KEBIMBANGAN terhadap semangat patriotisme yang semakin menipis dalam kalangan generasi muda memberi idea kepada penciptaan satu inovasi bagi mengembalikan rasa kecintaan pada negara.
Produk yang dinamakan sebagai Negaraku oleh Jefri Adam, 48, telah dipamerkan dalam Pameran Bold anjuran pelajar tahun akhir rekaan grafik dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor.
Ia merupakan set alat mainan untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun yang menggunakan simbol-simbol kenegaraan dan disertakan buku-buku komik sebagai kesinambungan permainan dam ular yang popular di Malaysia.
“Idea tersebut timbul selepas menyedari kanak-kanak sekarang tidak mengambil kira isu-isu yang melibatkan sejarah dan simbol negara.
“Bagi menarik perhatian mereka, saya reka permaian ini menggunakan watak-watak komik,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Jefri menambah, set permainan tersebut mempunyai empat peringkat. Dalam peringkat permainan dam ular, pemain akan ditanyakan beberapa soalan asas sejarah atau kenegaraan.
“Antara soalan-soalan yang ditanyakan seperti jata negara, monumen-monumen negara dan sejarah ringkas berkaitan Malaysia,” ujarnya.
Produk Jefri itu diangkat sebagai salah satu daripada lima inovasi terbaik dalam pameran tersebut.
Sehubungan itu, beliau melihat permainan itu dapat dimanfaatkan sebagai satu kaedah pembelajaran di sekolah-sekolah agar semangat patriotisme negara terus disemai dalam kalangan generasi muda.
Bagi Nur Alis Razman Sham, 26, aplikasi ciptaannya yang dinamakan CookPro diharap dapat membantu golongan muda, terutamanya kaum Hawa, mempelajari cara-cara memasak dengan betul.
“Kesibukan sering dijadikan alasan hingga menyebabkan ramai wanita berasa canggung ketika berada di dapur.
Kelas memasak
“Rentetan masalah itu, aplikasi ini boleh menyediakan ‘kelas memasak’ dengan cepat dan mudah,” ujarnya yang turut menerima penghormatan inovasi terbaik di pameran berkenaan.
Jelasnya, pengguna akan melalui beberapa peringkat memasak bermula dengan cara-cara pemotongan bahan mentah seperti sayur-sayuran dan daging.
|
“Selepas berjaya pada peringkat tersebut, mereka akan diajar beberapa jenis masakan Melayu yang menjadi kegemaran masyarakat tempatan,” jelasnya yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur.
Pada peringkat memasak hidangan, ia turut dibahagikan kepada beberapa kumpulan seperti hidangan mudah hingga sukar.
“Apabila pengguna melepasi satu tahap, mereka akan diberikan gelaran mengikut tahap kepakaran masakan,” katanya.
Terdapat 26 jenis masakan yang boleh dipelajari dalam aplikasi tersebut. Menu-menu tersebut dipilih menerusi perbincangan bersama pelajar-pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM, Shah Alam.
Kepayahan mencari tempat letak kereta dan fasiliti-fasiliti yang terdapat pasar raya besar dapat dimudahkan menerusi penggunaan aplikasi Grocez yang dihasilkan oleh Nurul Aliaa Mahamad Radzi, 25.
Maklumat
Aplikasi yang mendapat kerjasama daripada rangkaian pasar raya Tesco itu akan memberikan maklumat kepada pelanggan mengenai kapasiti semasa pengunjung di pasar raya.
“Selain itu, ia dapat menyimpan senarai barangan dapur yang ingin dibeli bagi menjimatkan masa ketika berada di pasar raya,” ujarnya.
Maklumat mengenai jumlah pengunjung dalam pasar raya diperoleh melalui sumbangan daripada komuniti yang menggunakan aplikasi tersebut.
“Mereka akan memuat turun informasi-informasi itu dalam aplikasi dan ia akan dijadikan panduan kepada pengunjung lain sebelum datang ke pasar raya,” jelas Nurul Aliaa.
Dua lagi penerima inovasi terbaik Pameran Bold ialah Syazana Aqilah Abdul Karim dan Nafissa Mazlan.
Mengulas penganjuran pameran itu, Timbalan Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Prof. Dr. Muliyadi Mahamood berkata, para pelajar diberi peluang menunjukkan kebolehan dalam mencipta inovasi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
“Kami amat menggalakkan pelajar untuk terlibat secara terus dengan industri sebenar bagi mendapatkan kualiti produk yang lebih berkesan.
“Saya melihat melalui jalinan kerjasama itu, pelajar dapat menghasilkan satu inovasi yang boleh digunakan terus oleh orang awam,” ujarnya ketika merasmikan pameran yang diadakan di White Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: