata mereka masih lagi baharu dalam program itu dan kurang berpengalaman.
Biarpun tanpa pengalaman meluas, Bocey mampu menyerlah dengan idea yang sangat bernas dan kreatif setiap minggu. Tidak hairanlah mereka berjaya berada di antara kedudukan yang teratas iaitu tempat ketiga.
"Ia merupakan satu keajaiban buat kami. Tidak pernah terlintas di pemikiran kami untuk menang apatah lagi bergelar juara.
"Niat kami cuma satu, kami berharap persembahan diterima penonton, juri dan juga peminat setia Bocey," katanya.
Tegas Achey, Bocey tidak akan berpisah dan mereka akan kekal sehingga ke akhirnya.
"Mengenai duit kemenangan, kami masih belum ada perancangan. Semuanya berlaku secara mengejut. Namun kami berharap ia digunakan ke jalan kebaikan," ujar Achey.
Dalam masa yang sama, Achey berkata mereka akan mengadakan kenduri kesyukuran untuk meraikan semua peminat Bocey.
"Ia adalah hadiah daripada kami kerana tanpa mereka siapalah kami. Tambahan pula, ada insan yang baik hati menyumbang dua ekor kambing untuk kenduri ini nanti.
"InsyaALLAH, ia akan diadakan dalam masa terdekat," katanya.
Dalam masa yang sama, Bocey bakal muncul dengan filem pertama mereka yang berjudul Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa yang dijangka ditayangkan pada Jun atau Julai ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: